Perkataan Yang BAIK



Hari ni saya tertarik untuk mentadabbur sepotong ayat al-Quran sebagai pengisian. Ianya dari Surah Fussilat ayat 33. Semoga ada manfaatnya kepada sahabat sekalian.


 Allah swt berfirman: "Dan apakah terdapat perkataan lain yang lebih baik (yang keluar dari mulut kalian) selain dari perkataan dakwah?"

Allah swt mengungkapkan sebuah pertanyaan kepada manusia, “Adakah kalian sedar bahawa perkataan yang paling baik yang keluar dari mulut manusia adalah perkataan dakwah, iaitu yang mengajak manusia kepada Allah. Adakah terdapat perkataan lain yang lebih baik dari perkataan tersebut?”

Seolah-olahnya begitulah pertanyaan yang ditujukan oleh Allah swt kepada manusia. Dan dari bentuk ayat ini juga seolah-olah terdapat gaya sindiran yang tersendiri jika kita cuba mengalunkannya dengan intonasi yang berbeza.

Hakikatnya manusia suka berkata-kata. Macam-macam perkara yang diperkatakan oleh manusia pada setiap hari. Hasil daripada sebuah kajian yang dijalankan, lelaki bercakap sebanyak 7,000 patah perkataan sehari manakala perempuan 20,000 patah perkataan. Ini menunjukkan manusia terlalu banyak bercakap dalam kehidupan sehari-hariannya. Pelbagai perkara yang menjadi topik hangat sama ada perkara yang baik mahupun sebaliknya.

Saya yang sedang menjalankan praktikal mengajar di sekolah menengah kebangsaan harian juga menghadapi masalah yang sama. Anak murid gemar berbuat bising dan berkata-kata, terutamanya pelajar cina. Kadang-kadang kita rasa meluat kerana mereka cukup susah untuk duduk diam. Bila dimarah, mereka akan diam untuk seketika, namun selepas itu, bising semula. Namun saya tidak cepat melatah kerana memahami otak murid sedang berkembang ketika mereka sedang berkata-kata. Cuma sebagai guru kita kena kawal perbualan mereka dalam kelas agar keadaan kelas sentiasa terkawal.

Maka bertitik tolak daripada ayat al-Quran di atas, Allah swt yang Maha Tahu keadaan hambaNya, memberitahu kita bahawa sebaik-baik perkataan yang keluar dari mulut manusia adalah perkataan dakwah. Iaitu perkataan yang sentiasa mengajak manusia kepada Allah. Bukan perkataan-perkataan lain seperti kata-kata lawak, perbualan kosong, kata umpatan, cacian, cercaan, fitnah dan pendustaan.

Oleh itu, apa kata kita cuba biasakan lidah kita agar sentiasa mengucapkan perkataan yang dapat mengajak manusia untuk berbuat baik dan beramal soleh. Selalulah menyebut ayat al-Quran kepada sahabat handai, bacakan potongan-potongan hadis, kisah-kisah nabi dan para sahabat Rasulullah saw. Kita jadikan ianya sebagai budaya. Setiap kali kita keluarkan perkataan dari mulut kita, semuanya adalah perkara yang bermanfaat. Kalau tidak semua perkataan pun, sekurang-kurangnya sebahagian perkataan pun sudah memadai. Yang penting ialah usaha kita dan keinginan kita untuk sentiasa mengucapkan perkataan dakwah kepada manusia.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis Baginda yang begitu masyhur yang bermaksud: “Sampaikanlah (perkataan) dariku (kepada manusia lain) walaupun hanya sepotong ayat.” Hadis ini sudah cukup jelas untuk menggambarkan kepentingan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah SAW kepada sahabat handai kita, sanak saudara, kenalan rapat dan semua manusia yang kita jumpa. Biasakan membaca potongan-potongan hadis kepada anak-anak kita yang masih kecil. Berikan mereka pendedahan sunnah sedari kecil lagi sepertimana yang dilakukan oleh para tabi’in dan tabi’it-tabi’in. Kemudian dalam masa yang sama sebarkan pula kepada manusia-manusia lain yang berada di sekeliling kita.

Contoh mudah, ketika kita makan bersama kawan-kawan, apabila sampai kepada sisa makanan yang terakhir dalam pinggan atau talam, kebiasaannya semua orang sudah kenyang dan tidak mahu menghabiskan sisa terakhir itu. Maka pada saat ini ambillah peluang dengan berkata begini, “Ketika Rasulullah SAW makan bersama para sahabat, baginda suka menghabiskan sisa makanan yang terakhir kerana terdapat barakah padanya.” Maka pada ketika itu sudah tentu sahabat kita akan berlumba-lumba untuk menghabiskan baki makanan yang terakhir itu. Secara tak langsung, perkataan kita itu menjadi dakwah.

Contoh lain, ketika kita makan buah tembikai bersama sahabat, katakan kepada dia, “Buah tembikai adalah antara buah kegemaran Rasulullah SAW.” Secara tak langsung, ada input yang diperolehi oleh sahabat kita walaupun hanya dengan memakan tembikai.

Demikianlah hakikatnya sungguh mudah untuk kita sampaikan perkataan-perkataan dakwah kepada manusia. Setiap perbuatan yang kita lakukan pasti ada satu dakwah yang boleh kita selitkan. Yang penting kita haruslah banyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah SAW, banyakkan mentadabbur ayat-ayat al-Quran, dan banyakkan pembacaan dan jangan pernah jemu dalam menuntut ilmu supaya kita dapat sampaikan ilmu itu kepada orang lain pula. Kalau diri kita sendiri kosong, bagaimana pula kita ingin memberikan ilmu kepada orang lain.

Demikian juga dalam laman facebook. Adalah lebih baik jika kita gunakan ia sebagai medium penyampaian ilmu dan dakwah. Naikkan status-status yang boleh membawa manusia ke arah kebaikan, post yang dapat menambah ilmu, berkongsi pandangan dalam hal-hal agama. Kurangkan post yang tidak bermanfaat, yang boleh mengundang perbalahan dan kelalaian. Harus kita tanamkan satu prinsip dalam diri bahawa setiap perkataan yang kita keluarkan dari diri kita adalah dakwah. Mengajak manusia untuk melakukan kebaikan. Kerana kelak ianya akan menjadi bekalan pahala kita di akhirat kelak.

Kemudian, sambungan dari ayat al-Quran tadi pula ialah: “dan beramal soleh.”

Maksudnya apabila kita telah mengeluarkan perkataan dakwah dari mulut kita, kita perlulah beramal soleh pula. Adalah tidak wajar andai mulut kita mengeluarkan perkataan dakwah, tetapi perangai kita tidak soleh. Kedua-dua hal ini haruslah sejajar. Perkataan dakwah tidak akan berguna jika tidak disertai dengan amal soleh daripada si pendakwah. Malah perkataan dakwah dari seorang yang tidak beramal soleh hanya layak kita umpamakan sebagai air yang disiram ke atas daun keladi.

Dan sambungan dari ayat itu lagi: “dan katakanlah sesungguhnya aku adalah seorang muslim.”

Maksudnya sebagai seorang pendakwah, kita harus punya jati diri dan prinsip yang tersendiri. Kita bertegas dengan prinsip kita iaitu prinsip seorang muslim. Kita tidak akan pernah tunduk terhadap apa-apa ideologi atau bantahan yang selain daripada Islam, yang bertujuan melemahkan pendirian kita. Hal ini adalah kerana musuh-musuh Islam akan sentiasa mencari jalan untuk melemahkan Islam. Mereka akan sentiasa berbantahan dengan orang Islam dengan jalan mengelirukan dan seterusnya menghilangkan keyakinan seorang muslim terhadap Islam. Akhirnya seorang muslim itu hanya akan memakai nama “muslim” namun roh islamnya sudah lenyap. Dan jadilah mereka seperti yang pernah disabdakan Nabi SAW dalam sebuah hadis bahawa umat Islam pada akhir zaman mempunyai bilangan yang ramai namun mereka umpama buih di lautan. Musuh-musuh Islam mengerumuni mereka umpama mengerumuni sebuah hidangan makanan.

Kesimpulan, keluarkanlah perkataan yang baik-baik sahaja dari mulut kita. Seandainya tidak mampu, diamlah!
     

Ulasan

  1. Salam Haulid;

    Alhamdulillah, saya membaca artikel di atas, sangat bermanfaat, bercakap yang baik-baik juga dakwah yang boleh membawa kebaikan, jangan sesekali bercakap-cakap kotor yang boleh mendatangkan dosa.

    Justeru iti, kata-kata yang baik yang kita bicarakan kepada orang lain hendaklah kita amalkan, jangan hanya pandai bercakap tapi cakap tak serupa bikin.

    Juga penulisan yang sedang kita tulis dengan tujuan agar dibaca, juga kata-kata yang baik, juga dakwah melalui penulisan ini merupakan kata-kata yang baik untuk disebarkan.

    Sama-sama kita amalkan!, salam ukhwah, teruskan menulis!

    BalasPadam
  2. terima kasih kepada masshah kerana sudi baca entri ini. semoga kita semua sentiasa bersemangat dalam menyampaikan kalimat-kalimat Rasulullah saw kepada seluruh umat. umat kita pada hari ini sangat-sangat ketandusan sentuhan athar. semoga kita dapat hidupkan kembali budaya ini dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

    BalasPadam

Catat Ulasan