Kasim Dan Seorang Tua...

   
Matanya melilau-lilau mencari tempat untuk meletakkan motosikal. hatinya sedikit lega apabila melihat tempat parkir di situ masih banyak yang kosong. Mungkin kerana faktor masa yang masih awal pagi menyebabkan orang ramai masih belum berpusu-pusu ke tempat itu. Kalau sudah tengah hari, memang sesak la jawabnya.

Motor diparkir di sebelah LC berwarna putih. Dia sedikit teruja melihat motor sebelahnya itu. Dalam diam, sebenarnya sudah lama dia berhasrat untuk memilikinya, Cuma masih belum tahu bila kesempatan itu akan tiba. Dia sekadar mengeluh halus sambil melirikkan senyuman kecil.

Langkah terus diatur menuju ke tempat yang dijanjikan. Lantunan suara daripada telefon bimbitnya sudah kedengaran berkali-kali. Dia hanya tersenyum membaca mesej yang diterima.

“Ya saya sudah sampai..” dia membalas mesej sahabatnya itu.

Baru beberapa langkah berjalan, tiba-tiba dia disapa oleh seorang tua. Rambutnya putih, penuh beruban. Kurus kering dan berkacamata. Gayanya seakan cemas. Seakan mengejar masa.

“Assalamualaikum dik, tumpang tanya. Adik pekerja kat sini ke?” tanya orang tua itu.

“Waalaikumsalam. Eh, saya bukan pekerja kat sini. Kenapa pakcik?” Kasim pula bertanya orang tua itu.

“Owh.. adik free tak sekarang? Pakcik nak minta tolong kejap ni.. kejap je.. itu pun kalau adik free la..” ujar orang tua itu. Kasim terdiam. Sedang berfikir.

“Apa yang boleh saya tolong tu?” tanya kasim. Dalam masa yang sama dia terfikirkan perjumpaan bersama rakan yang dijanjikannya. Bimbang andai sahabatnya tertunggu-tunggu.

“Kunci pakcik tertinggal kat dalam kereta, terkunci tak boleh buka. Jadi sekarang ni pakcik nak ke bengkel yang berdekatan, nak jumpa kawan pakcik minta dia tolong bukakan, tapi susah plak nak jumpa teksi kat sini..” ujar orang tua itu. “Sekarang ni anak pakcik tengah operate nak bersalin, memang nak cepat ke bengkel ni sebab semua dokumen tertinggal kat dalam kereta tu. Dompet pun kat dalam tu jugak..” tambahnya.

Kasim sekadar mengangguk mendengar cerita orang tua itu. Terbit simpati dalam hatinya. Dalam masa yang sama dia mula memikirkan sahabatnya yang sudah lama menunggu di tempat yang telah dijanjikan. Hatinya berkira-kira untuk menolong orang tua tersebut.

“Adik ada urusan pape ke? Kalau ada takpe la, pakcik minta maaf sebab mengganggu pula. Biar pakcik cari orang lain la..” tambah orang tua itu.

“Eh, takpelah. Biar saya tolong pakcik dulu. Kesian pula nanti terjadi apa-apa kat anak pakcik tu. Bengkelnya kat mana? Pakcik tahu lokasinya tak?” ujar Kasim. Dia mengutamakan pakcik yang sedang dalam kesusahan itu dan berhasrat untuk membantunya. Dalam masa yang sama dia sempat menelefon rakannya dan memberitahu hal yang telah menimpa orang tua itu. Dia melewatkan pertemuannya dengan sahabatnya itu.

“Ya Pakcik tahu.. Ada kat area sana,” ujarnya sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke satu arah yang tidak dapat digapai oleh pandangan mata. Kasim sekadar mengangguk sambil matanya cuba melihat ke arah yang ditunjukkan.

Kasim masih was-was. Dia masih belum mampu membuat sebarang keputusan. Hatinya masih sangsi dengan orang tua itu. Dalam masa yang sama perasaannya masih berbelah bagi antara perjumpaan dengan rakannya ataupun menolong orang tua tersebut, kerana pertemuan dengan rakannya itu juga penting.

“Urmm.. takpe, macam ni lah. Apa kata kalau pakcik nak guna motor adik sekejap untuk ke bengkel tu, sebab pakcik nampak adik macam ada hal penting sangat je. Nanti pakcik bayar duit minyak, pakcik bagi RM50 ringgit..” ujar orang tua itu. Mungkin dia dapat membaca kegelisahan pada raut wajah Kasim ketika itu. “Sebenarnya pakcik pun risau ni sebab pakcik tengah pegang duit banyak ni, untuk bayaran pendahuluan kos operate tu. Ni ha duitnya..” tambah orang tua itu sambil mengeluarkan satu sampul surat tebal dari belakang bajunya. Matanya melihat ke kanan dan kiri untuk memastikan tiada orang lain yang melihat sampul duit itu.

Kasim terkesima. Terkejut dalam diam. “Mak ai.. bahayanya pakcik ni bawak duit banyak-banyak camni..” suara hatinya membentak.

Dalam perasaan terkedu yang cuba disembunyikan itu, dia bersetuju untuk membawa pakcik itu ke bengkel yang dikatakan. Perasaan bimbang masih bersarang di benak. Risau keselamatan orang tua itu kerana membawa wang sebanyak itu. Tunai beb!

“Baiklah pakcik, jom saya hantarkan,” ujar Kasim. Pakcik tua itu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Kasim kerana sanggup membantunya. Lantas enjin dihidupkan, dan kasim membawa orang tua itu ke bengkel yang dikatakan itu.

Sepanjang perjalanan, orang tua itu tidak memakai topi keledar. Walaupun kasim merasakan gusar, namun kerana hal kecemasan, dia sanggup menanggung risiko andai bertemu dengan pihak polis. Sekalipun disaman polis, dia tetap akan mempertahankan pendiriannya kerana ingin membantu orang yang dalam kesusahan. Dia berasa yakin dengan kebaikan yang dilakukannya itu.

“Okey dik, kita berhenti kat area belakang bengkel tu sikit. Kalau kat depan sesak, takde parking,” ujar orang tua itu memberi arahan sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke arah lorong belakang barisan kedai-kedai di situ. Tidak kelibat orang lalu lalang melainkan deretan kereta yang diparkir di bahu jalan sahaja.

“Baiklah pakcik,” ujar Kasim. Hatinya lega kerana sepanjang perjalanannya itu tiada polis yang meronda di sepanjang jalan.

“Adik tunggu kat sini kejap ye, pakcik nak pergi jumpa dengan kawan pakcik tu sekejap,” ujar orang tua itu. Kasim sekadar mengangguk sambil meletakkan motornya di celah-celah kenderaan lain supaya motornya tidak menghalang jalan. Sekalipun agak lengang, terdapat beberapa buah kereta yang lalu lalang di situ.

5 minit menunggu, tiba-tiba orang tua itu muncul kembali sambil tercungap-cungap. Kasim yang melihat orang tua itu merasakan kasihan. Terbit perasaan simpati kerana melihat kudrat orang tua yang sudah lemah itu berbanding dirinya yang masih kuat dan bertenaga. Namun perasaan itu hanya disimpan dalam hati sahaja, tidak dizahirkan.

“Alamak dik, kawan pakcik tu takde kat bengkel pulak. Pakcik nak cuba telefon dia sekejap la. Ada nampak public phone tak kat area sini?” tanya orang tua itu sambil matanya melilau-lilau mencari pondok telefon di setiap sudut lorong itu.

“Err pakcik.. takpe lah, guna je la henset saya telefon kawan pakcik tu..” kasim menawarkan telefonnya kepada pakcik itu, kerana dia tahu memang di kawasan itu tiada pondok telefon. namun kelihatan raut wajah orang tua itu berubah, seakan-akan serba salah kepada kasim.

“Dik, pakcik sebenarnya malu nak pinjam henset adik ni.. dahnya tadi adik yang tolong hantarkan, ni tiba-tiba pakcik nak guna telefon adik pulak.. aduii, pakcik serba salah la…” ujar orang tua itu dengan raut wajah yang suram. Kasim yang mendengarnya merasa sedikit sebak.

“Alah pakcik ni, apa salahnya saya menolong orang dalam kesusahan. Buat apa nak berkira dalam berbuat kebaikan. Lagipun berapa sen sangat kalau setakat nak tanya kawan pakcik tu kat mana.. takpe, guna je lah,” ujar kasim sambil menghulurkan telefonnya itu. Dengan wajah yang penuh dengan seribu galau, orang tua itu mengambil telefon yang dihulurkan oleh kasim itu. perlahan-lahan dengan perasaan segan yang masih berbekas di hati.

“Terima kasihlah ya nak,” ujar orang tua itu penuh lembut. Kasim hanya tersenyum.

Orang tua itu segera menghubungi nombor kawannya itu. dalam masa yang sama dia mengeluarkan sampul surat yang berisi duit kos pembedahan anaknya itu, dan memberikannya kepada kasim. Kasim terpinga-pinga.

“Dik, dalam ni ada duit banyak. Tolong jagakan sekejap. Pakcik risau takut nanti tengah dalam bengkel ada orang rompak ke. Orang sekarang ni mana boleh percaya sangat. Kadang-kadang kawan sendiri pun tikam belakang jugak. Adik tolong pegang ya, pakcik nak jumpa kawan pakcik tu. Jangan pergi mana-mana, tunggu sampai pakcik datang..” ujar orang tua itu. kasim menuruti kata-katanya. Dalam diam dia juga berasa cemas kerana memegang duti sebanyak itu. tidak pernah dalam seumur hidupnya memegang tunai setebal sampul surat itu.

Dan orang tua itu melangkah pergi sambil bercakap-cakap dengan kawannya melalui telefon yang dipinjamkan kasim. Melangkah dan terus menghilang dari pandangan.

****

5 minit kemudian, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang perempuan berjalan menuju ke arahnya dalam raut muka yang berkerut. Perempuan itu berumur sekitar 45 tahun, sambil memakai pakaian seorang cleaner. Di tangannya ada sebatang penyapu. Berbangsa cina. Dia menegur kasim dalam nada yang agak tegas.

“Adik, kenapa lu bagi itu henset sama itu olang tua. Lu ada kenal dia ka sebelum ni?” ujar wanita tersebut dengan nada yang agak keras. Kasim kehairanan, siapa perempuan ini? Apa kaitan dia dengan orang tua itu?

“Err.. saya tak kenal dia la aunty.. baru saja jumpa dia hari ini.. dia minta tolong saya bawa dia ke sini, dia kata nak jumpa kawannya di bengkel..” ujar kasim agak gugup.

“Haiya.. lu tau tak.. itu olang tua penah ada satu kali datang sini juga, bawak olang naek moto, kemudian dia suruh tunggu sini, lepas itu dia ambil henset dan terus bawa lari.. sama macam lu juga sekarang ni.. haiya..” ujar perempuan itu. kasim kehairanan. Hatinya benar-benar kaget. Benarkah apa yang dikatakan oleh perempuan ini?

“tapi pakcik tu ada bagi saya pegang duit banyak, takkan la dia nak lari pulak, nanti habisla duit di……” belum sempat kasim menghabiskan kata-katanya, dia terus mencapai sampul surat yang berisi duit itu. sepantas kilat dia terus membuka ikatan-ikatan yang tersimpul pada sampul tebal tersebut. Tangannya menggeletar saat membuka simpulan getah yang terakhir pada sampul tersebut. Hatinya membentak. Lidahnya menyumpah seranah orang tua itu. sampul yang baru sahaja dibukanya penuh dengan helaian surat khabar yang dilipat-lipat!!

“Arrgghhh..” dia membentak halus. Menzahirkan kekesalan dan kemarahan. Hatinya panas. Tangannya melihat jam yang terlekap di pergelangan tangan. Masih belum terlewat untuk mengejar orang tua itu. sepantas kilat dia menongkat motornya ke tepian. Sampul yang tergenggam di tangannya dilemparkan ke bahu jalan bersama amarah yang tersimpan di hati.

“Aunty, tolong jagakan motor saya sekejap.. saya mahu kejar itu orang tua.. rasanya dia masih belum lari jauh..” ujar kasim. Dia tekad ingin mendapatkan orang tua itu kembali. Perempuan cina itu sekadar mengangguk. Topi keledar dan motorsikal ditinggalkan kepada perempuan itu. dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada perempuan cina itu untuk menjaga motornya.

Kasim berlari pantas menuju ke arah yang dilalui oleh orang tua itu. kelibat orang ramai menyebabkan kasim agak sukar untuk mengenal pasti rupa paras orang tua itu walaupun dia masih mengecamnya. Lorong yang agak bersimpang siur semakin menyukarkan dia menjejaki orang tua itu.

“Bang, tumpang tanya. Abang ada nampak tak seorang tua yang berjalan kat sini sambil menelefon seseorang. Rambutnya warna putih, pakai cermin mata, dan agak kurus-kurus sket..” tanya kasim kepada salah seorang lelaki yang berada di situ. Namun jawapan yang diterima tidak memuaskan. Mungkin kelibat orang yang ramai menyebabkan orang itu juga tidak menyedari kehadiran orang tua itu.

Kasim meneruskan perjalanan, tidak berputus asa menjejaki orang tua itu. dia yakin bahawa orang tua itu masih berada di kawasan yang berdekatan. Dia cuba berjalan ke lorong yang lain pula. Masuk ke setiap kedai yang berada di sekitar deretan bangunan itu. matanya tajam merenung ke setiap sudut kedai yang dimasukinya. Mencari-cari kelibat orang tua itu, namun tetap hampa.

Dia tidak dapat menumpukan pencariannya dengan baik kerana dalam masa yang sama hatinya tidak tenteram memikirkan keselamatan motornya yang dijaga oleh perempuan cina itu. dia bimbang perempuan itu salah seorang daripada dalang pencurian itu juga. Lantas setelah merata menghabiskan setiap deretan kedai, dia mengambil keputusan untuk kembali ke tempat dia memarkir motornya tadi. Sekembalinya ke sana, dia melihat perempuan cina itu masih setia menanti di tempat asal, menjaga motornya dengan baik. Dalam hati kasim, dia memanjatkan kesyukuran. Perempuan cina pun jujur dalam menjaga amanah yang diberikan. Sedangkan orang tua melayu itu sebaliknya.

“Apa macam? Dapat kejar ka itu olang tua?” tanya perempuan itu setelah melihat kelibat kasim pulang dari pencariannya. Kasim sekadar menggeleng hampa. Perempuan cina itu sekadar mengeluh sambil mulutnya tidak berhenti-henti bercerita mengenai orang tua itu.

Kasim sudah hilang mood untuk bercerita mengenai orang tua itu lama-lama. Dia sudah malas memikirkan peristiwa itu. dalam fikirannya sekarang, dia perlu segera berjumpa dengan sahabat yang dijanjikannya pagi tadi. Dia rasa bersalah kerana telah memungkiri janjinya dan terlewat hadir dalam pertemuan itu.

“Ok lah aunty, terima kasih banyak-banyak ya sebab menyedarkan saya tentang penipuan pakcik tua tu. Kalau tak kerana makcik mungkin saya terpaksa menunggu sini sampai petang,” ujar kasim. Dia sangat-sangat berterima kasih dengan perempuan cina itu. perempuan cina itu sekadar mengangguk dan bersimpati terhadap nasib yang menimpa kasim.

Dan kasim terus menuju ke destinasi seterusnya untuk menyelesaikan urusannya yang masih terbengkalai.

*Kasim hanyalah watak rekaan.. Mangsa sebenarnya adalah saya.. sob3 ~.~

Ulasan

  1. Waa.. Ada rupanya org mcm tu... Penipu besar juga..

    BalasPadam
  2. aiya.. mungkin ade hikmah dan pengajaran..

    BalasPadam
  3. orang zaman sekarang takleh percaya sangat.. orang tua pun masih sanggup menipu dan mencuri lagi.. berapa detik lagi nak hidup di dunia ni.. tapi perangai belum nak taubat.. harap2 janganlah sampai dia mati ketika sedang melakukan kejahatan tersebut...

    BalasPadam
  4. salam,.

    sabor ye.... semoga lepas ni kamu lebih berhati hati lagi...

    BalasPadam
  5. ya.. insya Allah.. lebih berhati2.. huhu..

    BalasPadam
  6. kena pada diri sendiri rupanya. ingatkan cerpen rekaan. huu.

    manusia, akhir zaman.

    BalasPadam

Catat Ulasan