Wasiat Dari Pensyarah2 Kepada Semua Pelajar Nilam Puri..



Alhamdulillah pada minggu lepas saya berkesempatan untuk turun ke APIUM bersama beberapa orang teman. Walaupun pada asalnya hati terasa berat untuk melangkah pergi, namun digagahi jua langkah kaki ini. Dan Alhamdulillah, di sana kami sempat bertemu dengan beberapa orang pensyarah dan meminta wasiat2 yang berguna sebagai bekalan dalam meneruskan pembelajaran di kampus induk nanti. Maklumlah, realiti kehidupan di KL bukanlah seperti gamaknya di Nilam Puri. Andai bekalan tidak mencukupi, bimbang diri ini lemas dan hanyut bersama gelombang kehidupan yang tidak pernah surut dan berhenti. Jadi, dalam entri kali ini saya terasa bertanggungjawab untuk berkongsikan wasiat2 ini bersama seluruh warga kampus. Semoga ianya menjadi azimat yang digenggam kejap di sanubari, lantas menjadi panduan dalam meniti hari2 yang penuh mencabar.

Hasrat di hati ingin bertemu dengan semua pensyarah dan menyerahkan sendiri cenderahati kenang2an, namun atas desakan masa kami tidak sempat bertemu kesemuanya. Antara yang sempat ialah Ust Muhiden, Ust Othman, Ust Syukeri, Ust Syed, Ust Alwee, Ust Azrien, Ust Hazrul, Ust Mahyuddin dan Cg Hafizah. Manakala pensyarah2 yang lain hanya sempat berselisih di tengah jalan sahaja. Sempat juga menatap adik2 baru yang baru mendaftar di sana.

Saya mengulas secara keseluruhan perbincangan kami sahaja, bukan secara detail.

Antara perkara utama yang amat ditekankan oleh para pensyarah ialah kesungguhan dalam menuntut ilmu. Mereka teramat menegaskan bahawa janganlah sesekali menganggap menuntut ilmu itu merupakan suatu perkara yang remeh sehingga sanggup mengabaikan kelas. Letakkan ilmu di tempat yang tertinggi dalam hidup. Sentiasa menjaga pointer dalam setiap peperiksaan yang diduduki.

Jangan mudah terpengaruh dengan keadaan dan gaya hidup yang negatif. Kebiasaannya pelajar akan mengalami satu kejutan budaya dan mudah mengikuti arus gelombang tersebut. Jikalau dahulunya di nilam puri, suasana islamik sangat2 baik dan kondusif, namun setelah berpindah ke KL nanti suasana di kampus induk sangat2 berlainan. Gaya hidup akan berubah dengan serta merta. Bagi penduduk2 yang sudah biasa dengan kehidupan bandar mungkin dapat meramal bagaimana corak kehidupan yang akan dihadapi setibanya di KL nanti. Namun bagi mereka yang tidak biasa, dibimbangi akan mudah terpengaruh dengan keadaan yang tidak melambangkan adab dan ciri2 ketimuran sebenar itu.

Hormat terhadap guru dan pensyarah. Ingatlah kata2 Saidina Ali r.a. “Walau sepatah huruf yang diajarkan seorang badwi kepadaku, nescaya aku akan menghormatinya sebagai seorang guru (kalau silap harap perbetul).” Jangan sesekali bersikap biadab dan kurang ajar terhadap orang yang telah memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Jangan sesekali bersikap sombong terhadap ilmu yang telah dipelajari. Ingatlah, pepatah ada menyebut, “Siapalah seorang perdana menteri tanpa seorang guru.”

Jangan sesekali leka dan terlampau sibuk berpersatuan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai seorang pelajar. Pelajar seharusnya bijak mengatur jadual harian mereka supaya tidak berlaku kecelaruan dalam memilih perkara yang menjadi keutamaan. Kadang2 kita tersalah memilih keutamaan dalam melaksanakan tugas2 yang dipertanggungjawabkan sehingga sanggup mengorbankan masa untuk ke kelas semata-mata melakukan sesuatu pekerjaan. Ust Muhiden sangat2 bertegas dalam hal ini. “WALAU MACAMANA SIBUK SEKALIPUN, JANGAN SESEKALI PONTENG KELAS,” ujar beliau dengan tegas.

Beliau juga menambah, “Cuba kamu lihat bagaimana perjuangan Tuan Guru Nik Aziz ketika bergelar sebagai penuntut ilmu. Beliau tidak pernah memandang remeh dalam soal pelajaran. Beliau langsung tidak menyibukkan diri dalam perkara2 lain ketika sedang menuntut ilmu. Selepas menghabiskan pelajarannya di Universiti Lahore, Pakistan barulah beliau ditawarkan untuk menyertai politik.”

Ust Alwee pula menyebut, “Orang muda ni darah masih menggelegak. Kebiasaannya cenderung untuk melakukan sesuatu atas dasar semangat. Jarang memikirkan kesan jangka panjang.”

Antara yang paling saya terkesan ialah “Kamu semua harus ingat bahawa kamu ke sana nanti akan membawa imej nilam puri. Andai kamu menunjukkan imej yang baik, maka baiklah nilam puri. Andai kamu menunjukkan imej yang sebaliknya, maka tercemarlah nama nilam puri. Selama ini ustaz2 dan semua pensyarah bertungkus lumus membuat yang terbaik untuk menaikkan nama nilam puri. Janganlah kerana sikap segelintir daripada kalian yang membuat onar, maka segala usaha kami menjadi sia2.”

Ust Hazrul pula menyebut, “Kalau kamu sedar, pihak HEP telah membuka ruang diplomasi yang luas kepada kita. Bermacam2 kemudahan mereka telah sediakan. Kamu mahu peruntukan program pun mereka bagi. Malah yang paling membanggakan, pelajar kita telah dipilih menjadi wakil UM untuk ke China dalam lawatan penyelidikan yang dibuat di sana. Pelajar kolej lain langsung tidak mendapat kesempatan itu. Maka, kamu selaku wakil nilam puri di sana, gunakanlah ruang diplomasi ini sebaik mungkin dalam meneruskan agenda dakwah di sana nanti. Janganlah kerana sikap kita, hidayah Allah makin jauh daripada sasaran yang kita kehendaki. Berpesanlah kepada kebenaran dan kesabaran.”

Manakala kata-kata dari Ust Azrien pula seperti berikut, “Kamu kat sana nanti jangan jadi mat study je. Sertailah mana2 persatuan secara aktif. Kalau kamu sedar, sebenarnya dengan berpersatuanlah akan membentuk personaliti diri kamu dari dalam. Kamu akan mendapat pelbagai kemahiran dengan mengikuti aktiviti2 persatuan. Malah dengan berpersatuan kamu dapat mengasah bakat kepimpinan yang kamu ada. Kamu akan banyak didedahkan dengan pengalaman2 yang berguna. Dengan mengikuti aktiviti2 persatuan, secara tidak langsung kamu akan dapat menimba pengetahuan dengan lebih luas. Kamu akan belajar bagaimana berurusan dengan pihak2 tertentu, kamu akan belajar bagaimana menguruskan sesebuah persatuan dengan baik dan bagaimana mengatasi permasalahan2 yang timbul. Secara tidak langsung kamu dapat mengasah pemikiran kamu menjadi lebih kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah. Semua ini merupakan ilmu yang tidak akan kamu perolehi dalam kelas.”

Demikianlah antara pesanan, harapan, dan luahan yang disampaikan oleh para pensyarah. Mungkin ada beberapa perkara yang tertinggal - lantaran terlupa, namun saya rasakan amanat2 ini sudah cukup jelas untuk kita ambil perhatian dan menjadikannya sebagai azimat. Dan saya rasakan pesanan2 ini bukan setakat ditujukan kepada kita yang akan melangkahkan kaki ke sana sahaja, tapi ianya umum dan terbuka kepada semua pelajar yang pernah menimba khazanah ilmu di nilam puri. Semoga dengan sikap dan akhlak yang ditunjukkan oleh generasi2 kita, nilam puri akan terus berdiri sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja melahirkan pelajar yang berwibawa, malah barisan pendakwah yang disegani ramai.

Akhir kata, saya mewakili semua sahabat mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pensyarah yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu kepada kami sepanjang 2 tahun kami berada di nilam puri. Kami memohon ribuan kemaafan atas segala kesalahan yang kami lakukan sepanjang berada di nilam puri sama ada dalam sedar atau tidak. Halalkan segala ilmu yang telah dicurahkan. Semoga dengan ilmu2 tersebut kami mampu menjadi generasi yang membanggakan islam. Doakan kami agar selamat dan sejahtera di tempat baru.

*Kalau ada tambahan daripada Syis, Nasrul, Edy dan Rasyid (yang sama2 turun ke np hari tu) sangat2 dialu2kan..
*Dialog yang terdapat di atas merupakan olahan saya berdasarkan point dan huraian yang diberi, tidak tepat seperti yang asal.
*Saya akan update semula kalau ada tertinggal point2 yang penting.

3 Bisikan:

  1. terasa plak ak nk p jgak nlam puri tp xthu lg bila..

    BalasPadam
  2. Salam...syukran atas perkongsian ini..!!

    terasa berat sgt pesanan yg para pensyarah berikan.. insyaAllah..akan dipegang pesanan ini sbgai pedoman utk idup yg lebih cemerlang..ameen!!!

    BalasPadam
  3. tiada yang ringan atas muka bumi ni..tanggungjawb selaku hamba Allah tidak akan pernah berhenti mengejar..

    BalasPadam

 

Like Our Page

TQ to all my followers =)

Recent Visitors