Tahniah APIUM!!


Baru-baru ini pihak universiti telah menganjurkan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Kebangsaan bertempat di Akademi Pengajian Islam UM Nilam Puri. Alhamdulillah usaha ke arah memantapkan organisasi masjid mula digiatkan disamping mengutamakan perancangan dan perlaksanaan dalam mentarbiyah masyarakat lantaran institusi masjid yang kelihatan lebih laju dari aspek zahir berbanding pengisian batin semakin menjadi trend masyarakat islam dewasa ini. Pembentangan-pembentangan yang dibuat oleh pensyarah dan beberapa pihak luar ternyata memberikan kesedaran yang tinggi dalam melestarikan institusi masjid sebagai medan yang penting dalam membentuk syahsiah dan peribadi muslim yang mapan. Rugilah rasanya andai ketumbuhan masjid-masjid di seluruh Malaysia tidak dapat menyumbang kepada sebarang manfaat mahupun aktiviti penjanaan syahsiah dalam kalangan masyarakat dan komuniti yang makin terdedah kepada pelbagai fahaman yang mampu mengancam kesejahteraan negara khususnya dan Islam amnya.

Antara yang menarik pada sesi pembentangan kertas kerja itu ialah kajian yang dijalankan di masjid-masjid sekitar Kota Bharu dari aspek pengisian dan pengurusannya, sama ada dari sekecil-kecil perkara hingga ke perkara utama yang menjadi sebab mengapa berkurangnya penglibatan golongan muda dalam pengimarahan jemaah masjid. Antara lain ialah pengkajian terhadap pengisian yang dilakukan oleh pihak masjid sama ada kelas pengajian, kuliah, pembacaan Al-Quran, tafsir Al-Quran, pengajian hadis mahupun pengajian bahasa arab. Isu pentauliahan penceramah pun turut diselitkan oleh salah seorang peserta dalam seminar tersebut. Alhamdulillah, perbincangan inilah sebenarnya yang dinanti-nantikan oleh kami selaku mahasiswa dan masyarakat sasaran yang bakal merasai kehangatan gerakan dakwah yang akan disuburkan oleh golongan-golongan intelektual dan para bijak pandai. Semoga kesungguhan pensyarah dalam menjayakan seminar ini mendapat keredhaan dan keampunan dari Allah s.w.t. Selaku mahasiswa, kami akan sentiasa menyokong dan mendokong hasrat ini sekaligus bersama menyumbang tenaga ke arah menjayakan segala perancangan yang telah diaturkan demi kebaikan Islam sejagat.

Ulasan