Pengkhianat bangsa yang tak tahu malu..


Salam sejahtera, salam perpaduan, salam 'Dua Malaysia', bak kata kambing biri-biri kepada sang itik. Hehe, gurau saja. Berlalu sudah bulan syawal, hampir seminggu juga. Tapi entah mengapa saya rasa raya tahun ini sangat-sangat dirai. Saya masih ingat pada detik-detik akhir syawal, masih ada beberapa rumah yang mengadakan majlis sambutan hari raya, malah rumah saya sendiri. Dan pada malam tadi bersamaan 7 Zulkaedah masih ada lagi sambutan jamuan hari raya yang bertemakan 'jamuan mesra rakyat' anjuran UMNO. Penduduk kampung semua dijemput hadir. Saya pun hadir juga.

Ketika mula-mula sampai di majlis tersebut saya terlihat kelibat ramai orang yang memakai pakaian berwarna maroon berkilauan sama ada lelaki mahupun perempuan. Dan ternyata mereka bukan penduduk kampung sini. Maka saya bertanyakan seseorang yang kebetulan berada di sisi saya, "bang, siapa yang pakai baju warna maroon ramai-ramai ni?" ujar saya. Dia menjawab, "owh, mereka ni penyanyi ghazal kampung kita. Kau tak tahu ke kampung kita dah ada kumpulan penyanyi ghazal sendiri," ujarnya sambil mengukir senyum sinis. Saya agak terkejut disulami pelbagai persoalan. Hati kecil saya mula berkata, "sejak bila pulak ada penyanyi ghazal kat kampung ni?" Namun saya terus membiarkan diri dibelenggu perasaan tersebut. Malas memikirkan jawapan sebenar.

Saya mula menarik kerusi untuk merehatkan kaki daripada terus berdiri. Namun baru sahaja hendak melabuhkan punggung, kelibat pak Maarof memanggil saya. Pak Maarof ni merupakan orang-orang kuat usrah kampung. Lantas saya mengheret kerusi menuju kearahnya dan duduk bersama dengannya. Sambil berjabat tangan dia bertanya, "ayah datang tak?" Saya menjawab, "dia tak datang, ada hal sikit," padahal ayah saya memang tak nak datang pun. Dia sekadar menyuruh saya merakam ucapan yang akan disampaikan oleh orang-orang UMNO tu nanti. Kemudian saya cuba bertanya pada Pak Maarof pula tentang orang yang memakai baju maroon tu. Sambil tersenyum dia turut memberi jawapan sama, iaitu penyanyi ghazal. Saya tetap berasa hairan, seakan tidak percaya dengan jawapan mereka tentang orang-orang berbaju maroon tersebut. Ah, lantaklah malas aku nak fikir, ujar saya dalam hati.

Maka bermulalah majlis. Ketua kampung JKKP yang tidak mendapat pengiktirafan ramai menjadi pengerusi majlis pada malam itu. Tapi sebelum itu, ingin saya tanya kalian, fahamkah apa itu JKKP dan JKKN? Ha, secara ringkas JKKN ialah Jawatankuasa Kemajuan Kampung Negeri, manakala JKKP ialah Jawatan(gila)kuasa Kemajuan Kampung Persekutuan. JKKN ni under negeri iaitu PR, manakala JKKP under BN. Ini bermaksud terdapat dua organisasi dalam satu kampung. Atau lebih jelas terdapat dua orang ketua kampung dalam sebuah kampung. Sistem ini bermula sejak kekalahan BN atas negeri Selangor. Padahal pada zaman pemerintahan BN dulu tiada pun istilah JKKN dan JKKP ni, ketua kampung hanya seorang sahaja dalam kalangan mereka. Pihak PR pula disekat segala kegiatannya dalam masyarakat sekalipun untuk memberi tazkirah di masjid atau ceramah. Memang sangat jelas mereka ni merupakan golongan yang muka tidak bertembok, malah gilakan kuasa. Dah kalah pun masih mengaku dia punya kawasan. Memang tak tahu malu. Sama macam si Zambry tu.

Maka dipendekkan cerita, selepas mendengar celoteh daripada pengerusi majlis dan bacaan doa makan, maka orang ramai pun makanlah. Selepas makan barulah ucapan orang-orang besar bermula. Tetapi saya perasan, orang-orang kampung kelihatan ramai semasa acara makan sahaja. Manakala ketika sesi mendengar ucapan kelihatan makin ramai yang beredar, tinggal mereka yang berbaju maroon saja yang masih tidak berganjak. Saya rasa kalau tidak kerana mereka yang berbaju maroon ini tentu keadaan di balai raya sudah sunyi sepi. Maklumlah, perut sudah kenyang. Daripada mendengar ucapan orang-orang yang tak tahu malu tu baik berehat saja di rumah. Tapi saya tidak terus beredar. Cuba mendengar sedikit butir ucapannya juga.

Maklumlah dah namanya pun majlis jamuan mesra rakyat, maka rakyat hendaklah mendengar ucapan daripada KERAjaan tu. Dan ternyata dari awal ucapan hingga ke akhirnya memang berkempen sahaja. Sedari awal ucapan, mereka melaung-laungkan 'melayu' mereka tu. Bertunjangkan peribahasa 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh', mereka mengatakan orang melayu sekarang sudah berpecah belah kepada 4 bahagian, iaitu UMNO, PKR, Pas dan melayu yang menyokong DAP. Antara lain mereka mula menakut-nakutkan melayu dengan status yang sedang dihadapi oleh orang melayu sekarang. Mereka mengatakan orang melayu akan merempat di bumi sendiri andai tidak bersama-sama menyokong perjuangan UMNO iaitu memperjuangkan bangsa melayu.

"Lihatlah, di mana-mana pekan pun, berapa ramai orang melayu yang menguasai kedai-kedai hardware, kedai kain, kedai kayu. Berapa ramai? Bagaimana nanti dalam masa 10 tahun akan datang, orang cina tidak mahu menjual kain lagi kepada kita, macam mana kita nak mencari kain kafan untuk jenazah kita bila kita mati nanti? Cuba bayangkan, bagaimana nanti orang cina tidak mahu lagi menjual kayu kepada kita, macam mana kita nak buat keranda untuk mayat kita apabila kita mati nanti?" Demikianlah antara ucapan yang diberikan.

"Kita mesti menerima hakikat bahawa kita orang melayu sekarang masih ketinggalan dari segi pendidikan, ketinggalan dari segi ekonomi. Maka kita harus memikir bagaimana kita ingin maju agar kita boleh menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa akan datang. Dari segi ekonomi pun begitu juga. Bagaimana ada segelintir pihak yang membantah DEB sedangkan ianya bertujuan untuk membela nasib orang melayu di negara ini. DEB inilah yang akan melindungi hak orang melayu dari terus terpinggir," tambahnya lagi.

"Kalau kita cuba tengok di pekan kita, berapa banyak klinik swasta yang dimiliki oleh orang melayu? Semuanya bukan milik kita, kecuali klinik Faizal. Itu pun bukan melayu betul, darah mamak. Yang lain semua kepunyaan doktor india. Kita perlu menerima hakikat. Oleh itu ingin saya katakan kita ketinggalan dari segi pendidikan, begitu juga dari segi ekonomi."

Ya, demikian beberapa ucapan mereka yang sempat saya rakam menggunakan telefon bimbit saya. Terkadang hairan juga. Tiada langsung perasaan malu mereka dalam menuturkan bicara mereka itu. Apa mereka tidak sedar punca melayu bernasib sedemikian rupa kerana tangan-tangan mereka sendiri. Tangan-tangan pemimpin yang mengkhianati bangsa sendiri, bertopengkan pembelaan padahal kepentingan sendiri yang menjadi agenda nafsu mereka. Sudah lebih 50 tahun negara kita merdeka, hampir setengah abad. Siapa yang menerajui kepimpinan negara sejak zaman lampau sehinggakan nasib orang melayu pada hari ini menjadi seperti yang diperkatakan sendiri. Muak sudah saya mendengar penipuan-penipuan mereka yang tak tahu malu ni. Entah-entah dalam tempoh 50 tahun yang akan datang pun melayu akan menimpa nasib yang sama kerana dipimpin oleh mereka.

Cubalah sesekali menukar haluan perjuangan tersebut kepada Islam. Negara bangsa, apa yang disanjung sangat dengan bangsa tu. Apakah ianya menjadi persoalan dalam kubur kelak, ketika munkar dan nakir menyoal, "apa bangsa kamu?" dan kita menjawab, "Melayu," maka masuk syurgakah kita? Setelah perjuangan selama 50 tahun terabai dan sia-sia, beranikah berubah kepada prinsip Islam yang lebih menyeluruh dan syumul? Biarlah dipandang hina di dunia asalkan di akhirat kelak mendapat jaminan yang baik di sisi Allah. Ingatlah, kemuncak cita-cita dalam kehidupan ialah mencapai redha Allah. Beranikah kita?
Belum pun sempat orang yang kedua habis berucap, mak saya sudah menelefon mengajak balik. Dalam kereta saya bertanyakan mak saya tentang mereka yang berbaju maroon tadi. Rupa-rupanya mereka ialah putera UMNO. Mendengar jawapan tersebut saya pula yang ketawa kecil sambil tersenyum sinis. Akhirnya terjawab juga segala persoalan saya tadi. Hehe.

Ulasan