Blog Anda Jenis Yang BAGAIMANA?

  

Sudah lama saya tidak menjenguk ke blog orang lain, atau dalam bahasa rasminya blog walking. Ada yang kata blog jongging, ada yang kata blog running. Terpulanglah, mana2 yang dirasakan selesa asalkan ianya membawa konsep yang sama. 

Saya bukanlah seorang yang rajin untuk singgah ke blog orang lain. Saban hari sekadar menaip untuk memuaskan hati sendiri. Apabila memasukkan entri baru, hati terasa puas walaupun tiada sesiapa yang membacanya.


Dahulu ketika masih di awal karier sebagai seorang blogger, semangat untuk mengemaskini blog amatlah tinggi. Terasa bagai tiap saat ingin memasukkan entri baru. Setiap peristiwa yang berlaku ingin dikongsikan dalam blog. Seakan2 ianya telah menjadi satu diary kehidupan. Namun apa yang membezakannya dengan diari sebenar ialah catatan tersebut dapat dikongsikan bersama semua orang, sama ada rakan ataupun orang yang tidak dikenali.

Namun sekarang sudah tidak seperti dulu. Blogging sekadar mengisi ruang masa yang kekosongan sahaja. Jika hambatan masa begitu menekan, alamatnya bersawang la blog saya selama beberapa bulan.

Mujurlah 3 bulan cuti dirumah. Berpeluang juga memeriahkan semula blog yang telah lama ditinggalkan.

Klik dan klik tanpa sedar…

Entah kenapa pagi tadi tangan saya menggatal membuka blog demi blog. Hanya klik pada setiap link yang terpapar di setiap blog yang saya lawati. Walaupun saya tidak mengenali siapa empunya blog, tapi hati terdetik untuk membukanya.

Macam2 ragam manusia yang berblog. Unik. Kreatif. Pandai menghias blog2 mereka. Bermacam2 gadget diletaknya. Jam sahaja pun sampaikan 3 diletaknya. Hinggakan kadang2 untuk membukanya memakan masa yang agak lama. Tidak seperti blog saya yang kelihatan hambar ini. Simple dan kemas sebab terlalu kosong (padahal memuji diri)..

Saya memerhati dan berfikir sendirian saat menatap blog2 yang saya buka. Otak berputar2 memproses beberapa perkara yang dirakamkan ke otak melalui retina.

Dan hasil daripada penelitian dan kajian tidak rasmi itu, saya dapat mengenal pasti beberapa pendekatan yang menjadi kecenderungan setiap blogger dalam menarik minat pelawat untuk bertandang ke tapak blog mereka. Saya boleh klasifikasikan ia pada beberapa kategori ;

1. Berkongsi pengalaman ; sebahagian besar blogger cenderung untuk berkongsi pengalaman2 hidup mereka dalam blog. Sesetengahnya ada yang meluahkan perasaan sama ada gembira, sedih, marah dan sebagainya. Kebiasaannya blogger jenis ini terdiri daripada golongan remaja yang sedang membesar dan mempunyai tahap sosial yang tinggi dengan masyarakat dan teman2nya. Blog jenis ini kebiasaannya mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan individu yang suka bersosial.

2. Hal2 keagamaan ; blogger jenis ini lebih cenderung untuk mengetengahkan isu2 keagamaan sama ada berbentuk tazkirah atau kupasan dan fakta tentang satu2 isu keagamaan. Terkadang pengisian yang diberikan agak berat dan tidak mampu difahami oleh sesetengah lapisan masyarakat. Kebiasaannya blogger jenis ini ialah ustaz2 yang agak terkenal dan mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat. Golongan pelajar yang mengambil jurusan agama juga aktif dalam kategori ini. Blog jenis ini kebiasaannya mendapat sambutan hangat daripada individu2 yang berkefahaman islam secara mendalam.


3. Politik ; bagi mereka yang sukakan ulasan2 isu terkini yang berlaku di dalam negara, kebiasannya cenderung untuk menulis perkara yang berkaitan politik. Ada sesetengahnya yang bersikap pertengahan dan mengulas setiap isu berdasarkan pandang sisi dari semua pihak. Tidak kurang juga mereka yang suka mengulas dari sebelah pihak sahaja. Mereka yang cenderung untuk membawa isu2 ini kebiasannya ialah ahli2 politik, golongan2 dewasa dan sebahagian kecil dari golongan remaja yang berfikiran agak matang.


4. Downloadable link ; blog jenis ini sangat2 berpotensi untuk popular dalam jangka masa yang singkat. Mereka sanggup memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli CD-CD original dipasaran dan memuat naik ke laman2 web yang menyediakan khidmat upload dan download secara percuma seperti mediafire, rapidshare, 4shared dan lain2 lagi. Bagi yang lebih licik, mereka mengambil link2 yang sudah tersedia ada di tapak blog orang lain(terutamanya orang2 luar malaysia) dan meletakkannya di tapak blog sendiri. Kebiasannya blogger jenis ini ialah golongan remaja atau dewasa yang berhasrat untuk menjana pendapatan melalui internet.

5. Nukilan karya ; bagi mereka yang berkarakter seni dan mempunyai pemikiran yang abstrak, mereka akan menggunakan pendekatan jenis ini untuk menarik minat blogger melawat blog mereka. Ada yang menghasilkan cerpen, novel, komik dan lain2 lagi. Kebiasaannya mereka terdiri daripada penulis2 novel atau kartunis yang terkemuka. Namun tidak disangkal bahawa sesetengah golongan muda dan dewasa yang berbakat juga menggunakan pendekatan seperti ini dalam blog mereka. Kebiasaannya sambutan dalam kalangan pelawat juga amat menggalakkan.

6. Copy & paste ; ada juga sesetengah golongan yang mengambil artikel atau entry dari laman lain dan kemudiannya meng’paste’kannya di blog sendiri. Golongan ini kebiasaannya mereka yang kurang kemahiran dalam mengarang artikel, tapi mempunyai keinginan untuk berblog. Bagi yang berhemah, mereka akan meletakkan pautan laman asal di bahagian bawah atau atas artikel tersebut. namun bagi mereka yang kurang berhemah akan mengaku artikel miliknya pula.

7. Jual produk ; bagi mereka yang bekerja sebagai salesman, sudah tentu akan memanfaatkan ruang berblog ini dengan sebaiknya. Mereka akan menjadikan laman blog sebagai satu wadah pengiklanan produk2 mereka. Ada yang berbentuk pakaian, makanan, buku, barangan kemas, sehinggalah keychain2 comel yang dipaparkan dalam blog mereka.

Ini merupakan blog yang saya jumpa. Yang saya belum jumpa saya tidak tahu. Mungkin ada pelbagai lagi jenis dan kategori blog yang belum saya jumpa. Yang pasti kewujudan blog di laman sesawang terlalu banyak untuk dilawati (mungkin kalian boleh search sendiri kajian tentang kewujudan blog di seluruh Malaysia atau di seluruh negara).

Ada juga blog yang mencampurkan beberapa elemen dalam laman mereka. Contoh macam blog saya. Ada entry yang berbentuk pengalaman hidup, ada tazkirah, politik, cerpen dan lain2. Malah bukan saya saja yang mencampur2kan elemen ini, ramai lagi blogger2 lain diluar sana.

Walaubagaimana pun, blogging merupakan satu hobi yang sangat baik. Banyak manfaat yang diperolehi daripada berblog. Ketika menaip, otak anda akan sentiasa berkembang. Imaginasi anda akan bercambah dan tumpuan anda akan semakin tajam. Anda akan berjaya menambah baik kemahiran berbahasa dan kemahiran menaip. Mungkin ianya sebagai persediaan sebelum anda melanjutkan pelajaran ke peringkat master atau phD nanti. Dan yang paling utama, anda akan terhindar daripada gejala2 tidak sihat yang sentiasa bergelumang di luar.

Namun janganlah sampai anda bersikap bagai katak di bawah tempurung pula, hinggakan tidak mahu berkunjung ke rumah sanak saudara ketika cuti. Menghadap komputer setiap masa. Obses terhadap dunia blog (betul ke ayat aku ni)..

Apa yang penting, setiap orang mempunyai kecenderungan masing2 dalam berblog. Kemahiran yang dimiliki oleh blogger2 adalah berlainan. Janganlah mudah terpengaruh dengan stail orang lain. Cari gaya anda yang tersendiri dan jadikan ianya sebagai satu trademark untuk orang mudah mengenali anda. Orang putih kata “be yourself”. Orang arab kata “kun bi nafsika”.

Akhir sekali saya ucapkan salam perkenalan buat semua sahabat blog yang baru saya kunjungi sejak sehari dua ni. Sama2lah kita manfaatkan peluang berblog ini untuk kebaikan bersama. Mohon tunjuk ajar sepanjang berblog, rapat2kan ukhuwwah antara kita. Semoga bersama2 mendapat keredhaan Allah..;)

0 Bisikan:

Catat Ulasan

 

Like Our Page

TQ to all my followers =)

Recent Visitors