Pengalaman On Air di Kelantan FM..




Salam menuju ukhrawi. Alhamdulillah baru-baru ini saya mendapat satu pengalaman yang agak menarik dan baru. Belum pernah sebelum ini dapat ke udara bersiaran langsung dalam radio dan walaupun sekadar menumpang seorang sahabat, ianya tidak menjadi suatu perkara yang patut dipersiakan. Alhamdulillah diberi rezeki oleh Allah s.w.t untuk merasai pengalaman itu. Memang pengalaman yang sangat berharga. Tak mungkin akan saya lupa.


Pada asalnya saya sekadar menemani seorang sahabat yang dijemput ke sana. Memandangkan dia pun belum pernah bersiaran langsung ke udara, maka dia mengajak saya menemaninya. Dia pun berdebar juga barangkali. Pada mulanya saya pun berasa malas juga, tapi entah mengapa Allah menggerakkan hati saya untuk menurutinya.



Kami sampai di stesen radio tersebut agak awal. Rancangan akan bermula pada pukul 9 malam, tapi kami dikehendaki menghadirkan diri ke sana pada pukul 8 malam. Kami akan dibawakan ke dalam rancangan ‘Kampus Kita’ yang baru saja dikelolakan oleh stesen radio tersebut dan kami antara kampus terawal yang menerima jemputan itu.

Kami dijemput masuk ke dalam bilik DJ. Setelah bersalaman dia menerangkan serba sedikit perihal berkaitan rancangan tersebut. Pada tanggapan awal kami menyangka rancangan yang berdurasi 1 jam itu memerlukan celoteh yang panjang. Kami pun mula merancang point-point yang ingin diperkatakan nanti sejurus dilepaskan bersiaran langsung. Degupan jantung memanglah kencang, usah dipersoalkan lagi.

Menunggu masa sehingga rancangan tersebut bermula amat meletihkan. Kami sekadar menghabiskan masa dengan berbual-bual kecil dengan salah seorang DJ lain yang turut berada disitu. Dia turut memberi peringatan lembut kepada kami, “Nanti jangan masukkan unsur politik dalam pertuturan ya.” Kami mengangguk sambil tersengih. Macam sudah mengecop kami ni suka bermain politik pula.

Tiba-tiba keadaan menjadi gelap. Blackout buat seketika. Masing-masing gusar. Seorang pakcik datang memasuki bilik DJ dan menenangkan keadaan. Dia mengangkat jari ibunya menandakan lagu yang sedang berkumandang melalui stesen radio tersebut masih bermain. Tiada yang perlu digusarkan, sekadar gangguan elektrik bukannya terputus. Kami selaku tetamu sekadar memerhati mereka menyelesaikan masalah tersebut. Tiada bantuan dihulurkan. Hehe.

Lampu cerah semula. Mereka kembali tenang. Muzik backup disediakan supaya muzik tidak mati jika blackout sekali lagi. Dan ternyata selepas beberapa minit elektrik mati lagi. Mereka seakan sudah lali dengan keadaan sebegitu. Kemudian hidup semula. Selepas itu tidak mati lagi.

Tiba-tiba sahabat saya mencuit, “Ki, cuba tengok tu..” saya memalingkan pandangan ke arah telunjuknya. Ianya menuju ke arah sebuah papan tanda biru. Bertulisan putih. Tertulis di atasnya :

Perkara yang dilarang diketengahkan ketika bersiaran langsung :
1. Politik (pembangkang)
2. Agama
3. Seks
4. Perkauman
5. Sultan
6. ……

Saya tidak berapa ingat perkara ke 3, 4, 5, dan 6 kerana perkara pertama dan kedua itu terlalu menarik perhatian kami. Kami saling berpandangan sambil menyimpul senyuman. Ada sesuatu yang sedang berkembang di pemikiran. Nakal dan licik.

“Ok Syis, ready untuk rancangan kita. Dah nak mula ni,” kata kak Zura, DJ yang bertugas tika itu sambil tangannya mencapai headphone untuk dipasangkan di telinga. “Zaki masuk nanti round kedua ya,” tambahnya lagi. Saya sekadar mengangguk sambil mengukir senyuman.

Syis memulakan celoteh. Skrip dibaca. Bagai DJ lagaknya. Kak Zura bermain kata sambil menguasai perbualan. Setelah lebih kurang 2 atau 3 minit berceloteh, lagu selingan dimainkan. Tidak sempat berceloteh panjang pun. Setelah lagu habis dimainkan iklan pula menyusul. Agak lama juga kami menunggu. Sampaikan ada sahabat-sahabat yang sedang mendengar siaran itu mengganggu kami dengan panggilan telefon. Sempat menjawab panggilannya.

Usai iklan kami meneruskan perbualan on air bersama DJ dan di dengari oleh pendengar Kelantan fm. Namun seperti tadinya, tidak berpeluang berceloteh panjang juga. Lagu lain pula yang dimainkan. Sepanjang rancangan tersebut, rasanya lagu dan iklan yang lebih banyak diisi. Bagai kami pula yang menjadi iklan dalam rancangan tersebut. Sepanjang 1 jam rancangan, hanya sekitar 8-9 minit sahaja kami berpeluang bercakap.

Rancangan tamat. DJ tersebut mengucapkan terima kasih kepada kami. Ingatkan ada la sedikit jamuan atau minum-minum disediakan. Dia sekadar menguntum senyuman sambil mengucapkan terima kasih sahaja. Perut sudahlah berkeroncong tika itu. Balik sajalah.

Sebelum masuk ke kampus, berhenti di kedai makan dulu. Makan sepuas-puasnya. Minum macam biasalah, air suam. Jimat duit.

Maka masuklah ke kampus semula setelah perut tersenyum kegirangan…;p

3 Bisikan:

  1. Tahniah..satu pengalaman yang berguna,cakap pasal radio,apa pandangan enta tentang filem negara?

    BalasPadam
  2. Salam...tahniah ye atas pglaman 2...bkn seng nk dpt pglmn mcm 2...hanya owg2 yg b'tuah shja yg akan dpt pglmn sbegitu...=)Pd pndpt haulid, knapa die mlrg kte mngetenghkn psl 6 p'kara itu ktika b'siaran langsung..?

    BalasPadam
  3. syukran pada ili dan dhamiri..emm rasanya mrk tak bg sbb takut mengganggu sensetiviti sesetengah pihak. maklum sajalah, kerajaan harus menjaga kestabilan negara agar tidak berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan masyarakat..satu lg mungkin kerana memikirkan ancaman yang akan mereka hadapi jika isu2 ini diketengahkan..

    BalasPadam

 

Like Our Page

TQ to all my followers =)

Recent Visitors