Nak raya dah..

Salam bicara. Menelusuri detik-detik terakhir minggu terakhir kuliah ternyata agak memberatkankan. Pelbagai tugasan harus disiapkan dan dihantar kepada pensyarah. Ternyata apabila penggunaan masa seringkali dikhianati, ianya akan memakan diri. Dalam perumpamaan arab ada menyebut, "Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak menggunakannya untuk mencantas, maka ia akan mencantas kamu." Namun ada sesetengah sahabat yang beranggapan detik-detik akhir penghantaran tugasan merupakan detik yang sangat dirindui kerana dalam saat itulah baru terasa kehangatan dan suasana yang mengasyikkan. Ternyata pandangan positif ini memberikan motivasi yang sangat baik pada pemikiran.

Malam tadi saya sempat bertemu seorang sahabat rapat yang sama bersekolah di Pulai Chondong dahulu. Alhamdulillah dia berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Madinah bersama beberapa lagi sahabat rapat saya juga. Kami sempat berkongsi sedikit pengalaman di tempat belajar masing-masing. Ternyata setelah lama tidak bertemu, kami menghabiskan masa yang agak lama dalam berbicara. Dia sempat belanja minum selepas usai solat terawih di masjid Mulong. Terasa agak segan juga.

Lusa saya akan menjejakkan kaki ke kampung halaman yang menenangkan, alhamdulillah. Terdetik di hati ingin membantu mak dalam menyelesaikan persiapan untuk berhari raya. Sebagai seorang anak lelaki, saya sendiri telah masak dengan perangai mak saya yang ternyata menggantung harapan yang tinggi kepada saya. Berapa kali sudah dia tersinggung dengan beberapa perlakuan saya yang dianggap menghancurkan hatinya, walaupun pada hakikatnya tidaklah seteruk yang disangka. Tapi apabila mendengar pendapat-pendapat dari sahabat, ternyata ia memberi kesedaran pada diri ini. Almaklumlah, mungkin saya mendapat ruang yang agak lebih dalam hati mereka lantaran seringkali berjauhan dengannya. Seringkali orang kata, ibu akan bersikap sensitif terhadap anak yang disayang lebih berbanding orang lain. Emm, mungkinkah saya orang itu?

Sempena masih diberi kesempatan beraya bersama ibu bapa, janganlah sesekali ia dipersia. Andai mereka telah tiada, barulah terpinga-pinga mengharap pada yang tiada. Maka bersempena dengan hadirnya hari raya aidilfitri ini, inginlah saya memohon maaf kepada sahabat-sahabat andai terdapat salah silap yang tidak disengajakan mahupun yang sengaja dilakukan. Saya insan biasa, diberikan amanah untuk mencetuskan idea.

Ulasan