Hari ni saya tertarik untuk mentadabbur sepotong ayat al-Quran
sebagai pengisian. Ianya dari Surah Fussilat ayat 33. Semoga ada manfaatnya kepada sahabat sekalian.
Allah swt berfirman: "Dan apakah terdapat perkataan
lain yang lebih baik (yang keluar dari mulut kalian) selain dari perkataan
dakwah?"
Allah swt mengungkapkan sebuah pertanyaan kepada manusia, “Adakah
kalian sedar bahawa perkataan yang paling baik yang keluar dari mulut manusia
adalah perkataan dakwah, iaitu yang mengajak manusia kepada Allah. Adakah
terdapat perkataan lain yang lebih baik dari perkataan tersebut?”
Seolah-olahnya begitulah pertanyaan yang ditujukan oleh Allah
swt kepada manusia. Dan dari bentuk ayat ini juga seolah-olah terdapat gaya
sindiran yang tersendiri jika kita cuba mengalunkannya dengan intonasi yang
berbeza.
Hakikatnya manusia suka berkata-kata. Macam-macam perkara
yang diperkatakan oleh manusia pada setiap hari. Hasil daripada sebuah kajian
yang dijalankan, lelaki bercakap sebanyak 7,000 patah perkataan sehari manakala
perempuan 20,000 patah perkataan. Ini menunjukkan manusia terlalu banyak
bercakap dalam kehidupan sehari-hariannya. Pelbagai perkara yang menjadi topik
hangat sama ada perkara yang baik mahupun sebaliknya.
Saya yang sedang menjalankan praktikal mengajar di sekolah
menengah kebangsaan harian juga menghadapi masalah yang sama. Anak murid gemar
berbuat bising dan berkata-kata, terutamanya pelajar cina. Kadang-kadang kita
rasa meluat kerana mereka cukup susah untuk duduk diam. Bila dimarah, mereka akan
diam untuk seketika, namun selepas itu, bising semula. Namun saya tidak cepat
melatah kerana memahami otak murid sedang berkembang ketika mereka sedang
berkata-kata. Cuma sebagai guru kita kena kawal perbualan mereka dalam kelas
agar keadaan kelas sentiasa terkawal.
Maka bertitik tolak daripada ayat al-Quran di atas, Allah swt
yang Maha Tahu keadaan hambaNya, memberitahu kita bahawa sebaik-baik perkataan
yang keluar dari mulut manusia adalah perkataan dakwah. Iaitu perkataan yang
sentiasa mengajak manusia kepada Allah. Bukan perkataan-perkataan lain seperti
kata-kata lawak, perbualan kosong, kata umpatan, cacian, cercaan, fitnah dan
pendustaan.
Oleh itu, apa kata kita cuba biasakan lidah kita agar
sentiasa mengucapkan perkataan yang dapat mengajak manusia untuk berbuat baik
dan beramal soleh. Selalulah menyebut ayat al-Quran kepada sahabat handai,
bacakan potongan-potongan hadis, kisah-kisah nabi dan para sahabat Rasulullah saw.
Kita jadikan ianya sebagai budaya. Setiap kali kita keluarkan perkataan dari
mulut kita, semuanya adalah perkara yang bermanfaat. Kalau tidak semua perkataan
pun, sekurang-kurangnya sebahagian perkataan pun sudah memadai. Yang penting
ialah usaha kita dan keinginan kita untuk sentiasa mengucapkan perkataan dakwah
kepada manusia.
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis Baginda yang
begitu masyhur yang bermaksud: “Sampaikanlah (perkataan) dariku (kepada manusia
lain) walaupun hanya sepotong ayat.” Hadis ini sudah cukup jelas untuk
menggambarkan kepentingan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah SAW kepada sahabat
handai kita, sanak saudara, kenalan rapat dan semua manusia yang kita jumpa. Biasakan
membaca potongan-potongan hadis kepada anak-anak kita yang masih kecil. Berikan
mereka pendedahan sunnah sedari kecil lagi sepertimana yang dilakukan oleh para
tabi’in dan tabi’it-tabi’in. Kemudian dalam masa yang sama sebarkan pula kepada
manusia-manusia lain yang berada di sekeliling kita.
Contoh mudah, ketika kita makan bersama kawan-kawan, apabila
sampai kepada sisa makanan yang terakhir dalam pinggan atau talam, kebiasaannya
semua orang sudah kenyang dan tidak mahu menghabiskan sisa terakhir itu. Maka pada
saat ini ambillah peluang dengan berkata begini, “Ketika Rasulullah SAW makan
bersama para sahabat, baginda suka menghabiskan sisa makanan yang terakhir kerana
terdapat barakah padanya.” Maka pada ketika itu sudah tentu sahabat kita akan
berlumba-lumba untuk menghabiskan baki makanan yang terakhir itu. Secara tak
langsung, perkataan kita itu menjadi dakwah.
Contoh lain, ketika kita makan buah tembikai bersama
sahabat, katakan kepada dia, “Buah tembikai adalah antara buah kegemaran Rasulullah
SAW.” Secara tak langsung, ada input yang diperolehi oleh sahabat kita walaupun
hanya dengan memakan tembikai.
Demikianlah hakikatnya sungguh mudah untuk kita sampaikan
perkataan-perkataan dakwah kepada manusia. Setiap perbuatan yang kita lakukan
pasti ada satu dakwah yang boleh kita selitkan. Yang penting kita haruslah
banyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah SAW, banyakkan mentadabbur ayat-ayat al-Quran,
dan banyakkan pembacaan dan jangan pernah jemu dalam menuntut ilmu supaya kita
dapat sampaikan ilmu itu kepada orang lain pula. Kalau diri kita sendiri
kosong, bagaimana pula kita ingin memberikan ilmu kepada orang lain.
Demikian juga dalam laman facebook. Adalah lebih baik jika
kita gunakan ia sebagai medium penyampaian ilmu dan dakwah. Naikkan
status-status yang boleh membawa manusia ke arah kebaikan, post yang dapat
menambah ilmu, berkongsi pandangan dalam hal-hal agama. Kurangkan post yang tidak
bermanfaat, yang boleh mengundang perbalahan dan kelalaian. Harus kita tanamkan
satu prinsip dalam diri bahawa setiap perkataan yang kita keluarkan dari diri
kita adalah dakwah. Mengajak manusia untuk melakukan kebaikan. Kerana kelak
ianya akan menjadi bekalan pahala kita di akhirat kelak.
Kemudian, sambungan dari ayat al-Quran tadi pula ialah: “dan
beramal soleh.”
Maksudnya apabila kita telah mengeluarkan perkataan dakwah
dari mulut kita, kita perlulah beramal soleh pula. Adalah tidak wajar andai
mulut kita mengeluarkan perkataan dakwah, tetapi perangai kita tidak soleh. Kedua-dua
hal ini haruslah sejajar. Perkataan dakwah tidak akan berguna jika tidak
disertai dengan amal soleh daripada si pendakwah. Malah perkataan dakwah dari
seorang yang tidak beramal soleh hanya layak kita umpamakan sebagai air yang
disiram ke atas daun keladi.
Dan sambungan dari ayat itu lagi: “dan katakanlah
sesungguhnya aku adalah seorang muslim.”
Maksudnya sebagai seorang pendakwah, kita harus punya jati
diri dan prinsip yang tersendiri. Kita bertegas dengan prinsip kita iaitu
prinsip seorang muslim. Kita tidak akan pernah tunduk terhadap apa-apa ideologi
atau bantahan yang selain daripada Islam, yang bertujuan melemahkan pendirian
kita. Hal ini adalah kerana musuh-musuh Islam akan sentiasa mencari jalan untuk
melemahkan Islam. Mereka akan sentiasa berbantahan dengan orang Islam dengan
jalan mengelirukan dan seterusnya menghilangkan keyakinan seorang muslim
terhadap Islam. Akhirnya seorang muslim itu hanya akan memakai nama “muslim”
namun roh islamnya sudah lenyap. Dan jadilah mereka seperti yang pernah
disabdakan Nabi SAW dalam sebuah hadis bahawa umat Islam pada akhir zaman mempunyai
bilangan yang ramai namun mereka umpama buih di lautan. Musuh-musuh Islam mengerumuni
mereka umpama mengerumuni sebuah hidangan makanan.
Kesimpulan, keluarkanlah perkataan yang baik-baik sahaja
dari mulut kita. Seandainya tidak mampu, diamlah!
Salam Haulid;
BalasPadamAlhamdulillah, saya membaca artikel di atas, sangat bermanfaat, bercakap yang baik-baik juga dakwah yang boleh membawa kebaikan, jangan sesekali bercakap-cakap kotor yang boleh mendatangkan dosa.
Justeru iti, kata-kata yang baik yang kita bicarakan kepada orang lain hendaklah kita amalkan, jangan hanya pandai bercakap tapi cakap tak serupa bikin.
Juga penulisan yang sedang kita tulis dengan tujuan agar dibaca, juga kata-kata yang baik, juga dakwah melalui penulisan ini merupakan kata-kata yang baik untuk disebarkan.
Sama-sama kita amalkan!, salam ukhwah, teruskan menulis!
terima kasih kepada masshah kerana sudi baca entri ini. semoga kita semua sentiasa bersemangat dalam menyampaikan kalimat-kalimat Rasulullah saw kepada seluruh umat. umat kita pada hari ini sangat-sangat ketandusan sentuhan athar. semoga kita dapat hidupkan kembali budaya ini dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
BalasPadam