Solat Hanya 3 kali Sehari Semalam?


Satu hari rakan saya berbangsa cina yang beragama kristian tanya saya soalan tersebut.

"Ustaz, kenapa dalam al-Quran kata sembahyang hanya tiga kali, tapi dalam hadis kata lima kali?"

Saya terkedu. Saya pernah mendengar persoalan tentang isu tersebut, tapi tak ingat di mana. Kebetulan pada waktu tersebut saya sedang bersarapan di kantin bersama dia.

Ayat yang dimaksudkan adalah daripada surah Hud ayat 114. Saya pasti kalau saya tanya dia balik ayat quran yang mana, dia pun tak hafal.

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ ٱلَّيۡلِ‌ۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ‌ۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. (114)

*Terjemahan bahasa melayu diambil dari http://www.quranexplorer.com

"Sebenarnya saya pun tak berapa ingat, tapi saya cuba jawab juga la secara ringkas," itu sahaja yang saya mampu jawab pada ketika itu. Saya cuba memberikan jawapan secara umum mengharapkan agar dia dapat menerima jawapan yang saya berikan kepadanya.

Saya menyambung, "Fungsi hadis adalah menjelaskan isi kandungan al-Quran, kerana orang yang benar-benar memahami al-Quran adalah Rasulullah SAW, maka segala yang disebutkan dalam hadis Nabi hakikatnya adalah penerangan terhadap ayat yang terkandung dalam al-Quran."

Saya cuba ringkaskan jawapan saya, dan menjawab dalam kerangka yang umum sahaja. Tapi rupanya dia tidak berpuas hati. "Maksudnya sekarang ni, ada perselisihan la antara al-Quran dan Nabi. Jadi mana satu yang mahu ikut?" balas dia.

Kalau menurut ilmu mantik, kita dapat trace niat dia mengajukan soalan tu. Sama ada mahu mendapatkan jawapan, atau sengaja mencari pasal dengan kita. Tapi mengenangkan kemungkinan Allah akan memberi hidayah kepadanya, maka saya cuba menjelaskan dengan cara yang paling berhikmah.

Maka sekarang dua soalan yang perlu saya jawab. Pertama, sembahyang tiga atau lima waktu; kedua, mengapa terjadi perselisihan antara hadis dan al-Quran. Akhirnya saya melepaskan dia dengan jawapan umum sahaja tanpa jawapan yang benar-benar khusus.

Saya cuba mencari jawapan di internet. Terdapat beberapa laman web yang menyatakan jawapan kepada soalan tersebut. Ada juga laman web yang membahaskan dan membincangkan hal tersebut hingga agak terpesong. Terutamanya geng anti hadis.

Seharian saya mencari jawapan, cuba berbincang dengan rakan guru lain, dan Alhamdulillah dipertemukan dengan jawapannya.

Rupanya jawapannya tidak perlu pergi jauh ke tempat lain, kerana ianya telah dijawab dalam ayat itu sendiri, iaitu surah Hud ayat 114.

Orang yang memahami terjemahan ayat tersebut dalam bahasa melayu, tidak akan nampak jawapannya. Kerana jawapan sebenar adalah pada ayat al-Quran yang asli itu sendiri iaitu dalam bahasa Arab. Ianya terletak pada perkataan (طَرَفَىِ) yang membawa pengertian "dua", dan (وَزُلَفًا) yang membawa pengetian jamak iaitu 3 ke atas.

Maka jelas dan bersuluh, ianya adalah lima, bukan tiga.

Itulah hikmahnya al-Quran itu dituntut untuk dibaca dalam bahasa arab, kerana hanya dengan cara itulah ianya akan terpelihara sehingga hari kiamat tanpa boleh diputarbelit oleh mana-mana pihak yang jahat. Itu adalah janji Allah untuk memelihara kesucian al-Quran hingga hari kiamat.

Maka pesanan saya, belajarlah bahasa Arab untuk memahami isi kandungan al-Quran. Kerana mereka yang jahil dan sombong tidak akan mampu untuk melihat kebenaran yang telah jelas di hadapan mata mereka.

Pesanan saya kepada golongan anti hadis ni, ingatlah bahawa al-Quran yang anda pegang itu juga adalah disampaikan daripada Nabi juga. Maka secara tidak langsung ianya juga adalah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW.

Akhir kalam, semoga bermanfaat buat kalian semua.

Untuk rujukan lanjut boleh baca juga di pautan ini:

Ulasan