Tersentap dengan seorang Penggunting Rambut...


“Zaki, serabut aku tengok rambut kau tu. Pergi la potong biar kemas sikit nampaknya.” Ujar seorang kakak kepada aku. Ketika itu saya sedang berlatih nasyid bersama dia di kolej 12.

“Ye memang nak potong pun sebenarnya. Tapi terlupa, dan tak sempat,” ujar saya mempertahankan diri, walau hakikatnya situasi tersebut memang benar. Saya tidak punya kesempatan untuk pergi ke kedai gunting semenjak dua menjak ini.

Sememangnya sudah lama berhasrat ingin menggunting rambut. Maklumlah rambut sudah panjang, hanya menyerabutkan kepala sahaja. Sudahlah rambut asyik gugur, bertambah kusut pemikiran dibuatnya. Namun apakan daya, banyak perkara yang perlu diselesaikan hingga tidak sempat untuk berkunjung ke kedai gunting.

Maka nak dijadikan cerita, pada satu pagi saya pun pergilah ke kedai gunting yang paling dekat dengan tempat penginapan saya, iaitu di KPS (Kompleks Perdana Siswa). Malas hendak keluar jauh-jauh, lagipun khidmat kedai gunting di situ memang dikenali dengan kemas dan bersih. Saya sendiri memang gemar berkunjung ke situ untuk menggunting rambut. Dan pemiliknya merupakan seorang india muslim.

Kebiasaannya kedai tersebut ramai pelanggan (yang terdiri daripada pelajar-pelajar UM sendiri). Namun pada hari tersebut hanya ada seorang pelanggan sahaja. Tidak ramai seperti biasa. Mungkin kerana waktu cuti. Hehehe.

Maka setibanya saya di situ, saya mengambil tempat duduk untuk menunggu giliran. Sambil menunggu, saya membelek beberapa majalah untuk mengisi kekosongan. Tiba-tiba handphone saya melaungkan bunyi azan, menandakan masuk waktu zuhur. Perisian tersebut saya install sendiri dalam handphone saya. Maka saya cepat-cepat memadamkan bunyi azan tersebut.

Tiba-tiba pakcik penggunting rambut tersebut menegur saya, “Dik, kalau nak off bunyi azan, tak boleh off suka-suka macam tu je. Kena tunggu lafaz azan tu sempurna dulu baru matikan. Kalau tak nanti berdosa, sebab lafaz belum sempurna kita dah off.” Dia bercakap tanpa melihat kepada saya.

Tersentap saya mendengar teguran tersebut. Manakan tidak, seorang india yang menegur kita. Walaupun india tersebut muslim, tapi hati seolah tersentap, kerana kita yang belajar Akademi Pengajian Islam pun boleh ditegur oleh seorang india tentang hal yang mungkin dianggap remeh dalam agama. Bukan bermaksud saya menganggap perkara itu remeh, cuma saya terlupa. Dahulu sudah pernah mempelajarinya, tapi saya terlupa.

“Owh.. maaf uncle, saya terlupa. Nasib baik uncle ingatkan. Terima kasih uncle,” ujar saya agak malu. Malu dengan diri sendiri. Tapi dari satu segi ianya membangkit kesedaran dalam diri. Sebagai seorang muslim, memang adakalanya kita terlepas pandang tentang perkara-perkara yang seakan kecil walau hakikatnya kesan yang timbul adalah besar.

Dalam hati meraung-raung. Adui, sentap amat! Inilah yang dikatakan teguran dari Allah melalui lisan hambaNya. Secara tidak langsung ianya memberi kesedaran kepada hati, bahawa ilmu yang dimiliki adalah terlalu sedikit. Dan adakala ilmu yang sedikit itu dilupakan dalam hati. Maka kesannya hati menjadi kosong dan tidak bernafas. Teguran dari seseorang yang amat tidak disangka-sangka itu memberikan satu tamparan hebat kepada iman yang kian tipis di dalam diri.

Maka setelah menunggu beberapa minit, giliran saya untuk digunting pun tiba. Hanya mampu tersengih macam kerang busuk!
    

Ulasan