PESANAN Buat Para Imam Terawih....

 

Alhamdulillah, baru-baru ini permohonan saya untuk mengikuti program Akademi Imam Muda Terawih telah diterima. Program tersebut merupakan anjuran bersama Masjid Negeri Shah Alam dan JAIS. Walaupun keputusannya lewat diumumkan, namun bagi saya ini satu peluang yang mendebarkan kerana secara tidak langsung kami membawa nama Masjid Negeri Shah Alam dan JAIS pada Ramadhan kali ini. Berlainan dengan tahun-tahun lepas, saya hanya menjadi wakil kepada diri sendiri dan keluarga sahaja.

Sebenarnya pada tahun lepas saya sudah cuba untuk memohon, namun oleh kerana keterlewatan, maka saya tidak berkesempatan untuk mengikutinya. Alhamdulillah pada tahun ini saya pergi dengan lebih awal. 2 bulan sebelum Ramadhan. Sekadar mencuba nasib. Jika dapat alhamdulillah, jika tidak dapat insya Allah berbakti kepada masjid lain pula. Dan keputusannya dapat. Ada lagi dua orang sahabat yang bersama juga berjaya dapat. Mereka berdua merupakan sahabat rapat saya semasa zaman persekolahan, Muhammad Nur Waafi dan Ahmad Faidhul Irfan.

Bayangkan, setelah hampir 4 tahun berpisah di zaman persekolahan, dan akhirnya bertemu di program itu pula. Bagi saya ianya suatu kemanisan dalam persahabatan. Kerana al-Quran kami bertemu dan berpisah. Dahulu duduk sebelah sahaja masa di sekolah. Segala rahsia dikongsi bersama. Suka dan duka dan lain-lain lagi. Hehehe.

Kadang-kadang bila terfikirkan lawak juga. Ketika mula bertemu di perjalanan menuju ke Masjid Shah Alam tu, sempat lagi membawa sahabat saya tu menuju ke kedai tayar. Siap mengusung tayar sepanjang perjalanan balik dari Shah Alam menuju KL. Rasa macam agak tidak berapa sesuai untuk perjumpaan pertama setelah hampir 4 tahun tidak bertemu. Tapi peduli apa aku, lantak larhh. Hahaha.

Dan baru 2 hari lepas, saya telah mengikuti taklimat berkenaan program akademi imam ini, bertempat di Masjid Shah Alam. Pelbagai tips dan perkongsian yang disampaikan kepada bakal-bakal imam terawih. Kesemuanya sangat penting bagi seorang imam. Biasalah, bila jadi imam, kita akan diperhatikan dari hujung rambut hingga hujung jari kaki.

Antara perkara yang ditekankan ialah berkenaan syahsiah. Sebagai seorang imam, kena jaga penampilan setiap masa termasuklah pakaian, pertuturan, pergaulan, kekemasan, kebersihan dan lain-lain lagi. Manakan tidak, seorang imam itu sebenarnya merangkap seorang ketua atau amir. Sebagai seorang pemimpin, maka sudah tentu menjadi buah mulut orang. Hanya dua, sama ada baik atau buruk, itu sahaja. Pilih lah yang mana nak.

Antara lain, sebagai seorang imam harus ada hati dan niat yang ikhlas. Harus bertanya pada diri, apakah aku menjadi imam semata-mata kerana aku hendakkan duit? Mengapa begitu murah kita menjual maruah sebagai seorang hafiz hanya kerana bayaran sekecil itu? Jangan pernah ada rasa berkepentingan sendiri, kerana tanggungjawab menjadi imam itu besar. Kita merupakan duta al-Quran, duta seorang hafiz, seorang imam. Jangan sampai kerana kepentingan dunia, kita menjual akhirat dengan harga yang sedikit.

Yang paling saya suka, berkenaan ikhlas, ustaz tersebut menyebut, “jangan sampai ada dalam kalangan kita yang merasakan bahawa bacaan kita lebih sedap dari bacaan imam yang satu lagi, atau imam yang lain!” hahaha. Memang betul-betul sentap. Kerana memang kadang-kadang kita syok sendiri dengan merasakan bahawa bacaan kita lebih sedap dan merdu daripada orang lain. Padahal sebenarnya bacaan kita biasa-biasa sahaja. Huhuhu.

Antara lain berkenaan ikhlas, ustaz tersebut menambah, “kadang-kadang kita tidak perlu melagukan sangat bacaan kita, cukup hanya dengan bacaan yang penuh ikhlas, insya Allah bacaan tersebut akan singgah ke ruang hati para makmum. Bacaan tersebut akan masuk ke dalam hati-hati manusia kerana hati itu adalah milik Allah, maka hanya Dia lah sahaja yang berkuasa untuk memberikan sesuatu kepada setiap hati manusia. Kita tidak punya apa-apa kuasa untuk mempersembahkan sebuah bacaan yang mampu menyentuh hati manusia. Maka itu bacalah dengan bacaan yang penuh ikhlas, ditujukan kepada Allah swt. Maka manusia juga akan merasainya.”

Kemudian beliau menceritakan lagi, “saya dahulu pernah menyertai musabaqah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan dapat meraih johan. Maka pada ketika itu saya mendapat jemputan khas dari imam besar Masjidil Haram untuk masuk ke dalam kaabah. Saya dapat memasuki kaabah, dan melihat apa yang berada di dalamnya.” Dalam hati saya sangat teruja mendengar ceritanya itu. Beliau benar-benar seorang yang hebat.

“Setelah beberapa tahun selepas itu, entah kenapa hati saya rasa lain macam. Saya rasa seakan menyesal.”ujar beliau mengundang tanda tanya kami semua. Mengapa harus berasa menyesal sedangkan beliau telah mendapat keistimewaan yang sangat besar berbanding manusia lain di muka bumi ini.

Lantas beliau menyambung, “saya rasa menyesal kerana mempertandingkan al-Quran.” Jawapan beliau menyebabkan saya betul-betul tercengang. Malah hampir kesemua peserta seakan-akan tercengang mendengarnya.

“Saya menyesal kerana mempertanding-tandingkan al-Quran, kerana bagi saya al-Quran itu sebenarnya lebih besar dan penting dari itu. Tanggungjawab yang dipikul oleh hamilul Quran bukanlah untuk mempertandingkan al-Quran. Kalau setakat mahu pertandingkan al-Quran, cukuplah bagi orang-orang awam sahaja. Kita punya amanah dan tanggungjawab lebih besar dari itu,” ujar beliau. Beliau menambah lagi, “setiap isi kalimah dan ayat yang terkandung dalam al-Quran itu akan menjadi saksi terhadap setiap kelakuan kalian. Apakah setelah mendapat ayat Allah, kalian akan bertindak mengikuti dan beramal dengannya, atau kalian hanya akan terus tidur dibuai mimpi lena.”

Setelah habis sesi perkongsian bersama ustaz tersebut, maka seterusnya sesi memilih penempatan untuk menjadi imam. saya telah memilih masjid di sekitar Petaling kerana mudah untuk saya berulang-alik menuju ke tempat mengajar di sekitar Kelana Jaya dan Puchong nanti. Dan nampak gayanya saya tidak berpeluang untuk berpasangan dengan kawan saya yang lain kerana masing-masing punya komitmen sendiri yang menyebabkan kami tidak dapat untuk berpasangan sama di satu masjid. Mungkin ada hikmahnya tidak bersama, kerana kebiasaannya kalau bersama dengan geng sendiri nanti jadi tak berapa serius dan macam main-main. Huhuhu. Jadi nanti terima sajalah pasangan yang ditentukan oleh pihak masjid. Insya allah keputusannya akan keluar hari rabu ni.

Setelah habis sesi pembahagian penempatan, maka habislah sudah taklimat pada hari itu. Seterusnya hanya tinggal makan tengahari dan bersurai. Semoga perkongsian yang saya ceritakan ada manfaatnya. Sekian (huarghhh ngantuk).
    

Ulasan

  1. Tahniah & takziah kerana terpilih. Untunglaa da dapat praktis jd ustaz. Didiklah dengan seikhlas hati. Insha Allah pasti ada habuannya nanti.

    BalasPadam
  2. tiada apa yang menguntungkan kecuali kehidupan di akhirat.. dunia sebagai ladang menuju ke akhirat.. apalah sangat habuan yang ingin dikejar jika dibandingkan dengan kewajiban yang harus dilangsaikan di dunia ini...!

    BalasPadam
  3. Maksud habuan di atas bukanlah material dunia semata teori. Habuan di akhirat yg abadi. Jzkkk kerna mengingatkan.

    BalasPadam
  4. hahaha.. terkenang nama teori suatu ketika dahulu!! emm ok not a big matter.. tq sudi komen ye.. ;)

    BalasPadam
  5. asalamualaikum..bakal imam muda negara ni..

    BalasPadam
  6. waalaikumsalam, etuza... terima kasih kerana sudi melawat blog saya.. salam perkenalan yaa.. :)

    BalasPadam

Catat Ulasan