Setelah Lama 'Menyepi'...

   
Saya kira sudah masuk bulan ketiga dalam sesi percutian panjang untuk semester 2 yang telah saya tempuhi. Jumlah kesemuanya ada 4 bulan, dan masih berbaki tidak kurang sebulan dari sekarang. Ternyata cuti yang begitu panjang menyebabkan otak tidak mampu berfikir secara intelektual – seakannya sebelum ni intelektual la sangat. Kebanyakan masa cuti terhabis sepenuhnya hampir di rumah, berbakti kepada kedua ibu bapa dan mendapat tarbiyyah secara langsung dari mereka. Alhamdulillah, diberikan kesempatan untuk menghabiskan masa dengan keluarga. Harus mensyukurinya sebelum nikmat itu ditarik balik dari pancaindera.

Ramai sahabat yang mencari-cari pekerjaan sempena cuti panjang mereka. Bagi mereka inilah kesempatannya untuk mencari wang saku perbelanjaan demi menampung makan minum mereka sewaktu sesi pembelajaran bermula nanti. Ada juga yang mengumpul duit kerana berhajat untuk memiliki sesuatu, dan ada juga yang mengumpulnya sebagai persiapan awal untuk mendirikan rumah tangga nanti. Maklumlah, umur sudah masuk 20-an, masing-masing sudah memikirkan masa depan yang lebih complicated. Ada yang sudah mendapat pasangan yang diingini, tak kurang juga yang masih mencari. Lebih-lebih lagi kami-kami ni yang mengambil kos pendidikan islam, tentu sekali mengambil jalan yang diredhai Allah untuk menjalinkan hubungan percintaan secara halal. Say no to couple.

Maka dalam ketidaksedaran ini, rupa-rupanya sudah hampir kepada bulan yang dinanti-nantikan, iaitu bulan Ramadhan. Tak lama lagi akan bermulanya fardhu kewajipan yang ketiga dalam rukun islam. Akan bermulalah episod perjuangan menentang hawa nafsu yang terpenting dalam agama islam. Bulan yang dijanjikan Allah untuk hambaNya. Bulan yang senantiasa dinantikan oleh para soleh, dirindui oleh para pencintaNya. Bulan dicurahkan segala kerahmatan dan kemuliaan. Pesta keraian bagi abid dan manusia yang meraih penyucian jiwa.

Ramadhan kali ini bakal disambut di rumah. Janggal rasanya meraikannya secara sendiri. Kebiasaannya sebelum-sebelum ini sering diraikan di tempat pengajian. Berpuasa bersama rakan di kampus dan masyarakat luar. Hadir ke kuliah dalam keadaan puasa dan menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh persatuan-pesatuan tertentu. Ada program yang tersendiri untuk menghidupkan ramadhan di kampus biasanya. Suasana tadarus dalam kalangan sahabat di kelas dan majlis iftar bersama kawan-kawan sejabatan. Petang-petang menaiki motor menuju ke masjid-masjid sekitar untuk merasa suasana berbuka di tempat yang berbeza. Tak kurang juga pada waktu malamnya menjelajah ke masjid-masjid tertentu untuk merasakan suasana tarawih pula, mencari-cari imam yang menarik bacaannya untuk ditatap telinga.

Dan kali ini bakal menyambutnya di rumah. Pihak nazir kampung telah bersetuju untuk menjemput saya menjadi imam sepanjang bulan ramadhan ini nanti. Nampaknya sudah tiba giliran untuk saya berbakti pada masyarakat kampung pula setelah sekian lama saya agak ‘menyepi’ dari mereka. Sebelum-sebelum ini sering mendapat tawaran di tempat yang jauh dari kampung, tambahan pula memang keadaan yang tidak mengizinkan untuk berada di kampung ketika ramadhan lantaran terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di kampus. Kalau dapat cuti pun hanya sekitar seminggu sebelum raya atau kurang dari itu. Memang tak sempat.

Dan ramadhan kali ini bakal disambut di rumah. Mungkin suasananya berbeza berbanding di kampus, namun bagi saya ianya bergantung kepada penghayatan dalam diri sendiri. Andai benar-benar diri menginginkan yang terbaik dalam ramadhan yang bakal hadir ini, insya Allah tiada bezanya sambutan walau di mana jua kita berada. Tepuk hati tanya iman, apa yang aku inginkan dalam ramadhan kali ini? Jom mula pasang niat sedari sekarang. Semoga ramadhan yang bakal tiba menjanjikan kesudahan yang baik dalam penghidupan kita tahun ini, insya Allah.
   

Ulasan