Di hati, namun terlalu jauh..


Allah, beratnya terasa tanggungjawab yang memikul. seringkali kita mengeluh dengan tanggungjawab yang dipikul. Satu persoalan yang pernah bermain dalam pemikiran saya, adakah segala amanah yang dipikul ini redha terhadap pemikulnya? Adakah amanah ini sesuatu yang mampu memberikan manfaat atau sebaliknya? Adakah kita layak memikul amanah itu?

Sengaja detikan hati dan perasaan ini ingin saya kongsi. Terkadang saya bisa basi mendengar perkataan ukhuwwah yang seringkali menghingari setiap pertemuan saya dengan sebarang kondisi. Sama ada majmuah, organisasi, jemaah dan lain-lain lagi. Apa yang sering dikaitkan dengan ukhuwwah ini sebenarnya benar-benar payah untuk dipraktikkan. Terkadang terdetik dalam sanubari, sifat ukhuwwah ini seharusnya tidak dijadikan bahan jaja dalam menghubungkan ikatan. Malah dengan pendedahan terhadap ukhuwwah yang seringkali menjadi permasalahan dalam suatu organisasi, ternyata bukanlah mudah untuk menyemai kesatuan itu. Ianya bisa terbit sendiri dalam diri seseorang. Persis, ianya seakan-akan sebahagian daripada tubuh kita. Apabila melihat sahabat itu kesusahan, bukannya perasaan bersalah itu yang menjadi perangsang untuk membantu tetapi perasaan kasih sayang yang tidak tergambar dan terungkap. Sangat seni.

Terkadang perasaan terkilan pernah menjenguk dalam tabir perasaan. Ikatan yang pernah dijalin dan tersemai dengan sendiri hilang begitu sahaja. Tanpa diketahui sebabnya. Andai dihasut pemikiran jahat, bermacam-macam tanggapan hinggap di benak. Benarkah ikatan ini yang dijanjikan Allah dalam persahabatan kita? Atau ianya berpunca daripada nafsu ego yang tidak pernah tunduk melainkan berlaku peristiwa yang tidak diingini dalam hidup.

Saya sangat menghargai sesebuah persahabatan itu sekalipun tidak terzahir dalam perlakuan. Namun pemergian seorang sahabat di depan mata, malah sangat dekat sebenarnya agak menggugah perasaan. Sekalipun perbezaan fikrah itu berlaku, namun saya tidak sanggup membuang nilai persahabatan yang lebih besar itu. Suatu perhubungan yang terjalin kerana Allah, ianya mampu mencampakkan dirimu ke lembah kenikmatan, iaitu syurga abadi. Andai hatimu mampu mendengar doaku ini, harap sirnakanlah hidupku dengan nasihat-nasihatmu. Terima kasih sahabat.

Ulasan