Kesalahan-Kesalahan Yang Sering Dilakukan Oleh Imam Ketika Solat

  

Assalamualaikum warahmatullah. Alhamdulillah setinggi2 kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kesempatan yang diberikan untuk terus menikmati keindahan dunia yang sementara ini. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan besar Rasulullah saw yang berusaha keras menyampaikan dakwah islam ke seantero dunia sehingga sampai ke generasi kita pada hari ini dan kita berasa aman dengannya. Semoga kenikmatan ini sentiasa berkekalan dalam keredhaanNya, insya Allah.

Insya Allah dalam kesempatan kali ini, saya ingin berkongsi satu perkara yang mungkin seringkali dipandang remeh oleh kebanyakan dalam kalangan kita pada hari ini, terutamanya pada sahabat2 yang belajar di kuliah pengajian islam sama dengan saya di nilam puri. Terasa bertanggungjawab untuk menegur beberapa kesalahan yang sering berulang dalam kalangan kita. Walaupun sebelum ini beberapa usaha telah dijalankan, namun ianya tidak membawa kesan yang menyeluruh. Terlalu sedikit dan memerlukan pembaikan yang lebih serius.


Pelajar agama? 

Menjadi kebiasaan apabila pelajar2 akademi islam berada dalam satu jemaah surau atau masjid, orang ramai akan cenderung untuk menolak pelajar tersebut untuk mengimami solat mereka. Tanggapan umum terhadap pelajar2 yang mengambil aliran agama tidak sama seperti pelajar2 aliran lain. Mereka yang belajar agama telah diangkat darjatnya berbanding mereka yang mengambil aliran selain agama. Inilah janji Allah. Sesiapa yang menjaga Allah, nescaya Allah akan menjaga mereka pula. Sesiapa yang mencintai ilmu agama, nescaya kemuliaan yang tidak diduga akan bertandang dengan izin Allah swt.

Namun yang terkadang menjadi permasalahan ialah pelajar itu sendiri yang tidak menyedari hakikat tersebut. Mereka langsung tidak pernah menyedari bahawa mereka merupakan pelajar agama. Malah kadang2 ada yang sengaja menyembunyikan diri dari khalayak ramai lantaran takut dirinya menjadi tumpuan dan rujukan umum. Mereka berasa merendah diri dan merasakan masih belum layak untuk membimbing masyarakat ke arah yang lebih baik. Tiada keyakinan dalam diri dan masih belum bersedia untuk menjadi contoh dan tauladan dalam masyarakat.

Inilah kelemahan pelajar2 agama. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang mengambil jurusan agama sekadar melengkapkan koleksi sijil dan ijazah sarjana mereka sahaja. Ataupun mereka dahulunya yang tidak tahu aliran apa yang mahu dipilih untuk menyambung pelajarannya di universiti. Dan mungkin ada juga yang menganggap jurusan agama lebih mudah berbanding jurusan lain lantas mengambil keputusan untuk meneruskan bidang tersebut sahaja, yang penting dapat ijazah. Lantas, dalam golongan manakah anda?

Sebagai seorang yang membawa title islam, seharusnya tertanam dalam diri mereka bahawa masyarakat teramat sangat memerlukan pelajar2 agama untuk membimbing mereka ke arah kesejahteraan. Walaupun mungkin pelajar2 agama akan dipandang lekeh, ekstrim, jumud dan lain2 lagi tanggapan negatif, namun percayalah, pada titik yang terakhir mereka pasti akan merujuk kembali segala permasalahan hidup mahupun agama kepada pelajar agama. Maka atas dasar itu, secara relevannya pelajar agama lebih cenderung untuk diangkat sebagai pemimpin dalam sesetengah masyarakat. Kalaupun tidak diangkat sebagai pemimpin masyarakat, tentunya akan dijemput untuk mengimami jemaah surau atau masjid.

Mengimami solat. 

Lantaran pelajar agama akan senantiasa diberi kepercayaan untuk memimpin jemaah solat, maka seharusnya bagi setiap pelajar agama mempunyai basic dalam mengimami jemaah. Seringkali apabila saya berada di belakang sesetengah pelajar agama yang ditolak menjadi imam on the spot, terdapat beberapa kesalahan serius yang dilakukan oleh mereka walaupun pada tanggapan umum kesalahan tersebut tampak kecil. Saya sekali2 tidak menganggap ianya sebagai permasalahan yang remeh. Bagi saya ianya merupakan masalah yang serius apabila dilakukan oleh pelajar agama. Bukanlah saya menganggap saya merupakan seorang yang sempurna, namun izinkan saya untuk berkongsi beberapa permasalahan yang sering dilakukan oleh sesetengah imam kita ketika mengimami solat jemaah.

Masalah dalam bacaan surah. 

Antara penyebab utama permasalahan ini timbul mungkin kerana sesetengah pelajar agama dahulunya menghafal surah-surah al-quran ketika kecil tanpa merujuk kepada mushaf. Mungkin mereka sekadar menghafal surah2 tersebut secara lisan kerana mendengar bacaan tersebut dari orang lain seperti ustaz atau ustazah mereka di sekolah. Mereka menghafal mengikut rentak dan rima, bukan menghafal mengikut kalimah dan ejaan sebenar. Hal ini akhirnya menyebabkan mereka terkeliru dan tersalah dalam membacakan ayat2 al-quran dengan betul.

Disini saya highlightkan beberapa surah yang kerap berlaku kesilapan dan kesalahan bacaan, dalam juzuk yang ke 30 (kerana para imam on the spot kebiasaannya mengambil surah dari juzuk tersebut).

Surah AL 'AADIYAAT (العاديات) 

* وَالعَادِيَاتِ ضَبْحًا * فَالمُورِيَاتِ قَدْحًا * فَالمُغِيرَاتِ صُبْحًا

Perhatikan betul2 ejaan huruf2nya. Antara kesalahan yang biasa dibuat oleh para imam ialah; mereka sering terkeliru antara ayat kedua dan ketiga. Mereka menambah mad pada ayat ketiga iaitu فَالمُغِيرَاتِ menjadi فَالمُوغِرَاتِ. Harus diingat, menambah mad pada kalimah al-quran boleh mencacatkan maksud dan dan merosakkan tajwid. Hal ini perlu dipandang serius kerana ianya mempengaruhi ibadah harian kita.

Surah AL INSYIRAH (الإنشراح)

* أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ * وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ * الذِي~ أَنْقَضَ ظَهْرَكَ

Perhatikan betul2 ayat serta ejaannya. Dalam surah ini kebiasaannya para imam keliru pada ayat kedua dan ketiga. Saya boleh memecahkan permasalahan ini kepada dua bahagian.

1. Kekeliruan mad pada وَوَضَعْنَا dan الذِي. Antara yang pernah saya jumpa, imam tersebut keliru dan tidak tahu perkataan mana yang perlu dimadkan. Lantas mereka memadkan perkataan pertama dan memendekkan perkataan kedua seperti ini;

* وَوَضَعْنَا~ عَنْكَ وِزْرَكَ * الذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ

Ada juga mereka yang terus saja memadkan kedua2 perkataan tersebut, menjadi seperti ini ;

* وَوَضَعْنَا~ عَنْكَ وِزْرَكَ * الذِي~ أَنْقَضَ ظَهْرَكَ

2. Kekeliruan pada huruf أَ dan عَ pada kalimah أَنْقَضَ dan عَنْكَ. Kedua-dua permasalahan ini berkait rapat kerana kekeliruan mad (seperti pada permasalahan pertama tadi) berlaku kerana kekeliruan huruf pada ayat atau kalimah tersebut. Itulah sebab kenapa ramai imam yang tersilap meletakkan mad pada kalimah yang lain. Antara kesalahan yang pernah saya jumpa adalah seperti ;

* وَوَضَعْنَا~ أَنْكَ وِزْرَكَ * الذِي عَنْقَضَ ظَهْرَكَ

Habis bertukar huruf antara satu kalimah dengan kalimah yang lain. Hal ini sangat2 perlu dielakkan. Ianya telah menghapuskan maksud dan makna ayat al-quran yang sebenar.

Demikian tadi ayat yang pertama dan kedua. Sekarang kita beralih pula pada ayat yang terakhir dalam surah ini ;

* فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ * وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ

Dalam ayat ini, kesalahan yang biasa dilakukan ialah pada kalimah yang paling akhir iaitu فَارْغَبْ. Terdapat sesetengah imam yang keliru antara huruf رْ dan غَ. Hingga terkadang mereka membaca seperti ini ;

* وَإِلَى رَبِّكَ فَاغْرَبْ

Surah AL KAUTSAR (الكوثر) 


* إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الكَوْثَرَ * فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ * إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ

Kesalahan yang sering berlaku dalam ayat ini ialah pada ayat kedua, pada kalimah وَانْحَرْ. Kebiasaannya berlaku kekeliruan antara huruf ح dengan ه yang akhirnya menyebabkan imam membaca seperti ini ;

* فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْهَرْ

Harus diingat, makhraj dan sebutan yang terletak pada satu2 kalimah jangan dipandang remeh. Biarlah tidak secantik sebutan syeikh2 muktabar, tapi harus dipastikan terdapat perbezaan antara huruf2 tersebut walau sedikit. Terutamanya orang2 yang biasa menjadi imam dalam kalangan masyarakat. Sebutan antara kedua2 huruf tersebut perlu dilatih. Cuba berjumpa dengan ustaz2 yang mahir ataupun sahabat2 yang lebih arif.

Surah AN NAAS (الناس) 


* قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ * مَلِكِ النَّاسِ * إِلَـهِ النَّاسِ

Dalam surah ini tidak berlaku sebarang kekeliruan huruf. Namun apa yang saya ingin ketengahkan ialah tentang harakat dengung yang harus disempurnakan oleh para imam terutamanya pada kalimah النَّاسِ. Harus diingat huruf نَّ bersifat dengan dengung. Maka apabila dengung itu tidak disempurnakan, bermakna kita telah bersikap zalim dengan tidak memberikan hak yang sepatutnya pada huruf tersebut. Sebagai seorang pelajar agama seharusnya kita menuju kepada kesempurnaan solat, bukan sekadar melepaskan tanggungjawab sahaja. Maka dengan sendirinya kita harus prihatin terhadap setiap bacaan yang kita lafazkan.

Saya rasa itu sahaja antara surah2 yang agak kritikal dan sering berlaku kesilapan dan kesalahan dalam kalangan kita. Mungkin ada kesalahan2 lain yang saya tidak sebutkan. Namun ianya bersifat tersembunyi dan memerlukan penelitian yang lebih mendalam dengan guru2 al-quran. Mungkin dengan bertalaqqi secara bermuka2 dengan guru al-quran akan lebih membuka mata kita tentang kesalahan2 yang berlaku dalam bacaan.

Kemahiran asas yang perlu ditekankan.

Apabila pelajar agama sering menjadi sasaran jemaah untuk mengimami setiap solat2 mereka, seharusnya pelajar tersebut mempunyai beberapa kemahiran asas yang perlu ditekankan dalam sebutan mereka untuk menjamin mutu bacaan yang sempurna. Disini saya sarankan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ;

1. Sebutan makhraj yang betul, terutamanya pada huruf2 berikut ;

· ء dan ع


· ح dan ه


· س dan ث


· ض dan د


· ذ dan ز


· ك dan ق


· خ dan غ

2. Ilmu tajwid yang bagus. Contoh hukum2 izhar, idgham, dan lain2.

3. Kelancaran bacaan, sama ada secara tartil, tadwir, atau hadar. Pastikan bacaan mengikut keadaan semasa makmum. Kalau mengimami solat maghrib bacalah secara tartil kerana makmum kebiasaannya ingin menghayati bacaan tersebut dan naluri ibadah mereka sedang berada di tahap tinggi. Manakala ketika mengimami solat tarawih bacaan yang sesuai adalah secara tadwir ataupun hadar, kerana dengan bacaan yang agak laju boleh membangkitkan semangat para makmum.

4. Sentiasa mengendahkan makmum di belakang. Jangan solat terlalu cepat sehingga makmum terkejar2 untuk mengikuti setiap pergerakan kita. Kalau ada dalam kalangan makmum yang ketinggalan dalam beberapa perbuatan, sebaik2nya imam menunggu dulu sehingga makmum tersebut menghabiskan dan menyempurnakan perbuatan tersebut. Namun jangan pula terlalu lambat sehingga menyebabkan makmum bosan menunggu imam yang terlalu lambat.

5. Imam jangan syok sendiri. Kadang2 ada dalam kalangan imam yang hafiz membaca ayat2 panjang dalam solat mereka secara berlagu sehingga makmum berasa letih berdiri di belakangnya. Hal ini akan menyebabkan para makmum tidak khusyuk dalam solat kerana merungut. Seelok2nya imam bersederhana dalam bacaan mereka. Jangan terlalu panjang dan berlagu secara melampau2.

Kesimpulan.

Ilmu al-quran merupakan ilmu yang sangat mulia di sisi Allah swt. Selaku seorang pelajar yang beraliran agama seharusnya kita lebih mendalami tentang mukjizat terbesar akhir zaman ini. Ingatlah, entah tinggal beberapa ketika sahaja lagi segala isi kandungan Al-Quran akan diangkat oleh Allah swt dari muka bumi ini. Janganlah ketika itu baharulah kita terngadah dan merasa sesal kerana tidak mengambil manfaat sepenuhnya daripada mukjizat junjungan besar kita nabi Muhammad saw ini. Sentiasalah mencari rahsia2 yang terpendam dalam kitab suci ini. Semoga kita menjadi umat yang terbaik sepertimana yang dinukilkan dalam sebuah hadis masyhur ;

خيركم من تعلم القرءان وعلمه 

“Sebaik2 kamu adalah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.”

Ulasan

  1. i love this section...........

    BalasPadam
  2. alhamdulillah...entry yg sngt berguna..insyaAllah-

    mnta izin copy artikel ni.. :)

    BalasPadam
  3. Kupasan dan teguran yang sangat tepat dan terperinci.

    Terima kasih atas info.

    BalasPadam

Catat Ulasan