Si Penggali Kubur - Part 2


Keadaan jalan agak sesak petang itu. Maklumlah, masing-masing sibuk pulang ke rumah setelah habis waktu bekerja. Masing-masing sudah tentu membayangkan urusan-urusan lain yang harus dilakukan setelah pulang ke rumah. Kehidupan yang makin kompleks memaksa mereka melakukan pelbagai kerja dalam satu masa. Sudah tidak mengenal erti penat dan lelah, yang penting kehidupan berjalan dengan teratur dan lancar.

Lampu merah menyala menjadi tatapan pemandu di jalan yang sesak itu. Syuhada mengeluh halus. Dia tidak sempat mengejar lampu hijau yang baru sahaja bertukar menjadi warna oren dan merah itu. Terpaksa menunggu lagi. Hatinya membentak-bentak kecil, namun kesabaran dan sikap rasional tetap di dahulukan dalam pemikirannya. Dia tidak sesekali mementingkan diri sendiri terutamanya ketika memandu. Banyak sudah pengajaran yang diambil daripada kisah-kisah kemalangan yang telah dibaca dalam akhbar-akhbar harian. Keadaan kemalangan yang sangat ngeri mampu membuatkannya beringat sebelum kena.


Perjalanan dari tempat kerja ke rumah mengambil masa selama lebih kurang 15 minit. Sepanjang perjalanan, radio dibiarkan menghingari ruang dalam kereta untuk menghilangkan kesunyiannya. Perjalanan yang senyap boleh mengakibatkan mengantuk ketika pemanduan. Namun begitu, muzik yang kuat pula boleh mengganggu konsentrasi pemanduan pula. Seelok-eloknya memadai dengan kekuatan yang sederhana sahaja.

Sampai sudah. Rumahnya tidaklah besar mana. Sekadar rumah teres yang terletak di pinggir kota metropolitan itu. Sengaja dia menyewa rumah di kawasan yang agak terpencil dengan alasan ingin mencari ketenangan. Dia tidak suka berada dalam kesibukan kota yang menyesakkan itu. Biarlah siangnya sibuk di tempat kerja, namun malamnya dapat beristirehat dengan tenang di kawasan sunyi itu.

Dia tidak berseorangan di rumah itu. Rumah disewa bersama dengan tiga orang lagi sahabat. Dahulunya mereka belajar di kampus yang sama. Dan bagaikan telah ditakdir, masing-masing menetap di satu rumah yang sama juga setelah habis belajar.

Tombol dipulas. Pintu berkunci. Namun dia telah sedia maklum tempat persembunyian kunci tersebut. Setelah kunci dibuka, dia langsung masuk dan menghempaskan diri di atas sofa lembut yang terletak di ruangan tamu rumah itu. Kenikmatan terasa mengalir ke segenap tubuh. Keletihan yang membalut bagaikan terlerai. Selesa yang amat walaupun angin kipas tidak dihidupkan. Dalam beberapa detik yang singkat, matanya terkatup rapat. Terlelap.

“Kau ada beli telur, Syu?” Farhana tiba-tiba muncul. Dia tidak perasan sahabatnya itu sudah terlelap. Terenjut sikit bahu Syuhada saat itu.

“Eh, aku ingatkan takde orang. Senyap semacam je aku masuk tadi. Siap pintu berkunci lagi,” ujar Syuhada sambil mengangkat pandangan ke arah Farhana. Matanya sedikit merah kesan daripada tidur yang tidak sempat lena tadi. Soalan Farhana tidak dijawab.

“Aku kat bilik tadi. Lepas balik kerja terus tidur kejap. Then terjaga bila dengar kereta kau masuk,” ujar Farhana. Sedari jam 4 petang lagi dia telah berada di rumah. Manakala dua orang lagi sahabat mereka akan pulang lewat senja.

“Eik, pastu tadi ko balik dengan siapa? Teksi ke?” tanya Syuhada. Dia kehairanan kerana kebiasaannya sahabatnya itu akan pulang bersama dengan housematenya yang lagi satu, Salwa.

“Aku tadi habis kerja awal, malas nak tunggu dia,” jawab Farhana acuh tak acuh. “Kau ada beli telur tak ni? Lauk dah habis, apa yang nak dimasak malam ni?” dia mengulang kembali soalan tadi. Sebelum ini dia ada menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit Syuhada, menyuruh dia membeli telur.

“Alamak aku tak beli la. Aku tak perasan mesej kau tadi, aku tengah memandu,” ujar Syuhada sambil membelek telefon bimbitnya. Ada satu mesej yang tidak dibuka.

“Hmmph.. makan bilis jela malam ni jawabnya,” kata Farhana. Syuhada tersenyum kecil. Rasa serba salah kerana tidak perasan mesej sahabatnya tadi.

“Takpe la, kita kirim kat Salwa atau Abby je lah. Diorang pun masih kat luar lagi tu,” Syuhada memberi buah fikiran. Farhana mengangguk kecil. Keadaan sunyi buat seketika.

Syuhada melilaukan pandangan. Rumah itu sedikit tidak terurus. Mungkin mereka tidak berkesempatan mengemas dengan sepenuhnya kerana sibuk dengan kerja. Kebiasaannya pada awal pagi lagi Syuhada, Farhana dan Salwa akan bertolak ke tempat kerja masing-masing. Manakala Abby bertolak agak lewat daripada mereka bertiga. Abby tidak boleh diharapkan sangat. Dia jarang-jarang mengemas rumah. Ketika Syuhada, Farhana dan Salwa bertolak ke tempat kerja, Abby masih tidur. Dan apabila bangun, dia akan dijemput oleh teman lelakinya untuk ke tempat kerja. Pulangnya seringkali lewat malam. Kemudian tidur semata-mata dan bangun lewat pula pada keesokan harinya. Begitulah kitaran hidupnya sehari-harian. Kalaupun yang mengemas rumah hanyalah Syuhada, Farhana dan Salwa bertiga sahaja. Itupun setelah pulang dari kerja pada lewat senja. Terkadang meluat juga dengan sikap housemate mereka yang seorang itu. Tapi apakan daya, sudah ditegur pun masih bersikap sebegitu juga. Mereka tidak mampu menghalang perlakuan sahabatnya itu. Sekadar keluhan dari lubuk hati yang mampu dilepaskan.

Sedang galak melilau, tiba-tiba matanya menangkap sepucuk sampul surat berwarna hijau di atas meja televisyen. Tertompok-tompok dengan helaian kertas dan majalah. Kelihatan masih baru kerana seingatnya pada pagi tadi surat itu masih tiada.

“Eh, surat apa tu?” tanya Syuhada. Jarinya menunjuk ke arah tompokan buku bersebelahan dengan rak televisyen itu. Farhana memaling sama ke arah itu.

“Owh, surat tu tadi aku ambik kat peti surat depan. Kau punya, sori tak ingat nak bagitahu kau tadi,” ujar Farhana. Dia hampir-hampir terlupa akan surat itu. Mungkin otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik kesan daripada tidur petang.

Syuhada mengangkat punggungnya. Langkah diatur menuju ke arah rak tersebut. Tangannya mencapai surat itu. Kerutan di dahi tiba-tiba menghiasi riak wajahnya.

“Surat dari siapa ni,” hatinya berbisik halus. Dibelek-belek depan dan belakang sampul surat tersebut. Hanya nama dan alamat rumahnya yang tertulis di atas sampul tersebut. Hatinya berteka-teki. Tertanya-tanya siapa pengirim surat tersebut.

Perlahan-lahan dia menuju ke bilik sambil menjinjing beg pejabatnya.


******

Hujan yang lebat belum menunjukkan tanda ingin berhenti. Kesejukan pula mula menjalar ke setiap penjuru alam. Hasan, Samad dan Borhan sekarang berada di atas pondok Pak Rasul. Mereka mengambil keputusan untuk menunggu hujan reda, kemudian baru menyambung perjalanan mereka pulang. Tidak berani rasanya mereka berlama-lamaan di rumah usang tersebut. Meremangkan bulu roma sahaja. Tapi apakan daya, hujan di luar lebih dikhuatirkan. Kalau mereka meredah hutan dalam keadaan hujan yang lebat sebegini, kemungkinan perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Tambah-tambah dalam keadaan malam yang gelap itu. Hitam yang menyeramkan.

Keadaan dalam pondok itu agak berhabuk. Sesekali hidung Hasan terasa gatal. Semacam hendak bersin tapi sengaja ditahan. Terbit pemikiran dalam benak, ‘pondok ni berpenghuni atau tidak?’ hatinya mulai galau. ‘Kalau benar-benar berpenghuni, mengapa habuk begitu banyak dalam pondok ni? Pak Rasul tak jaga ke?’ Soalan demi soalan bertalu-talu menujah empunya diri. Namun kegalauan itu sengaja disembunyikan daripada pengetahuan Samad dan Borhan. Dia tidak mahu diperlekeh di hadapan dua orang pengikutnya itu. Biarlah di luar dia tampak berani walaupun sebenarnya kegusaran berlegar di dalam hati.

Hasan memandang ke segenap penjuru pondok. Dia perasan kelibat sesuatu yang terletak di penjuru hujung pondok tersebut. Namun keadaan yang gelap tidak mengizinkannya untuk benar-benar mengesan bentuk objek tersebut. Terbit keinginan untuk menjenguk. Manalah tahu dapat sedikit petunjuk tentang misteri Pak Rasul. Sesuai dengan matlamat awalnya ke pondok tersebut untuk membongkar rahsia sebenar penggali kubur tua itu.

Dia berdiri. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke penjuru pondok. Lantai yang agak usang itu bagaikan menjerit kesakitan saat kakinya memijak kepingan-kepingan reput itu. Mungkin ianya telah dimakan anai-anai menyebabkan lapisan dalam papan lantai itu mempunyai ruang kosong yang boleh reput pada bila-bila masa sahaja. Nasibnya baik kerana dia berjaya sampai ke penjuru pondok itu dengan selamat.

Sebuah cangkul tersergam menegak di situ. Tangannya cuba menyentuh. Agak basah pada batang kayu bahagian atas. Dicuba meraba bahagian bawah pula. Sejuk. Lumpur tanah membaluti bahagian bawah cangkul tersebut. Dia mulai hairan. Seakan ianya baru sahaja digunakan untuk menggali tanah. Masih basah dan berlumpur. Padahal keadaan rumah yang berhabuk itu memberikan tanggapan awal padanya bahawa pondok itu sudah tidak dihuni. Masakan tiba-tiba ada sebuah cangkul yang masih baru digunakan diletakkan di pondok tersebut. Dua pertembungan yang agak meragukan.

Pandangannya mula menangkap satu lagi objek yang berada di situ. Seakan-akan perca kain kecil. Ianya diselit di balik celahan dinding pondok tersebut. Tangannya cuba mencapai kain tersebut. Ditarik keluar dari celahan dinding tersebut perlahan-lahan. Ternyata ianya basah juga. Perca kain pelikat itu rabak. Berbau agak hanyir.

Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu bermain di kakinya. Berpusing-pusing sambil mengigit-gigit betisnya. Diamatinya betul-betul, persis tikus mondok. Bukannya satu atau dua, tapi berkumpulan. Begitu galak menggigit betisnya. Dia terpinga. Dari mana datangnya binatang itu tidak diketahui. Malah begitu banyak sekali menyerangnya dalam keadaan serentak. Dia mulai cemas. Kepedihan menjalar hingga ke tubuh. Terlompat-lompat dia mengelak dari gigitan tersebut. Berusaha untuk melepaskan diri. Luka-luka kecil sudah terbentuk di atas betisnya. Pedihnya usah dikatakan. Gerombolan binatang itu bagai meraikan lauk mereka malam itu. Terlalu sedap. Umpama mengadap ayam golek panggang berlada hitam. Amat sayang ditinggalkan bersisa.

Hasan menjerit. Meluahkan garau suaranya dengan keras. Meronta-ronta meminta pertolongan dari Samad dan Borhan. Kesakitan semakin menjalar dan memedihkan segenap isi daging. Cemas yang teramat. Bayangan kematian sudah berlegar-legar di pemikirannya. Namun dia langsung tidak mendengar suara Samad dan Borhan menyahut panggilannya itu. Seakan-akan dia berteriak seorang diri. Tiada seorang pun yang berada di atas pondok tersebut. Pandangan matanya tidak dapat mengesan kelibat dua orang temannya itu.

“Samad, Borhan..mana kau..tolong aku!” teriak Hasan. Mengharapkan pertolongan daripada sahabatnya itu. Dia benar-benar ketakutan sekarang. Binatang-binatang itu mula memanjat tubuhnya sekarang. Geli gelaman saat cengkaman kuku binatang-binatang tersebut mencengkam kulit tubuhnya. Ada yang menyusup masuk ke dalam pakaian juga. Cicipan makin berdesing di cuping telinga.

“Tolong..tolong!” dia berteriak lagi. Tangannya berusaha menepis binatang itu daripada terus menerus memanjat tubuhnya. Dia terasa usahanya sia-sia. Makin ditepis makin banyak yang memanjat. Malah ada yang sudah mencapai tengkuknya sekarang. Menggigit-gigit helaian rambut di belakang tengkuknya itu. Cengkaman terasa semakin kuat. Dirinya seakan lemah. Tidak berdaya menahan arus mereka yang teramat deras. Kelincahan tikus-tikus tersebut seakan diperakui. Dia hampir kalah. Dalam beberapa detik yang singkat, tikus-tikus itu kelihatan menuju ke arah mulut Hasan. Mereka berebut-rebut ingin memasuki lubang itu. Hasan sudah hilang kudrat. Tikus-tikus itu dibiarkan sahaja memasuki rongga mulutnya itu. Bibirnya dipatuk-patuk. Merah berdarah. Lantas dihirup oleh binatang-binatang itu bagai minuman jus. Habis hancur mulutnya. Terlopong menampakkan barisan gigi dan gusi yang merah. Rompong.

Lemah sekujur tubuh sasa itu. Langsung melutut dia lantas terbaring lesu. Nyawa bagai berolok, seakan mahu bermain dengan jasad. Sebentar keluar namun datang kembali. Serasa keazaban yang sangat pedih. Bayangkanlah andai jasad sudah separuh hancur namun nyawa masih belum mahu meninggalkan tubuh. Perihal yang sama seperti neraka. Tidak sekali-kali mudah melepaskan mereka yang berdosa. Setiap amalan yang dilakukan pasti dibalas dengan kadarnya yang telah termaktub.

Dalam masa beberapa minit, tubuh itu telah hilang rupa. Belulang putih pun sudah kelihatan. Sangat ngeri perihalnya. Sampaikan mata pun dimakan oleh binatang-binatang tersebut. Tikus-tikus itu beransur pergi. Makin berkurang dan berkurang. Kilat masih sabung menyabung di luar sana. Disulam curahan hujan yang teramat lebat. Digetarkan dengan dentuman guruh yang menyeramkan. Bagai suasana perang yang tidak sepi dari hujanan bom. Masing-masing menunjukkan kehebatan...


*****

Samad dan Borhan menggigil kesejukan. Rintik hujan langsung tidak berkurang. Hembusan angin bertambah deras. Kepulan awan makin menebal di langit yang kelam. Kesuram-suraman. Kelibat burung hutan bercicipan, berinteraksi antara satu sama lain. Kemudian terbang bersama gerombolan sahabatnya yang lain. Mereka bagaikan dapat membaca perihal buruk yang akan terjadi. Deria mereka tidak sama seperti manusia. Anugerah tuhan yang sangat tidak ternilai. Malah dengan kecanggihan teknologi ciptaan manusia sendiri pun tidak akan mampu menyainginya. Kalau pun dapat meramal, ianya tidak setepat dan setajam naluri seekor haiwan.

“Hasan, macam mana ni, hujan makin deras. Macam kena bermalam kat sini je,” ujar Borhan. Tangannya memeluk lutut. Dia memerlukan sedikit haba untuk memanaskan badannya. Andai terus kesejukan, dia akan dijangkiti selsema.

Hasan diam. Langsung tidak berpaling ke arah Borhan.

“Amboi, berfikir panjang kau ye,” tambah Borhan. Dia tidak puas hati kerana pertanyaannya tidak dihiraukan Hasan.

“Aku rasa dia dah tertidur la tu,” Samad menyampuk. Tangannya sesekali menampar lengan dan betis. Nyamuk sudah memunculkan diri. Gigitan nyamuk hutan ternyata lebih pedih berbanding nyamuk biasa. Tergaru-garu Samad dengan gigitan nyamuk itu.

“Amboi, boleh pulak dia terlena. Aku tengah risau ni, dia senang-senang je nak tidur. Hampeh punya ketua,” leter Borhan. Dia benar-benar naik angin dengan kelakuan Hasan.

“Hmm..aku pun macam dah rasa mengantuk la Borhan,” ujar Samad. Tangannya menutup mulut yang ternganga. Menguap.

“Ceh, sama je kau dengan dia ni. Cubala fikir jalan penyelesaian macamana kita nak keluar dari hutan ni. Aku dah rasa lain macam je kat sini tau, naik meremang bulu tengkuk aku. Dahnya sejuk ni,” Borhan sedikit menengking. Namun Samad kelihatan bersahaja. Borhan mendengus halus. Ada sedikit amarah dalam hatinya.

Kakinya terasa gatal. Nyamuk menggigit lagi. Namun entah mengapa kali ini gigitannya bagai sedikit pedih berbanding sebelumnya. Tangannya pantas menepis, cuba menghalang nyamuk-nyamuk itu dari terus mencucuk kulitnya. Dia menampar-nampar betisnya dengan tujuan ingin membunuh nyamuk-nyamuk tersebut. Perasaan marah makin membakar nafsu. Bengang. Sudahlah terperangkap dalam pondok misteri Pak Rasul, nyamuk pula seakan mempermainkan mereka. Meruap satu badan mengenangkan nasib malangnya itu.

“Argh..celaka punya nyamuk. Takde benda lain ke kau nak gigit!” Borhan melampiaskan amarahnya. Dia betul-betul tidak tertahan dengan seksaan itu. Serasa azab yang amat sangat. Kegatalan menjalar ke segenap anggota. Digaru-garunya namun makin banyak nyamuk yang menerpa. Mereka bagai tidak mahu berhenti menggigit sekalipun sudah ditampar berkali-kali oleh Borhan. Terlalu degil perilaku mereka.

Borhan menggaru lagi. Kukunya yang sedikit panjang membantu mengurangkan rasa gatal yang menjalar itu. Sedikit nikmat terasa. Namun ianya tidak berpanjangan kerana nyamuk-nyamuk itu terlampau banyak menghinggapi kulit tubuhnya. Tangan kanannya menepis dan menampar kumpulan nyamuk-nyamuk itu manakala tangan kirinya menggaru-garu bahagian tubuh yang gatal. Sesekali tangannya itu singgah ke wajah. Dia sudah tidak hirau menampar wajahnya sendiri. Kepedihan gigitan itu lebih menyeksakan.

Tangannya galak menggaru. Hatinya menggerutu. Geram campur marah. Pelbagai perasaan bersatu dalam hatinya kala ini. Dia tidak sedar kulitnya telah bercalar lantaran terlalu kuat menggaru. Luka-luka kecil telah kelihatan atas permukaan kulitnya. Dia tidak sedar semua itu. Pemikiran hanya tertumpu pada gigitan nyamuk dan kegatalan yang membaluti tubuhnya sahaja. Mungkin kegelapan malam tidak menyedarkannya perihal sebenar yang sedang berlaku.

Dia masih tidak sedar saat darah mulai mengalir keluar daripada lukanya itu. Daging rabak sedikit demi sedikit. Nyamuk-nyamuk pula makin gembira kerana makanan mereka malam itu sudah tersedia di hadapan mata. Apalagi makin ramai yang menyerbu ke arah luka berdarah tersebut. Peluang yang terpampang usah diabaikan begitu saja. Bertambah gatallah Borhan apabila nyamuk-nyamuk itu menyerang lagi. Digaru-garunya lagi bahagian yang sudah luka itu. Darah makin membuak. Pancutan-pancutan kecil sudah kelihatan, namun Borhan masih tidak sedar. Dan dia terus menerus menggaru…dan menggaru lagi…dan lagi…

bersambung...

Ulasan

  1. assalamualaikum....

    adakah samad dan borhan x sedar apa yang telah terjadi dgn hasan??

    sy akn tggu smbungan nya lagi...semua ni seakan azab yang d terima bila jasad d dalam tanah....borhan...makin lama dia akan menerima nasib yang sama macam hasan.....

    x sabar nk tggu smbungan lagi....

    BalasPadam
  2. setakat ni biarlah ianya menjadi suatu pertanyaan.. mungkin akan memahami jalan cerita selepas membaca kesinambungan daripada part ni..

    Dr asy, saya pn jeles dgn kamu..huhu

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah..semoge kejelesenan antum b'2 ni dpt meningkatkan lagi prestasi dlm b'karya..insyaAllah..=)

    BalasPadam
  4. hehe..pandai ko buat promotion ye dhamiri..weh kenapa aku nak buka blog ko ada malware attention tu..ko nye blog ada virus ke?

    BalasPadam
  5. salam ziarah haulid.. em idea yg sgt menarik. menyeramkan pn ada..huhu x sabar nk tau cite selanjutnya. sapa lah pak rasul ni sbnrnya??? :)

    BalasPadam
  6. salam ziarah haulid.. em idea yg sgt menarik. menyeramkan pn ada..huhu x sabar nk tau cite selanjutnya. sapa lah pak rasul ni sbnrnya??? :)

    BalasPadam
  7. Emm..insya Allah akan disambung lagi nanti..nantikan saja bahagian yang seterusnya..;)

    BalasPadam
  8. waaaa....ad bakat mengarang citer ek

    BalasPadam
  9. dahsyat nye tikus2 tu...
    cerpen ni kluar smgu sekali ke mcm mane?

    BalasPadam
  10. aku rasa cerpen korang boleh dipublishkan ni,insyallah aku ushakan..blog aku xleh bka ngan google chrome tapi ngan fire foxs boleh...Nikah usia muda,apa komen anda?

    BalasPadam
  11. emm tak dapat nak pastikan sama ada seminggu sekali atau lebih daripada tu..bergantung pada keadaan dan masa..kalau sibuk mungkin agak lambat menyusul..;p

    BalasPadam
  12. aku belum baca lagi cerpen ni
    aku baca komen pembaca kat sini nampak cam best je
    nanti ada masa aku baca.....
    hebat mu zaki...
    mu keno turun ilmu katku etek.. haha

    BalasPadam
  13. haha..said oh said..aku tak la sehebat said hawwa, seorang pelajar madinah..spatutnya mu yang kene turun ilmu katku..aku ni ilmu cetek sangat nak banding nga ulama supo mung..hehe

    BalasPadam
  14. salam ziarah haulid.
    saspen m0lep crit0.panda ki ssun jln crite.
    sm0ge trus sukses.
    =)
    .menunggu sambungan.

    BalasPadam
  15. waalaikum salam tyrah..
    hehe.. terima kasih sudi baca..
    cerita kanak2 jah ni..
    tak pandai mana pun wat crita2 ni..
    pape pun thanzz.. =)

    BalasPadam

Catat Ulasan