Projek Mandul??


Sedar tidak sedar semester baru akan bermula tidak lama lagi. Setelah sebulan bercuti, kerinduan untuk bertemu sahabat-sahabat seperjuangan makin meluap. Kerehatan yang diberi Allah sudah cukup membosankan. Inilah yang diperingatkan oleh Rasulullah dalam hadis baginda, ‘ingat masa lapang sebelum tiba waktu sempit’. Maka kehadiran ke kampus setelah lama bercuti merupakan satu era baru dalam siri gempur ini. Meneruskan ‘missing work’ yang terbengkalai dan belum terlaksana pada sesi lepas.

Maka pelbagai reaksi yang akan dilihat sekembalinya mahasiswa ke kampus masing-masing. Ada yang berketerampilan baru dengan potongan rambut yang bergaya, ada yang sudah menghafal sebahagian daripada 50 hadis untuk hafazan, ada yang sibuk dengan program koko yang akan diadakan. Bagi mereka yang hadir awal ke kampus pula akan menerima banyak panggilan dari sahabat-sahabat untuk menjemput mereka di airport dan stesen bas (mungkin saya yang akan menjadi mangsa), dan pelbagai lagi ragam yang akan dapat dilihat.


Dan kuliah yang dinanti pun bermula. Kumpulan assignment mula dibahagi. Tajuk-tajuk berlegar di keliling pemikiran. Langkah kaki mula diatur ke maktabah. Kitab-kitab yang sudah dimakan anai-anai mula dibuka, dihembus debu yang berturap di atasnya. Helaian demi helaian diteroka, sambil mata pantas menangkap setiap bab yang diselak.

Setiap mata pelajaran memerlukan hal yang sama. Andai terdapat 6 subjek, maka aktiviti tersebut akan berulang sebanyak mana bilangan mata pelajaran yang diambil. Belum campur dengan pencarian yang gagal lagi, atau kitab yang habis dipinjam orang.

Terkadang yang menjadi perhatian dan tarikan ialah komputer maktabah. Masing-masing membuka internet dengan tujuan mencari bahan. Sementara menunggu laman web loading, sempat meninjau laman web lain. Pergi punya pergi, jauh punya jauh, last-last perut berkeroncong. Jam tangan yang kejap melilit pergelangan mula dikerling. Waktu pun menunjukkan pukul 1 tengahari. Apa yang dicari belum terjumpa. Fikiran mula mengatur, “esok la pulak cari”. Maka aturan langkah disusun menuju kantin, mencari pengisian zahir (batin tak tahu la isi atau tak).

Ya, demikianlah kehidupan yang dijalankan oleh sebahagian pelajar, opss..mahasiswa di kampus masing-masing. Jadualnya bagaikan mempunyai kala yang tersendiri walaupun ianya tidak disedari. Sehari-harian, tempat yang sama disinggahi. Kalau ada tempat lain pun sudah semestinya jeram linang, PCB, pantai irama dan KB mall. Kalau berada di bilik sekadar berbual kosong, melayari youtube, facebook, chatting dan buat kordial laici.

Entah sampai bila agaknya mereka akan mengulang-ulang benda yang sama. Sampai grad nanti? Semuanya terserah kepada empunya diri. Sama ada kita sedar atau tidak, percaturan yang diaturkan oleh universiti-universiti di seluruh Malaysia sebenarnya merupakan satu program kerajaan dalam membentuk dan melahirkan graduan-graduan robot. Eh, macam terminator la pulak.

Sebenarnya agak sukar untuk mengesan perancangan mereka kerana setiap percaturan yang diatur telah diselindungi dan dikaburi oleh pelbagai ungkapan yang dinamik dan perhiasan luaran semata. Andai kita betul-betul sedar, sejak dari awal kemasukan ke IPT pun mereka telah bertindak ke atas pemikiran mahasiswa.

Minggu orentasi merupakan langkah pertama mereka dalam menjayakan hasrat tersebut. Dalam keadaan pelajar yang masih terpinga-pinga dan belum memahami sistem sebenar di universiti, mereka akan menanamkan sifat disiplin yang sangat menebal dalam diri mahasiswa. Segala peraturan mula didedahkan. Pelajar tidak boleh buat begitu begini. Pelajar hendaklah meminta izin kepada orang sekian sekian dan mendapat kelulusan sebelum melakukan sesuatu program. Tidak boleh melibatkan diri dalam kancah politik. Harus patuh dengan AUKU atau akta-akta lain yang dikuatkuasa di setiap IPT. Andai peraturan-peraturan tersebut tidak dipatuhi maka tindakan disiplin akan diambil. Dari pembayaran denda hinggalah dibuang kampus. Maka pelbagai tanggapan mula meresapi pemikiran. Mereka pun mula berazam untuk tidak melanggar peraturan.

Ya, itulah persepsi yang sekian lama menguasai pemikiran kita. Sifat disiplin merupakan sikap yang sangat baik dan benda yang seharusnya ada dalam personaliti seorang pelajar yang cemerlang. Lantaran persepsi inilah yang akhirnya menyebabkan golongan intelektual merupakan mereka-mereka yang bersikap skema, kemas, patuh arahan dan menjadi pak turut saja.

Bukan saya ingin mempertikaikan golongan-golongan ini sebagai para intelektual yang tidak patut dicontohi. Bukan dan tidak sama sekali. Malah mereka yang berdisiplin inilah yang kebiasaannya menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik dan mendapat anugerah tokoh pelajar cemerlang atau anugerah cansellor dan sebagainya, anugerah-anugerah yang bersifat prestij, yang seringkali diinginkan dan dibanggakan oleh ibu dan ayah.

Tapi kerajaan terlepas pandang dengan keupayaan sesetengah pihak yang lain. Dalam dunia ini berapa ramai sahaja yang berkemampuan dalam bidang akademik semata-mata, yang akhirnya akan melahirkan pegawai-pegawai kerajaan. Berapa juta pegawai kerajaan yang mereka mahukan. Setiap tahun IPT-IPT di seluruh Malaysia akan melahirkan beratus ribu graduan. Dan sehingga hari ini jugalah beratus ribu graduan yang menganggur di rumah dan tidak bekerja. Mereka tidak diasah dengan kemahiran yang membabitkan luar kuliah. Kalau ada sekalipun ianya tidak lebih kepada hal-hal yang terlingkup dan terbatas dan tidak bersifat universal. Dan akhirnya segulung ijazah menjadi borang permohonan untuk bekerja sebagai pelayan di kedai-kedai makan, pasaraya dan farmasi. Dan andai mahu kelihatan sedikit bergaya mereka memohon di KFC atau Pizza Hut.

Sedar atau tidak, disiplin yang dicanang merupakan satu tidakan yang membataskan kreativiti seseorang. Terkadang seseorang yang mempunyai buah fikiran yang hebat merasakan dirinya terbelenggu dengan disiplin yang diatur oleh pentadbiran dan akhirnya membantutkan hasrat mereka untuk bertindak dengan lebih berani. Padahal percaturan hidup yang universal mencakupi pelbagai bidang bermula dari keilmuan sehinggalah politik. Kononnya boleh bergiat aktif selepas habis pembelajaran di universiti, tapi realiti yang berlaku hari ini merupakan satu kepalsuan. Andai seseorang yang bekerja di sektor awam bergiat aktif dalam politik, maka bersedialah menerima tendangan hebat dari mereka. Bersedialah untuk terdampar di kepulauan primitif bersama orang asli.

Inilah kehebatan sistem yang dirancang oleh mereka. Tidak terkesan oleh zahir luaran. Penuh tersirat dan bermuslihat.

Satu lagi sistem yang diguna pakai di seluruh IPT ialah sistem pointer, atau lebih hilir kita panggil cgpa. Sistem dimana menghendaki setiap pelajar menjaga keputusan mereka pada setiap peperiksaan semester yang diduduki. Pelajar yang berjaya menjaga pointer dengan baik akan dianugerahi first class dan mendapat anugerah cansellor. Tak kurang juga yang mendapat biasiswa dan pembiayaan percuma dalam sesi pembelajaran mereka di IPT.

Siapa yang tidak seronok mendapat penganugerahan dan biasiswa percuma. Atas ransangan yang dicetuskan itu, maka pelajar akan bersungguh-sungguh mengejar pointer dan berusaha keras mengekalkan kecemerlangan pada setiap sem. Maka sesiapa yang berjaya akan layak memperolehi anugerah tersebut. Itulah pelajar cemerlang yang diidam-idamkan dan dibanggakan oleh universiti. Tepuk tangan sikit.

Maka begitulah. Sedar atau tidak sepanjang 5 atau 6 tahun pembelajaran di universiti hanya akan ditekankan pada pembelajaran sahaja. Masakan tidak, sudahlah tempoh pembelajaran mengikut kaedah semester iaitu selama 5 bulan bagi setiap sesi pembelajaran, dalam masa yang singkat tersebut pelajar hanya akan menekankan pembelajaran semata-mata sehinggakan isu-isu semasa tidak diketahui. Mereka merasakan tanggungjawab yang dipikul hanyalah belajar semata-mata, langsung tidak sensitif terhadap peredaran semasa. Tidak berminat untuk mencetuskan reaksi dalam isu-isu hangat yang bakal mempengaruhi keadaan hidup mereka pada masa akan datang. Kalau ada pun sekadar disimpan di dalam hati. Katanya sudah muak dengan percaturan politik semasa, padahal mereka tidak sedar bahawa merekalah generasi yang seharusnya memperjuangkan nasib mereka pada masa akan datang. Akhirnya segala keputusan dan kecemerlangan yang digenggam tidak mampu menjamin kesejahteraan sendiri pada masa mendatang. Sekali lagi kerajaan bertepuk tangan meraikan kejayaan mereka.

Berlalulah zaman keemasan mahasiswa begitu sahaja. Terkongkong. Berlainan dengan sistem yang diguna pakai di Britain. Mereka membiarkan sahaja mahasiswa meluahkan segala isi hati dan melakukan program yang mampu menambahkan daya intelektual mereka terhadap dunia politik. Mereka berharap generasi inilah yang akan membawa dan memimpin negara pada masa akan datang. Dengan sifat keterbukaan itu masyarakat akan mampu menilai mana baik dan mana buruk yang berlegar di sekeliling mereka. Tidak timbul fitnah menfitnah kerana mereka mampu bertemu 4 mata antara satu pihak dengan pihak yang lain. Andai kekurangan hujah, maka terbuktilah kesalahan pihak tersebut.

Malaysia pula bagaimana? Emm, terserah pada anda. Semuanya ada di tangan kita. Projek mandul yang dirancang hampir menjadi kenyataan.

Untuk akhirnya, saya ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus buat sahabat seperjuangan. Kobarkanlah semangat kalian untuk meneruskan gerak kerja yang terbengkalai. Semester akhir kita di sini merupakan saat yang harus betul-betul kita hargai. Tidak sabar rasanya menanti kepulangan kalian.

P/s : Artikel ini merupakan cetusan idea daripada isi ucapan yang disampaikan oleh pengerusi MSK ketika mengadakan program bersama. Banyak lagi isi yang disampaikan tidak saya ulas. Sekadar yang dirasakan perlu sahaja :)

Ulasan

  1. bravo my friend..good job..teruskan.. al=ghazali menyebut "jika kamu ingin lihat msa depan sesebuah ngara kamu lihatlah golongan pemudanya sekarang" i.allah 1o thun lg 1malaysia mandul!!!!

    BalasPadam
  2. satu artikel yang menarik..
    itulah bentuk sekular yang telah menjadi eksperimen terhadap mahasiswa/si masa kini.canselor yang bertindak mengikut keuntungan diri bukan atas dasar relevan atau kepentingan mahasiswa.aduhh ramai lagi yang x tau ttg ni.sedih aku.
    bile di universiti bangga dan megah padahal x tau yang diri telah termasuk dalam lubuk kosong(ilmu dapat tp dikongkong,maaf jika kasar).tye blaja mane,dengan bangga menjawab ukm/um/uum .kredibiliti mahasiswa kini jika dibandingkan dahulu amat lah kontra.bila masa nak ubah,xkan nak tggu orang alim ulama pegang canselor baru nak ubah.
    mungkin kini sudah masenye melakukan perubahan. jgn asyik mengikut telunjuk tanpa mengetahui mana yang batil dan yang hak...
    ketahuilah u are the best ummat.lakukan perubahan demi kesejahteraan di masa akan datang.mungkin gerakan mahasiswa perlu menyelesaikan masalah di dalam kampus dahulu ttp bukan lah bermakne mengasingkan diri di lapangan masyarakat.itu hak memasing ttp segerakan yang penting dan pentingkan yang segera. masalah sosial yang x pernah selesai nak bina daulah islamiah, macam mane ni.ada sape boleh jawab?? yuk fikir banyak2 kali.
    wallahu'lam.

    BalasPadam

Catat Ulasan