Pengembara KEHIDUPAN...


Dulu sepanjang bulan pertama dalam cuti yang saya jalani , mak saya sering memarahi saya, 

“engkau ni asyik duk kat rumah je, cuba la keluar-keluar sikit cari kerja ke apa ke…”

Saya hanya mampu menguntum senyuman kecil. Saya cuba menjawab dengan sebaiknya.

“bulan ni memang abang takde keje sangat lagi mak. Nanti dah masuk bulan depan baru la abang banyak program. Bukannya tanak kerja, tapi takut nanti dah kerja susah pulak nak ikut program-program tu, padahal kitorang dah rancang dari sebelum cuti lagi…”

Tapi beliau sekadar mendengar dan tidak mengendahkan sangat alasan yang saya berikan. Hmmm tak kisah pun, dah biasa dimarahi mak.

Maka bermulalah cuti yang indah di rumah. Cuba merehatkan diri dari sebarang belenggu permasalah yang sering dihadapi ketika berada di kampus. Sambil-sambil cuba mencari ilham untuk menggubah lagu, dengan harapan buka sem nanti dah boleh terus rancang untuk pembikinan muziknya.

Dan setelah masuk bulan kedua dan ketiga dalam percutian saya tu, soalan beliau sudah mula berubah secara drastik,

“engkau ni asyik keluar je, dah tak macam cuti je mak menengoknya..”

Senyuman saya semakin lebar mencecah ke cuping.

“aii, dulu mak jugak yang marah sebab asyik duk kat rumah aje. Ni orang dah keluar mak marah jugak. Yang mana satu mak nak ni sebenarnya?” saya cuba membalas omelan mak. Siapa yang tak pening. Kejap suruh duk rumah, kejap suruh keluar. Tapi sebagai seorang anak saya tetap menjaga tune suara agar tidak terlepas terlalu tinggi atau selainnya. Bimbang menyinggung perasaannya pula.

Mak hanya tersengih. Mungkin dia malu sendiri. Termakan dengan kata-katanya sendiri. Dia sekadar membalas dengan lewa untuk menyedapkan hatinya dan hati saya.  Akhirnya dia akur dan pasrah dengan pemergian saya ke sekian-sekian tempat. Malah ayah turut memberi duit poket untuk dibelanjakan sepanjang perjalanan saya nanti. Alhamdulillah, ayah sentiasa memahami keadaan kewangan anaknya ini. Huhu.

Sebenarnya terdetik juga niat di hati nak cari pekerjaan sempena cuti yang panjang ni. Paling kurang dapat la tambah duit poket buat beli barang-barang yang diingini ke, tukar henset ke, kahwin ke. Tambah-tambah memang banyak barang yang diangan-angankan untuk dimiliki. Telah siap disenaraikan mengikut priority masing-masing. Tunggu duit memenuhi ruang poket je. Ada duit, jalan tanpa banyak cakap.

Tapi mengenangkan program yang agak banyak yang harus dilalui sempena cuti ni, maka niat tersebut terpaksa dikorbankan buat sementara waktu. Lagipun program-program yang saya ikuti ni pun bukan sebarang program, dan bukan sekadar suka-suka. Kebanyakannya program motivasi sekolah dan macam-macam lagi program yang berbentuk sumbangan kepada masyarakat. (semoga ianya tidak mengundang riak di hati)

Secara jujurnya saya rasakan seolah-olah jiwa saya telah sebati dengan program-program sebegitu. Setiap kali berhadapan dengan adik-adik yang akan dibimbing, hati seakan terasa tenang dan senang. Berhadapan dengan jiwa-jiwa yang suci dari dosa dan masih ‘putih’ berbanding diri saya ni merupakan satu situasi yang menginsafkan. Secara tidak langsung kadang-kadang kita akan terbayangkan diri kita ketika sekolah dahulu, dengan keadaannya yang comot, suka main-main, suka bising dan sebagainya. Suka duka ketika diri masih mencari identiti sebenar sebagai seorang hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi ini. Itulah kenangan-kenangan yang terindah buat seorang pejuang dan pengembara kehidupan.

Itulah dunia kita, yang pernah kita lalui dahulu. Saya rasa tidak wajar untuk kita melupakannya. Malah andai dikorek dan diselami, kita akan merasakan indahnya dunia ketika jiwa masih tidak mengenal hakikat kemunafikan dunia. Segala-galanya indah terbentang di depan mata.

Namun saat ini saya telah berdiri sebagai seorang yang memegang taklifan dariNya. Seorang pemimpin yang harus membimbing manusia ke arah TuhanNya. Inilah tugas yang selalu bermain dalam mimpi ngeri saya. Dan akhirnya ia diterjemahkan dalam realiti kehidupan. Itu belum ditambah dengan konflik akidah dan pegangan yang melanda di benak. Dunia hari ini ternyata terlalu banyak tipu daya dan fitnahnya. Bergantung kepada keredhaan dan rahmatNya untuk menentukan siapakah yang lebih layak untuk mencium haruman syurgaNya.

Semoga penghujung hayatku dalam sujud yang tidak pernah surut kepadaMu, Tuhan…
   

Ulasan