Si Penggali Kubur - part 1



Prolog

Renyai hujan yang sedari tadi menujah permukaan bumi belum menunjukkan tanda ingin berhenti. Malah sabungan kilat semakin galak menyambar kegelapan malam. Cahaya bulan yang kesamaran pula seakan merelakan malamnya ditangisi sebegitu. Sengaja memberi laluan kepada alam untuk menghanyutkan penghuni-penghuninya ke alam mimpi. Merestui pelayaran mimpi ke dasar yang paling dalam. Mungkin mengharapkan mereka terus hanyut di sana tanpa perlu bangkit di pagi hari.

Lemah kakinya melangkah. Terasa urat makin berselirat. Kudrat yang lemah sudah sampai ke penghujungnya. Kelazimannya sehari-harian bagaikan lumpuh. Hanya tinggal sedikit kudrat saja lagi. Dia cuba bertahan. Mahu meneruskan tugasnya. Berusaha semampu mungkin untuk bingkas. Tangan yang terketar-ketar cuba menongkat bumi, mengharapkan sisa tua yang masih berbaki. Menghargai sepenuhnya pemberian Allah walaupun buat kali terakhir. Mulut yang tercungap mula terkumat-kamit melafazkan kalimah suci. Mengharapkan pertolongan dari satu semangat yang ghaib. Semangat yang tidak dapat dilihat tetapi diyakini dalam hati. Keyakinan yang mendalam itu memberikan secebis sinar. Satu motivasi bagai menyelinap masuk ke kamar hati. Memberikan ransangan positif pada pemikiran. Kepercayaan dan pergantungan yang tinggi kepada Maha Pencipta telah mengatasi segala kelemahan kudratnya.

Pak Rasul memandang ke langit tinggi. Pandangan matanya seakan menembusi hijab langit. Cuba membaca sesuatu di atas sana. Mengarahkan segenap retina menelusuri awanan kelam. Kabut gelap sesekali menghalang pandangan. Konsentrasi terus diraih, langsung tidak mempedulikan alam sekeliling. Terus menerus memacu munajat. Sedang berinteraksi dengan sesuatu. Kehadirannya ghaib, tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Hanya mata hati yang benar-benar suci mampu berbuat demikian. Lantas kelopak mata dikatup. Rapat mencecah kulit mata dan bulu. Tiada kerut di wajahnya. Riak wajah kelihatan tenang, malah lebih tenang dari sebelumnya. Entah mengapa sinar-sinar putih tiba-tiba muncul di sekeliling tubuh. Berputar-putar mengelilingi Pak Rasul. Dalam beberapa saat, Pak Rasul hilang. Tubuhnya ghaib ditelan sinar itu. Lantas kegelapan mula mengambil peranan. Pak Rasul langsung tidak dapat dikesan. Pemergiannya umpama si bunian yang pulang ke alamnya. Sangat sukar dipercayai oleh akal yang waras, malah sesiapa yang melihat keadaan itu pasti tidak dapat menerimanya.

******


Pagi itu cerah. Mentari pagi yang segar telah mengambil tempat, bertukar giliran dengan sang purnama. Orang-orang kampung masing-masing sibuk dengan urusan mereka. Ada yang mengerjakan kebun, tak kurang juga yang menguruskan warung kopi dan kedai runcit.

“Pak Long, kopi o satu,” ujar Ramli. Seawal 7.15 pagi dia sudah menapak di warung itu. Sudah menjadi kebiasaan minum di warung kopi Pak Long sebelum bekerja di kebun getahnya.

“Amboi, awal kau kerja hari ni. selalunya bangun lewat je aku tengok,” balas Pak Long berseloroh. Sengaja menceriakan suasana di pagi hari.

“Alah Pak Long ni, orang kerja awal pun salah, orang kerja lewat pun salah. Apa la yang tak salah Pak Long ni,” balas Ramli sambil mencapai kuih bom yang menjadi kegemarannya saban pagi. Tiap kali bersarapan, pasti dia mengambil kuih itu sebagai pencuci mulut walaupun telah menghabiskan sebungkus nasi lemak.

“Alah kamu ni, aku nak bergurau pun tak boleh. Nak marah karang lagila naik angin,” jawab Pak Long.

“Kalau Pak Long boleh bergurau, saya pun boleh jugak,” balas Ramli sambil tertawa. Rupa-rupanya dia sekadar membalas gurauan Pak Long yang disangkanya serius itu. “Tak sangka Pak Long pulak yang terkena,” tambahnya lagi dengan tawa yang tidak kendur. Pak Long sekadar menguntum senyuman. Terasa dipermainkan.

“Macamana dengan jenazah semalam, dah selamat ditanam ke?” tanya Pak Long, sejurus mengubah topik perbincangan. Teringat dia pada keluarga Maimunah yang kematian suaminya pada awal subuh kelmarin.

“Emm..dah selamat tanam dah. Malam tadi Pak Rasul muncul lagi,” Nada suara seakan mengendur.

“Pak Rasul?” Pak Long mula berkalih, memalingkan pandangan ke arah Ramli. Mata saling bertembung. Tiada bicara terbit dari bibir masing-masing. Sekadar sinar mata yang berbicara. Mereka tidak berdaya meluahkan tutur di hati. Mereka tahu padah yang akan diterima jika berbicara perihalnya.

Pak Rasul. Nama yang menjadi misteri dalam kalangan penduduk Kampung Segantang. Seorang tua yang mistik. Sangat jarang kelihatan di kawasan kampung kecuali jika berlaku kematian. Mempunyai sebuah rumah usang di belakang tapak surau lama yang telah dirobohkan, namun kewujudannya tetap menjadi misteri. Tiap kali pondok itu disinggahi, pasti tidak berpenghuni.

Suasana warung sunyi buat seketika. Masing-masing mengunci mulut. Tiada lagi seloroh yang dilontarkan. Kehingaran warung diganti dengan tegukan air. Orang ramai makin berpusu singgah di warung Pak Long. Kedudukan yang strategik membuatkan warungnya itu seringkali menjadi singgahan orang kampung. Keramahan Pak Long melayani pelanggan juga membuatkan orang ramai senang dengan sikapnya. Tambah-tambah sikap Pak Long yang tidak berkira itu membuatkan orang ramai merasa harga yang ditawarkan di warung itu lebih murah berbanding warung-warung lain.

Dan buat kesekian kalinya perbincangan tentang Pak Rasul mati begitu sahaja.


******

Imbas kembali..

Hasan, Borhan dan Samad tekad. Malam itu mereka akan menjalankan operasi bersama. Mereka sudah muak dengan perangai Pak Rasul itu. Mereka tidak tertahan dengan identiti Pak Rasul yang bagai sengaja dimisterikan. Bagi mereka, tiada lagi unsur-unsur mistik yang muncul dalam abad ke 21 ini. Segala percaturan alam ghaib hanya karut semata-mata. Hantu yang wujud hanyalah di pawagam-pawagam dan rumah hantu di funfair.

Semak samun diredah. Kegelapan malam tidak lagi dipedulikan. Fikiran dan tumpuan hanya dilaraskan pada Pak Rasul. Kicauan unggas langsung tidak meremangkan roma mereka. Apa yang penting misi mereka malam ini terlaksana dan tercapai dengan jayanya. Segala misteri akan dirungkai. Tiada lagi ketakutan yang akan menyelubungi penduduk kampung. Biarlah Pak Rasul menerima tindakan dan hukuman yang sewajarnya malam ini.

Rumah usang itu kelihatan kelam. Langsung tiada cahaya yang menerangi. Sinaran bulan sekadar berbalam dilitupi dedaunan pohon-pohon tinggi. Biasan yang terhasil hanyalah bayang-bayang sepi. Andai ditenung dalam-dalam, bayang itu bagai membentuk beberapa wajah dan anatomi, menjerit-jerit mengeluarkan amaran kepada si empunya niat malam itu. Bagai ingin mengusir mereka dari tempat jahanam itu.

Langkah tiga pemuda itu telah menapak betul-betul di hadapan rumah Pak Rasul. Pandangan mata disorot bengis sebagai tanda tidak puas hati, menzahirkan amarah yang telah lama dipendam.

“Pak Rasul, usah kau berselindung lagi. Baik kau keluar sekarang!” jerit Hasan. Sedikit getaran kedengaran pada hujung perkataannya. Bagai menyembunyikan debaran di dada, menonjolkan kelelakiannya pada si empunya pondok usang.

Tiada sebarang jawapan.

“Hoi orang tua sial, keluar la. Tunjukkan pada kami rupa wajah kau yang sebenar!” tempik Samad pula. Nada suaranya betul-betul ditinggikan. Nyaring dan bingit mencengkam pendengaran. Namun ternyata bernatijah sama, tiada sebarang jawapan yang diberikan.

“Orang tua bangsat. Persetan kau. Suka menakut-nakutkan orang. Baik jadi setan saja!” kali ini disambung oleh Borhan pula. Nampak lebih agresif. Ludah dihambur ke dinding rapuh itu menzahirkan kemarahan. Manalah tahu kalau-kalau ianya tempias mengenai orang di dalam.

Sumpah seranah terus menjadi zikir mereka. Sambil melaung-laung bagai orang gila, mereka mencantas tumbuhan-tumbuhan yang melata di sekeliling pondok usang itu. Dahan yang panjang dipatahkan menjadi kayu libasan mereka, menghancurkan segala tanaman di hadapan dan sekeliling rumah Pak Rasul. Habis lapang halaman depan rumah Pak Rasul. Tanaman-tanaman hancur berkecai dihabisi mereka.

“Baru puas hati aku. Baru kau tahu Pak Rasul, apa akibatnya mencari pasal di kampung orang!” bentak Hasan. Dalam kalangan mereka, seakan-akan Hasanlah yang menjadi kepala. Segala tindak-tanduk yang mereka lakukan bertitik tolak daripada cetusan Hasan. Borhan dan Samad menjadi pengikut setianya. Segala arahan dari Hasan dipatuhi bagai dicengkam hipnosis. Begitulah kehebatan Hasan dalam mempengaruhi orang mengikuti telunjuknya.

Tiba-tiba pandangan mata Hasan tertangkap kelibat tangga kecil yang berada di bahagian bawah pondok itu. Tangga itu menuju ke bahagian atas pondok. Namun kesamaran cahaya bulan pada malam itu membuatkan pandangan matanya tidak begitu jelas. Tambah-tambah ianya bagai telah diselaputi oleh lumut-lumut hijau dan cendawan kecil dan dilindungi oleh lalang dan rumput yang sederhana panjang. Menyukarkan lagi pandangannya untuk melihat kelibat tangga itu.

“Weh Borhan, Samad. Korang nampak tak tangga kat bawah tu?” tanya Hasan. Anak mata dipicing untuk melaraskan fokus retina pada tangga tersebut.

“Emm..nampak, kenapa?” Borhan menjawab. Hampir-hampir serentak dengan jawapan Samad.

“Emm..apa kata kita naik atas, tengok apa yang ada kat pondok buruk ni, mana tahu ada benda yang boleh diambil,” Hasan memberi cadangan.

“Aku ok je, takde masalah. Kita bertiga semua naik ke?” tanya Borhan.

“Aku rasa biar sorang dulu naik. Pastu nampak keadaan ok semua baru yang dua lagi naik,” Hasan memberikan buah cadangan. Borhan dan Samad mengangguk sahaja, mengiayakan segala perancangan Hasan.

“Jadi sape yang nak naik dulu ni?” tanya Samad.

“Haa, kau yang tanya, jadi kau dululah naik,” ujar Hasan. Samad sekadar mencebikkan bibir. Silap dia bertanyakan soalan itu.

“Korang ni harap je badan besar, tapi nak suruh aku jugak yang naik dulu,” kata Samad. Tubuhnya yang tinggi dan kurus itu persis galah, walaupun tidak besar dan gagah seperti Hasan dan gempal seperti Borhan tapi sudah cukup memperlihatkan identiti dirinya sebagai seorang samseng kampung. Antara mereka bertiga, dialah yang paling tinggi dan gelap kulitnya.

“Alah, ko takut ke?” sindir Borhan. Padahal masing-masing pun mempunyai perasaan yang sama. Sekadar menzahirkan kepura-puraan semata.

Samad melabuhkan lututnya ke tanah. Tapak tangan diletakkan selari dengan lutut. Lantas dia merangkak dengan penuh berhati-hati. Dedaunan lalang di bawah pondok itu berduri dan tajam. Andai merangkak secara melulu pasti akan mencederakan kaki dan paha. Perlahan-lahan dia bergerak sambil badannya membongkok melalui bahagian bawah pondok itu. Terkadang lututnya terperosok ke dalam lubang kecil sehingga menyebabkan hilang keseimbangan badan, tapi dikawalnya dengan penuh hati-hati. Dalam keadaan yang gelap sebegitu, tidak mustahil sesuatu yang buruk boleh berlaku.

Tangannya sudah mencapai tangga tersebut. Lokasinya agak tersorok dari pandangan kerana terletak di bahagian bawah pondok tersebut, bukan di tepi. Lantai pondok pula hanya setinggi paras paha seorang lelaki berumur 40 tahun. Untuk sampai ke tangga tersebut hendaklah melalui bawah pondok dan merangkak. Seakan sengaja dibina untuk bersembunyi.

Samad ingin menaiki tangga tersebut. Hatinya berdetak kencang, takut-takut ada seseorang di dalam. Sudahlah gelap tidak berlampu, cahaya bulan langsung tidak mengenai bahagian bawah pondok tersebut. Hanya berbekalkan tangan yang masih dikurniakan Allah untuk maraba-raba keadaan sekeliling dan menaiki tangga tersebut. Permukaannya yang berlumut menyebabkan keadaan tangga itu sedikit licin.

“Oit, ada apa kat dalam?” ujar Hasan sedikit berteriak. Dia sendiri pun kelihatan takut-takut di luar sana. Bimbang kalau-kalau ada penghuni yang sengaja mendiamkan diri sedari tadi.

“Emm..tak tau la. Aku tak nampak apa-apa ni,” Samad bersuara. Hasan sedikit lega mendengar jawapan rakannya itu. Risau jika soalannya tidak berjawab.

“Ok sekarang giliran aku pulak naik. Ko tunggu dulu,” kata Hasan kepada Borhan. Dia sekadar mengangguk patuh tanpa banyak bicara seperti Samad. Memang sikapnya malas berfikir, sekadar rajin menerima arahan sahaja. Malas dia bertanyakan soalan yang bukan-bukan, membuang masa saja baginya.

Hasan mula merangkak menuju tangga pondok. Sama seperti Samad, terkadang dia seakan hilang keseimbangan saat lutut terperosok ke dalam lopak-lopak kecil. Ada yang berair, ada yang tidak. Habis basah lutut seluarnya. Namun cuba digagahi juga setiap langkah hingga tangannya mencapai tangga pondok. Tapi dia tidak terus naik. Diamatinya keadaan sekeliling terlebih dahulu.

“Tempat ni macam tak pernah dilalui orang je. Rumput-rumput pun nampak berdiri tegak semacam. Ada orang tak kat sini sebenarnya?” kata-kata hatinya mula berbisik halus. Membuat konklusi berdasarkan pemerhatian seimbas. Bermacam–macam penafsiran hadir dalam pemikiran. Hatinya mulai ragu dan gusar.

Malas berfikir lebih dalam, Hasan memanggil Borhan. Kali ini giliran Borhan pula. Badannya yang sedikit gempal agak menyukarkan kelancarannya untuk bergerak. Namun dia kelihatan mampu mengawalnya dengan baik. Dalam masa beberapa detik, dia sudah berada di sisi Hasan. Kini mereka berdua berada di bawah manakala Samad keseorangan di bahagian atas.

Guruh tiba-tiba berdentum. Angin yang tadinya beralun sepoi mulai kencang. Awan berarak pantas, seakan satu perbarisan sedang diadakan di kerajaan langit. Sesekali kilat memancarkan egonya, menerangi alam buat beberapa detik. Pepohonan tinggi kelihatan melambai antara satu sama lain. Seakan berkomunikasi dengan bahasa yang tidak difahami oleh pertuturan manusia. Kesejukan mula menjalar ke segenap penjuru, mencucuk-cucuk tulang sum-sum walaupun ianya merupakan lapisan tulang yang paling dalam. Lantas rintik halus bermuqaddimah di bumi Allah, menurunkan rahmat dari Empunya alam. Dalam masa beberapa saat ianya mula deras. Bingit hujan memekakkan pendengaran.

Hasan, Borhan dan Samad tersentak. Perasaan hairan bermain-main di benak. Mana mungkin tadinya cerah kini tiba-tiba hujan selebat-lebatnya. Seakan mengalami fenomena ganjil. Adakah ianya sengaja dirancang sebagai menyambut kehadiran ‘tetamu’ di pondok ini? Adakah kuasa mistik yang mereka pertikaikan selama ini benar-benar wujud?

“Oii, macam mana ni dah hujan,” suara Samad kedengaran melaung dari atas. Dia terpaksa meningkah suara hujan di luar sana supaya suaranya didengari Hasan dan Borhan.

“Nak redah ke?” tanya Borhan pula. Soalan-soalan yang diajukan secara serentak itu cuba dianalisis. Kemudian tindakan susulan akan diatur.

“Emm, dalam keadaan sekarang ni agak bahaya kita nak keluar dari sini sambil meredah hujan. Jalan licin, takut tergelincir nanti susah pulak,” kata Hasan. Dia masih belum mendapat jalan yang terbaik untuk penyelesaian. Jemarinya bermain-main di bawah dagu. Mengurut-urut janggut sekalipun hakikatnya tiada janggut yang tumbuh di situ. Sekadar reaksi spontan saat pemikiran dipacu untuk meraih idea.

“Aku rasa kita cuba tunggu dulu, tengok keadaan. Kalau hujan ni sekejap je kita balik la lepas tu, amacam?” ujar Hasan. Samad dan Borhan terdiam seketika. Saling berbalas pandangan.

“Aku rasa lain macam je la tempat ni,” tiba-tiba Borhan meluahkan perasaan gusarnya.


*****

Dan dalam masa yang sama, di tanah perkuburan.. Pak Rasul sedang menggali sesuatu...

Bersambung...


Ulasan

  1. Subhanallah..Ana tak sangka ade kawan macam enta..nesla..serius bes..jeles2,,ana tak mampu pown wat mcm enta..ana mengalah,,ana malu ngn enta..tahniah Novelis muda..kali ni biar ana kata..ko punya karya bes sgt2..jujur dari hati yang paling dalam..

    BalasPadam
  2. proud with u my friend..teruskan langkah bergaya memacu dakwah..bidang penulisan ketandusan 'pena dakwah' spt enta...andai indonesia berbangga dgn habiburrahman shairazi, apium berbangga dgn haulid si epal...lbh rmai yg bermnat n berbakat..mhon tnjuk ajar

    BalasPadam
  3. subhanallah.. segala pujian hanya layak bagi Allah. ana menanti karya daripada kalian..moga bersama menceburkan diri dalam penulisan kreatif ni..

    BalasPadam
  4. Salam...tumpg lalu...huhu
    eh cite xabis agi ni..ske wt cite spruh2 ek??hihi cpt2 smbung cite ni..pak rasul gali ape 2???[p'soalan mnnti jwpn]=)

    BalasPadam
  5. sabar la ili. cerita masih dalam pembikinan.. nnti lau dah siap part dua sy akan siarkan, don wori..;)

    BalasPadam
  6. salam..masyaAllah,pandainye menulis...
    mabruk

    BalasPadam

Catat Ulasan