Bilakah tiba giliranku pula..

Usai mengikuti program BAKSIS, saya telah dijemput untuk menjadi fasilitator di Sekolah Rendah Ayer Merah, Machang. Di sana pihak sekolah telah menganjurkan satu program untuk pelajar tahun 6 sementara menunggu keputusan peperiksaan UPSR. Belum pun sempat berehat, terpaksa juga mengikuti jemputan tersebut lantaran tiada penghuni lain yang berada di APIUM ketika itu. Kebetulan saya yang masih belum balik.

Tapi saya tidaklah merungut berpanjangan. Sekadar membentak ringan di hati, pada masa yang sama saya merelakan hati mengikuti program tersebut. Sengaja menimba pengalaman. Bila lagi berpeluang mengikuti program seperti ini. Walaupun sebelum ini sudah pernah mengikuti program yang serupa, tapi kali ini perlu berinteraksi dengan pelajar sekolah rendah pula. Emm terserahlah..

Saya berseorangan menaiki motor manakala sahabat-sahabat yang lain menaiki van UM. Saya akan balik lebih awal dari mereka kerana ada beberapa urusan di rumah. Pada malam sebelum bertolak, mak saya telah menghantar sms mengatakan bahawa dia ingin mengadakan rumah terbuka sempena bulan syawal yang akan berakhir tidak lama lagi. Maka pada pagi sebelum bertolak saya sempat membeli tiket pulang. Punyala bersungguh nak balik la katakan. Huhu.

Saya belum pernah sampai ke sana. Dan ternyata pada hari itu saya bertawakkal sahaja mencari sekolah itu. Dari Nilam Puri menuju ke Machang. Macam konfiden je boleh jumpa. Last-last terpaksa tanya makcik tepi jalan juga. Huhu.

Alhamdulillah, akhirnya saya sampai dengan bantuan makcik tersebut dan salah seorang rakan yang menghantar sms, memberitahu lokasi sekolah tersebut. Awal menjejakkan tayar motor di hadapan pagar sekolah, kelihatan sekadar bangunan usang yang sudah berlumut. Tanggapan pertama mula menerjah. "alamak, macam tak best je tempat ni".

Namun saya teruskan jua masuk ke perkarangan sekolah. Rupa-rupanya bangunan sekolah yang sebenar terletak di bahagian belakang bangunan usang tersebut. Dan ianya jauh berbeza dengan bangunan tadi. Kelihatan baru di cat. Mural pun kelihatan masih baru, terlakar muka perdana menteri Malaysia, malah muka Najib pun sudah terlakar di situ. Di situ saya dapat mengagak ianya baru dibuat pada tahun ini. "Emm, ni baru best.." ujar kata hati. Ternyata perasaan ikhlas langsung tidak bertandang di hati. Sekadar mengikuti program hanya untuk berseronok. Huhu. Jangan tiru sikap ini.

Sampai di sana, kami ditempatkan di bilik muzik untuk penginapan. Terjumpa gitar akustik. Sempat juga memetik barang sekali dua. Sekadar melepaskan gian. Lama sudah teringin belajar bermain gitar tapi masih belum berkesempatan. Entah bila agaknya peluang itu akan muncul. Masih sedang menanti-nantikannya.

Emm, macam biasalah. Program berjalan dengan lancar seperti program-program di tempat lain. Malas nak bercerita sangat.

Cuma yang tidak dapat saya lupa, saat kami membawa murid-murid bergotong royong membersihkan kawasan perkuburan. Kawasan perkuburan tersebut agak jauh dari kawasan sekolah. Kami sekadar berjalan kaki sahaja menuju ke sana. Sepanjang perjalanan, tahi lembu menghiasi setiap langkah yang diatur. Di mana-mana sahaja ianya wujud. Terpaksa berwaspada agar tidak terpijak kelibatnya.

Setelah berjalan agak lama, maka sampailah kami di kawasan perkuburan tersebut. Seperti biasa tanggapan pertama akan menerjah pemikiran. Kelibat tahi lembu merata-rata di atas kuburan. Lembu-lembu dibiarkan memakan rumput di kawasan tersebut. Kelihatan beberapa orang penduduk kampung telah memulakan kerja gotong royong. Kami-kami yang baru hadir sekadar berdiri, tidak tahu apa yang perlu dibuat. Buntu seketika. Mungkin kerana terkejut melihat tahi lembu merata yang terlalu banyak.

Sedih melihat kawasan tersebut. Terbiar tanpa di jaga. Mungkin ada orang yang menjaganya, tapi sekadar menangguk di air keruh sahaja. Sekadar melepaskan batuk di tangga.

Setelah beberapa ketika, kami memulakan kerja. Sekadar mencabut rumput dan kemuncup yang tinggi-tinggi. Peralatan tidak mencukupi. Orang-orang kampung sahaja yang menggunakan peralatan seperti parang dan cangkul. Kami sekadar menggunakan tangan, tanpa sarung. Habis berbirat merah tangan mencabut rerumput yang melata.

Entah mengapa, terasa semacam keinsafan ketika mencabut rerumput di situ. Terbayang kematian yang berlegar-legar di sekeliling, menanti saat di cabut nyawa pada suatu hari nanti. Terasa umpama izrail yang mencabut roh manusia saat tangan mencabut kemuncup dari tanah. Seakan banyaknya dosa yang terkumpul saat menatap helaian kemuncup yang banyak itu. Satu persatu dicabut. Terasa terlalu letih, namun amat payah menghabisinya. Terasa amat payah menghapuskan dosa yang telah menggunung. Sekalipun penat lelah mencabutnya, ternyata bilangan yang banyak bagai tidak menguranginya sedikit pun. Astaghfirullah, inikah perumpamaan yang ingin Allah tunjukkan padaku?

Entah mengapa, saya seakan merasa satu semangat mengalir dalam diri. Seakan geram dengan kemuncup-kemuncup yang melata. Terasa makin ghairah untuk menghapuskan kemuncup tersebut. Biar kepanasan memijar, langkah kaki makin galak seiring dengan hayunan tangan. Satu persatu di cabut. Makin banyak yang berjaya dihapuskan. Peluh yang menitik sudah tidak diendahkan lagi. Keazaman mula bertekad, "aku mesti menghabiskan kesemuanya."

Makin banyak yang beralah. Helaian kumuncup yang mulanya angkuh mendada mulai terbaring lemah di bumi. Tidak bermaya, tidak mampu berdiri lagi. Detik demi detik, tubuh yang bertenaga mulai longlai. Mula terasa keletihan. Mula mencari redupan untuk berteduh. Aduh, lemahnya kudrat yang ku banggakan ini.

Akhirnya saya mengalah. Mula merehatkan diri di bawah teduhan pohonan besar. Sengaja menyendiri melayan perasaan. Masih belum mahu bercampur dengan orang ramai.

Termenung sendirian. Sahabat yang lain hairan melihat tingkah laku saya tapi saya tidak sedar.

Akhirnya, masa bergotong-royong tamat. Pelajar mula berpusu-pusu menuju ke bangsal kecil yang terletak di kawasan perkuburan itu. Masing-masing mengambil makanan, menjamu selera setelah penat membersihkan kawasan itu bersama. Saya sekadar memerhatikan dari jauh, membiarkan mereka mengambil makanan terlebih dahulu. Setelah sahabat mula memanggil, barulah saya bergegas ke bangsal tersebut. Barulah memulakan giliran makan kuih pelita.

Semua murid telah berangkat. Kawasan persekitaran mulai sunyi. Hanya orang kampung yang masih meneruskan saki-baki kerja yang hampir selesai. Saya sekadar duduk di sebelah kuburan sambil menghabiskan kuih pelita. Sengaja berbuat begitu. Selepas ini mungkin lambat lagi diberi kelapangan untuk membersihkan kawasan kubur. Ataupun mungkin sekadar meraih peluang mengisi kemeriahan suasana barzakh suatu hari nanti. Siapa tahu.

Harap-harap kunjungan ke kawasan perkuburan itu dapat memberikan keinsafan pada hati yang masih kehausan ini.

Ulasan