Hatimu itu berdegup..

Salam kemuliaan sejagat. Alhamdulillah masih diberi kesempatan bernafas di alam maya ini. Selama mana masih lagi diberikan kudrat ini, inginlah saya mencoretkan sebahagian perkongsian yang dirasakan wajar. Tambah-tambah dalam pembudayaan ilmu yang sedang diusaha giatkan dalam masyarakat kampus nilam puri ini. Sekalipun sambutan kurang menggalakkan, namun usaha ke arah kebaikan itu tetap akan menerima ganjaran yang setimpal.

Terdetik di benak, ingin saya luahkan cebisan rasa yang hambar, menerima kehadiran sebuah tetamu yang tidak dimanfaatkan. Hadirnya membawa rahmat yang melimpah ruah, buah tangan yang agung daripada segala buah tangan yang wujud. Maka apabila kehadirannya itu tidak kita rasai, alangkah ruginya kita. Umpama buah tangan yang disiakan, bagaimanakah perasaan si pemberi buah tangan tersebut agaknya....?

Perjalanan hidup seorang hamba terlalu jauh, namun singkat. Itulah yang harus kita sedar. Apabila perjalanan yang jauh ini kita siakan dengan persinggahan yang melampau, maka perjalanan tersebut akan menempa sebuah khayalan. Ingin setempayan air, namun hujan yang turun tidak ditadah sebaiknya.

Apa pun tanggapan yang hinggap di pemikiran, janganlah menganggap ianya ilusi semata. Anggaplah yang baik terhadap Allah. Bersangka baiklah kamu dalam mentaatinya, nescaya keberkatan Allah itu sentiasa mendampingi insan-insan yang berhati mulia.

Hati itu perlu dijaga. Ingatlah, apabila ianya tidak digilap dan digarap sebaik mungkin, maka kegelapan hati tersebut mampu menggelapkan keseluruhan mentari kehidupanmu. Mentari yang malap membuatkan dirimu meraba-raba mencari petunjuk, ingin mengharapkan tangan yang menuntun memandu kearah yang betul. Namun terlalu banyak dugaan dalam kesamaran lorong itu. Ingatlah, sementara ianya masih suci bersih dari sebarang noda, jagalah ia, jangan sesekali dicemari dengan palitan noda.

Sekadar lintasan hati dan pemikiran sahaja.

Ulasan