ASTAGHFIRULLAHAL-A'ZIM! Itulah saja perkataan yang terpacul dari hati saya saat membuka laman web berita harian online. Hati terasa bergetar membaca berita yang baru terpampang di hadapan mata. Ya Allah, bala apa yang telah melanda umat islam di Malaysia ini ya Allah. Mengapa perkara terkutuk seperti ini boleh melanda ‘negara islam’ yang dikatakan aman damai ini. Ya Allah, takutnya aku pada azabMu. Entah bila2 masa sahaja engkau mampu menarik kembali kesemua nikmat yang telah engkau berikan ini ya Allah. Aku berlindung denganmu daripada segala bencana kemungkaran yang membalut alam ini, terutamanya di negara yang aku cintai ini ya Allah.
Sayunya bila mengenangkan, mengapa tawaran kebaikan oleh Allah SWT tidak pernah diendahkan, malah jalan yang terkutuk juga yang mereka relakan dalam kehidupan. Malam tadi di kaca televisyen pun ada juga berita tentang pembuangan anak. Ya Allah, kenapa saban tahun, saban zaman umatMu makin leka dengan kehidupan yang murah ini. Mengapa cinta yang murah dan palsu itu boleh mengaburi mata umat Muhammad ini. Andailah Rasulullah SAW hidup pada zaman ini, nescaya air mata baginda menitis mengenangkan keadaan umatnya yang dicintai ini. Entah2 akan berlaku lagi peristiwa di mana malaikat Jibril AS meminta kepada Nabi untuk membalikkan gunung ke atas kaum musyrikin yang menyakiti baginda, namun kerana kecintaan dan kesabaran baginda, dilepaskan sahaja kesemua mereka.
Mengapa kita susah untuk mengambil pengajaran daripada peristiwa2 yang pernah berlaku dahulu? Tidak ingatkah kita pada negara saudara kita yang pernah dilanda tsunami dan ombak besar pada satu masa dahulu? Sudah lupakah kita kejadian tanah runtuh yang telah mencabut nyawa ramai daripada saudara kita seislam dahulu?
Itu baru peringatan yang berlaku di hadapan kita, di zaman kita. Belum lagi kita membuka mushaf al-quran. Di dalamnya terdapat lagi banyak kisah2 umat yang terdahulu, yang telah mendapat azab dab siksaan dari Allah lantaran kerosakan yang mereka lakukan di muka bumi. Bacakah kalian?
Sudah besarkah kita, sombongnya kita. Tidak pernah memandang berat terhadap amaran yang telah diberikan oleh Allah? Hoi manusia, aku selaku saudaramu seislam merasa kesal yang amat dengan sikap kamu ini. Aku malu menjadi saudara kalian. Apa la yang kamu fikirkan tentang kehidupan ini. Memandang setiap pelosok dunia dengan keseronokan semata, nafsu semata.
Bila berkata tentang palestin, kalian tak endah, tak ambil peduli. Senyap tuli. Melepaskan diri. Tidak pernah merasakan tanggungjawab untuk mengetahui keadaan dan kesusahan yang mereka alami. Apakan lagi ingin membantu.
Inikan pula dengan anak luar nikah yang kamu lahirkan sendiri. Ternyata kezaliman kamu sama seperti zionis. Membunuh anak sendiri. Seakan kelakuanmu itu telah mengulang kembali sejarah jahiliyyah yang pernah melanda umat arab sebelum kehadiran islam dahulu. Perbuatan terkutuk yang sangat DIKEJI oleh Allah SWT.
Maafkan saya, sedikit emosi dalam meluahkan kekesalan ini. Saudaraku, kembalilah kepada ajaran islam yang sebenar. Kembalilah kepada budaya islam yang asal. Aku menanti kalian untuk sama2 meniti sirat menunju ke destinasi abadi (andai aku berpeluang melepasinya).
17,303 anak luar nikah didaftar 2009
Oleh Mohd Azis Ngah
2010/03/21
KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.
Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.
Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).
Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).
“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.
“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.
Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.
“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.
“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya. – BERITA HARIAN
Ulasan
Catat Ulasan