Ya,
sedar tak sedar kita selalu bercerita perihal orang lain dalam perbualan kita
sehari-harian bersama teman. Baik lelaki mahupun wanita perihalnya sama saja. Secara
tidak sedar kita telah berada di jurang pengumpatan. Sedikit sahaja lagi akan
terjerumus ke dalam jurang dosa.
Apabila kita
duduk-duduk bersama teman sambil minum di petang hari, pelbagai kisah dan
rencah lidah yang menemani kita. Adakalanya rencah itu pedas, adakalanya masam,
masin, manis dan sebagainya. Kita terlalu mudah untuk menceritakan perihal
manusia lain dalam perbualan harian kita. Bukan saya nak mengata orang lain,
diri saya sendiri kadang-kadang sebegitu. Wal ‘iyadzu billahi min zalikal ‘amal.
Manusia
itu penuh dengan dengki.
Hakikatnya
dalam diri seorang manusia itu kebiasaannya ada tersimpan sedikit perasaan iri
hati atau dengki terhadap manusia lain. Dan kebiasaannya yang menjadi sasaran
iri hati tersebut adalah kawan-kawan sekeliling kita lah. Sebab apa? Sebab mereka
adalah insan terdekat yang berada di samping kita. Kita mengetahui perihal diri
mereka lebih daripada orang lain. Kita tahu semua kelebihan dia, kita juga tahu
setiap keburukan mereka. Macam-macam lagi perihal mereka yang berada dalam
genggaman pengetahuan kita kerana mereka hidup hampir dengan kita.
Maka,
syaitan mula menjalankan tugasnya. Dia mula membisikkan kata-kata nista
terhadap anda supaya merasa dengki dengan setiap kejayaan sahabat anda. Apabila
sudah terdetik sahaja secebis perasaan iri, maka bermulalah jarum kejahatan
syaitan akan menyelinap masuk dan meneruskan cucukan demi cucukan. Syaitan akan
melaksanakan setiap tipu daya mereka dengan langkah-langkah yang tersusun,
sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 168:
وَلَا تَتَّبِعُواْ
خُطُوَاتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengikut
langkah-langkah syaitan..”
Jika syaitan sendiri
pun ada langkah-langkah tertentu dalam menghasut manusia, maka manusia apatah
lagi harus menyediakan langkah-langkah juga untuk menjadi seorang yang beriman dan
bertaqwa di sisi Allah swt sekaligus menjauhkan bisikan syaitan daripada
bermaharajalela dalam diri anda. Harus ada perancangan, langkah dan strategi
terlebih dahulu, bukannya hanya mendiamkan diri dan menyerahkan urusan takdir kepada
Allah semata-mata.
Maka apabila syaitan
telah berjaya menanamkan benih iri dan dengki dalam diri, kita pun akan mula
berbicara sedikit demi sedikit tentang perihal kawan kita tu, bermula dari yang
buruk sehinggalah kepada keaibannya.
Langkah mengatasi
Kita menyedari bahawa
amatlah sukar untuk menghindar daripada perbuatan mengumpat dalam perbualan
kita sehari-harian. Apabila kawan kita mula buka cerita, kita rasa berat untuk
menolak cerita tersebut kerana kita sendiri memang akan berminat untuk
mengetahuinya. Namun di sini ada satu pedoman yang boleh kita sama-sama ambil
untuk jadikan penawar, dan sekurang-kurangnya kita dapat mengubah tabiat
mengumpat kepada sesuatu yang lebih baik lagi bermanfaat, dan in shaa Allah semakin
lama semakin jauh daripada tabiat buruk ini.
Pedoman ini diambil
daripada kisah seorang tabi’in terkenal yang hidup di zaman para sahabat. Nama beliau
memang sudah tidak asing lagi iaitu Muhammad bin Sirin Radiallahu ‘Anhu.
Maka apakah yang dilakukan oleh tokoh ini dalam sirah beliau? Mari kita cuba
gali kisah dan sirah beliau yang maha agung ini. Apa yang saya cuba petik ini
hanya sebahagian sahaja daripada kisah agung sepanjang kehidupan beliau di
zaman para tabi’in. Nak tahu lebih lanjut boleh baca dalam buku ini.
Atau dari judul asalnya (صور من حياة التابعين)
Antara tingkah laku
beliau dalam menghadapi kaum yang suka mengumpat ialah, apabila manusia menceritakan
keburukan orang lain dalam sesebuah majlis, beliau akan segera menceritakan
kebaikan-kebaikan orang tersebut pula sepanjang pengetahuan beliau. Beliau akan
menyebarkan kisah kebaikan orang tersebut sebanyak yang mungkin dan tidak akan membiarkan
manusia berlarutan dalam umpatan mereka hingga mencapai keburukan yang banyak. Beliau
akan memastikan bahawa di akhir perbualan tersebut manusia akan hilang perasaan
jelek terhadap mangsa umpatan tersebut seterusnya mengingati kebaikan-kebaikan
yang pernah dilakukan oleh orang tersebut.
Bahkan ketika manusia
sedang berbicara tentang kejahatan seorang pemimpin, beliau dengan tegas
berkata kepada orang tersebut, “Diamlah wahai saudaraku. Sesungguhnya orang yang
kau umpat itu sudah kembali ke pangkuan Tuhannya. Nanti saat kau kembali kepada
Tuhanmu kelak kau akan dapati dosa kecil yang kau lakukan di dunia ini pun
adalah lebih memedihkan daripada dosa yang dilakukan oleh orang yang kau umpat
itu. Ketahuilah, Allah swt akan menuntut dari dia atas orang-orang yang
dizaliminya sebagaimana dia menuntut atas orang yang menzaliminya. Maka janganlah
engkau sibukkan dirimu dengan memaki orang lain lagi selepas ini.”
Ertinya, sekalipun anda
mengatakan keburukan orang lain kepada manusia, ianya tidak akan mengurangi
kesengsaraan anda sedikitpun di akhirat kelak. Maka apakah kebaikan yang anda
dapat daripada hasil umpatan tersebut? Merasakan puas? Lantas seandainya puas,
apa pula jaminan bahawa anda akan berasa puas di akhirat sana? Kepuasan mana
yang lebih harus diutamakan, dunia ataupun akhirat?
Kesimpulan
Maka bersabarlah
sedikit di atas dunia. Kerana hakikatnya orang-orang yang sabar adalah orang
yang berjaya. Kerana apa, kerana mereka sabar dalam melaksanakan amal, sabar
dalam beribadah, sabar dalam meninggalkan kemaksiatan walaupun hati dan nafsu
meronta-ronta ingin melakukan maksiat. Kawan-kawan, ingatlah selalu bahawa
Allah sentiasa bersama di sisi. Dan janji Allah adalah bersama dengan mereka
yang sabar. Tinggalkanlah segala amalan buruk, perbanyakkanlah amalan-amalan
kebaikan. Sebagaimana kita tidak suka manusia bercerita keburukan kita,
demikian jugalah orang lain tidak suka jika keburukan mereka tersebar.
Dan yang terakhir,
sebelum menceritakan keburukan orang lain, cuba anda ceritakan keburukan diri
sendiri dahulu. Ada bran?
Ulasan
Catat Ulasan