Jangan Terasa Masih Muda Untuk BERNIKAH..



Dalam diri setiap manusia ada cinta. Malah dalam hati setiap manusia itu terpendamnya perasaan kasih dan sayang. Setiap perlakuan manusia adalah manifestasi dari cinta yang terpendam dalam hati. Dan secara tidak sedar sebenarnya naluri cinta adalah perkara utama yang menjadi faktor kepada setiap pekerjaan manusia sehari-harian. Perasaan ini memainkan peranan yang besar dalam perlakuan dan tingkah laku seseorang manusia.

Setiap manusia memerlukan cinta. cinta ibarat nyawa bagi sebuah kehidupan. Tanpa cinta, kehidupan terasa sempit, sengsara, malah seolah-olah sunyi dan tiada makna. Cinta telah memberikan makna dalam kehidupan manusia. Itulah sebabnya orang yang kehilangan cinta ibarat telah kehilangan separuh kehidupannya di dunia. Malah ada manusia yang sanggup menggadaikan nyawa hanya kerana kehilangan cinta yang mereka inginkan.

Cinta yang terpendam dalam hati manusia tidak tegar untuk tetap terperunduk di dalam kamar hati. Cinta itu kebiasaannya ingin keluar melihat dunia nyata. Cinta ingin mengembara keluar melihat alam yang indah, mencari hakikat sebenar kebahagiaan. Cinta yang lama dipendam dalam hati hanya akan menyebabkan manusia itu sakit. Keperitan menahan cinta yang terpendam itu akan menyebabkan manusia hilang pertimbangan akal dan kewarasan pemikiran. Itulah sebabnya cinta memerlukan kebebasan untuk mengembara keluar, mencari tempat untuk bersandar.

Manusia itu tidak akan mampu untuk bersendirian. Cinta yang terpendam ingin mencari sebab mengapa ia hadir dalam diri seorang manusia. Apa maksud ia diciptakan tuhan dalam hati manusia. Apakah tugas yang harus ia lakukan selain berada dalam hati manusia.

Itulah sebabnya manusia sentiasa berasa tidak sempurna kehidupannya tanpa kehadiran seseorang yang mampu digunakan untuk menyandarkan perasaan cinta tersebut. Walaupun manusia itu hidup di tengah-tengah kesibukan kota raya dan masyarakat, namun nalurinya tidak akan mampu mendustai keinginannya untuk mencari seorang pasangan hidup yang akan menemani kehidupannya hingga akhir hayat. Hal ini adalah selaras dengan firman Allah swt:

وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةً‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Rum:21)

Keinginan Yang Akhirnya Terpendam

Kita ketahui bahawa setiap manusia menginginkan pasangan hidup yang akan menemani kehidupan mereka di dunia. Namun kadang-kadang terdapat masalah lain pula yang dialami oleh sesetengah manusia yang ingin mencari jodoh, iaitu tiada orang yang ingin melamar mereka! Hal ini tidak hanya terjadi kepada wanita, malah lelaki juga. Namun kebiasaannya dalam perangkaan hari ini kelihatannya wanita lebih ramai mengalami permasalahan ini.

Mungkin ada yang berfikiran bahawa bilangan wanita pada hari ini semakin ramai, maka persaingan dalam kalangan wanita dalam mendapatkan pasangan juga semakin sengit. Bilangan lelaki tidak seramai wanita, kemudian lelaki yang benar-benar berguna pula hanya sebahagian kecil dari jumlah yang sikit itu. Ini menyebabkan wanita bersikap untuk tidak memikir panjang terhadap lelaki yang ingin menjalinkan hubungan dengan mereka. Akhirnya wanita bersikap tidak kisah terhadap pasangan yang melamar mereka. Terpulanglah apa pun latar belakang lelaki tersebut, yang penting hati mereka terisi dengan cinta yang diberikan oleh lelaki tersebut dan dia dapat menerima dan memberi cinta yang terpendam dalam diri mereka.

Itu kalau ada yang sudi melamar, kalau sebaliknya? Bagaimana pula dengan nasib perempuan yang sampai usia lanjut pun tiada sebarang lamaran diterima?

Jangan Terasa Masih Awal Untuk Bernikah

Ada sebuah cerita benar, seorang gadis yang telah lanjut usianya iaitu 35 tahun telah bertemu dengan seorang ustaz untuk menceritakan permasalahannya.

“Assalamualaikum ustaz. Boleh tolong saya tak ustaz?” ujar wanita tersebut memulakan bicara.

“Apa masalah kamu?” jawab ustaz itu tenang.

“Tak ada lelaki yang datang melamar saya, ustaz. Umur saya pula sudah semakin tua. saya dah mula risau apa orang akan kata kat saya nanti ustaz. Ustaz tolong bagi saya panduan dan tips untuk mempercepatkan jodoh..” ujar wanita itu. Ustaz tadi hanya tertunduk sambil mengeluh halus.

“Hmmm… sebelum saya beri tips dan panduan, ada satu soalan yang saya nak tanya,” ujar ustaz itu.

“Apa dia ustaz?”

“Masa awak muda-muda dulu ada tak orang lelaki yang melamar awak?” tanya ustaz tersebut.

“Ada ustaz, masa tu saya baru di tahun 1 pengajian di universiti. Saya menolak lamaran lelaki tersebut dengan alasan masih belajar dan masih muda untuk bernikah,” jawab wanita itu jujur.

“Nah! Dah jumpa puncanya. Itulah sebabnya jodoh kamu semakin menjauh!” ujar ustaz itu. Wanita tersebut terkejut sambil tertunduk malu.

“Apa maksud ustaz?” wanita tersebut inginkan penjelasan terhadap ungkapan sang ustaz.

“Wahai fulanah, tahukah kamu apakah ciri-ciri penting seorang perempuan yang ingin dilamar oleh lelaki?” soalan wanita tersebut dijawab oleh persoalan pula dari ustaz tersebut.

Wanita itu hanya terdiam. Dia tidak berani bersuara.

“Jawapannya ialah MUDA. Seorang lelaki biasanya tidak akan mencari perempuan yang lebih tua darinya, atau sebaya, tetapi mereka akan cenderung untuk mencari perempuan yang lebih muda darinya. Oleh sebab itu, wanita itu dinikahi ketika usianya muda. Maka apabila kamu menolak sebuah pernikahan dengan alasan muda, maka secara tidak sedar kamu telah menjauhkan jodoh sendiri.” Ujar ustaz tersebut. Wanita tersebut hanya terdiam. Mulutnya terkunci mendengar penjelasan ustaz itu.

Ustaz tersebut menambah lagi, “Antara kesilapan yang dilalui oleh seorang perempuan apabila dia dilamar oleh seorang lelaki adalah, dia masih berfikir “aku belum bersedia” dan sebagainya ketika dilamar oleh seorang lelaki. Mereka seolah-olah takut dengan pernikahan tersebut kerana memikirkan pembelajaran, nafkah, anak dan sebagainya. pemikiran mereka menjadi sempit dan takut untuk melanjutkan pernikahan di awal usia.”

“Harus diingat, pernikahan bukan alasan untuk seseorang itu gagal dalam hidup. Malah Allah telah menjanjikan bahawa dengan pernikahan itu Allah akan mengurniakan mereka kekayaan. Ianya selaras dengan firman Allah di dalam al-Quran:

وَأَنكِحُواْ ٱلۡأَيَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَآٮِٕڪُمۡ‌ۚ إِن يَكُونُواْ فُقَرَآءَ يُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬
Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

“Maka harus diingat, kalau ada lelaki yang melamar anda ketika usia muda, jangan sesekali menolak lamaran tersebut. Kalau anda membiarkan diri anda tua baru nak cari pasangan dengan alasan sudah bersedia, maka ketika itu lelaki sudah tak tengok pada anda lagi. Kalau ada pun duda beranak 3 la jawabnya."

"Harus ingat, yang harus bersedia itu bukan perempuan, tetapi lelaki. Kerana tanggungjawab lelaki itu lebih besar. Kalau ada lelaki yang nak melamar anda, itu bermaksud lelaki tersebut sudah bersedia. Jadi apa yang perlu anda takutkan? Orang lelaki yang sudah bersedia itu sudah tentu dapat memberikan kebahagiaan kepada anda.” Ujar ustaz tersebut panjang lebar. 

Wanita tersebut hanya tertunduk. Dia kehilangan kata. Dia menyedari kesilapan ketika di usia mudanya dahulu kerana menolak lamaran seorang lelaki. Kali ini, dia pula yang terkial-kial mencari lelaki.

“Baiklah, maafkan ustaz kalau ada kata-kata yang mengguris hati atau perasaan. Cakap lebih-lebih pun tak guna benda dah lepas. Sekarang awak kena banyakkan berdoa, selalu buat solat malam minta pada Allah untuk dipertemukan jodoh dengan cepat, selalu berbuat baik sesama rakan sekerja dan rajin-rajin la meminta tolong dari sahabat dan saudara mara untuk carikan jodoh."

"Kena usaha kuat sikit sebab sebelum ni awak dah buat orang bekerja kuat untuk mencari jodoh selepas awak tolak lamaran dia.” Ujar ustaz tersebut. Wanita tersebut hanya mengangguk-angguk bersetuju sambil terkedu.

Kesimpulan

Usah lari dari jodohmu. Andai telah ditakdirkan untuk bernikah, maka hadapilah ia dengan penuh cinta dan ketaqwaan. Bukankah kecintaan itu memberikan satu kekuatan untuk menempa kejayaan? Apatah lagi sebuah cinta yang halal yang telah dilafazkan dengan akad mulia besulamkan nama Tuhan Rabbul Jalil. Maka usahlah dibayangi ketakutan sendiri, pandu akal berdasarkan wahyu dan sunnah. Selalu percaya atas jaminan Allah. Kalau kita tidak percaya pada jaminanNya, maka apakah lagi jaminan yang ingin kita bersandar? Tepuk dada, tanya cinta ;)
   

Ulasan

  1. kalau kita tolak dia kerana dia tak sefikrah dengan kita blh kan? kebetulan pulak sang pelamar itu juga masih muda dan kelihatan masih belum bersedia..

    BalasPadam
  2. persoalan fikrah adalah persoalan besar dalam memilih pasangan. kita sebolehnya memilih pasangan yang sekufu dan sepadan supaya jurang perbezaan dapat dikurangkan antara pasangan. dibimbangi pasangan yang tidak sependapat dengan kita akan menyebabkan perbalahan atau silent protes dalam perhubungan.

    seandainya orang yang melamar itu sudah benar-benar sesuai dengan kehendak dan kondisi semasa kita, maka itulah yang harus kita segerakan. seandainya masih belum benar-benar sesuai, maka bolehlah dipertimbangkan untuk ditolak atau ditunda kepada waktu yang lebih sesuai.

    BalasPadam
  3. saya telah menolak seorang yg telah ingin melamar sy..sy memberikan alasan masih belum bersedia sedangkan dya adalah kekasih sy sendri.sebab apa sy tolak sebab semakin kenal semakin tahu perangai dya n fmily dya. sikap panas baranya tidak berubah.....dan ada sebab tertentu yg sy patut terus tidak berhubungan dgnya.....sy harap juga jodoh sy dalam masa terdekat ini...

    BalasPadam

Catat Ulasan