Tarbiyyah CINTA..


Salam sejahtera sekalian umat bertuah. Alhamdulillah, jangan sesekali dilupakan kesyukuran kepada yang Maha Esa atas nikmat yang terlampau banyak, malah hinggakan akhir zaman pun kenikmatan itu tidak pernah diputuskan daripada dakapan hamba-hambanya. Begitu pemurahnya Dia membekalkan segenap udara malah makanan yang tidak pernah putus, tidak pernah sesekali dihilangkan kesuburan tanah daripada menghasilkan kanji-kanji malah daging-daging haiwan yang halal sentiasa dicukupkannya kepada kita. Alhamdulillah, sejauh mana kesyukuran itu kita zahirkan.

Maafkan hamba. Permulaan ungkapan itu saya lanjurkan dari hati yang dalam. Masih belum berkesempatan menyambung apa yang telah saya janjikan. beberapa masalah seringkali menghinggap ke benak. Serasa semangat untuk ‘bernovel’ agak futur. Huhu.

Sengaja menghadap laptop roomate hari ini sementara mengisi kesenggangan masa antara kuliah di petang hari, rughbati memanggil-manggil untuk berkongsi sebuah perjalanan agung cinta dari sebuah hikayat. Ceritera agung menyanggah segala jenis prosa. Kecintaan yang tidak terperi, malah tiada batas. Subhanallah, agung ternyata. Saya sendiri bagai terpana menghayatinya.

Cinta..cinta..cinta…

Cinta itu seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Seorang yang memendam perasaan cinta terhadap seseorang yang lain kebiasaanya berusaha sedaya mungkin untuk memuaskan hati dan perasaan individu yang mereka cintai malah dia tidak akan membiarkan perasaan kekasihnya itu berada dalam keadaan tertekan, marah atau lain-lain perasaan negatif. Tidak berkehendakkan sesuatu yang bisa melukakan hatinya, malah sentiasa ingin membelai dan memanjakannya sehingga kebahagiaan akan sentiasa berada disamping insan tersebut. Mereka akan menganggap kebahagian insan tersebut merupakan kebahagiaan dirinya juga. Dan akhirnya kedua-duanya berjaya mengecap kebahagian bersama, sama ada melalui perrnikahan atau apa-apa jua cara yang mampu mereka capai, tidak akan melepaskan sebarang peluang yang ada dalam mengecap kebahagiaan itu.

Maafkan saya. Mungkin kalian tidak pernah mendengar saya berbicara perihal cinta. Malah saya sendiri pun merasakan kali pertama menaip dalam keadaan jiwang seperti ini.

Ya, begitulah pandangan seorang manusia. Seorang hamba yang tidak mengerti nilai tertinggi dalam cinta. Seorang yang hanya menilai dari segi zahir, tidak pernah malah jarang terlintas perihal yang tersirat di balik setiap perkara. Kemampuan untuk menilai erti sebenar cinta itu agak terbatas. Mungkin inilah sebahagian kelemahan dan kekurangan yang kita miliki selaku seorang insan. Terlampau lemah berbanding kekuasaan-Nya.

Kekasih yang teragung disisi Allah SWT

Subhanallah.. Bergetar terasa seisi deria. Kekasih bagi Allah? Aduhai, tingginya martabat itu. Entahkan dalam berjuta-juta manusia berapa kerat sajalah yang termasuk dalam list kekasih-Nya itu. Aku? Aduh, jauhnya..bagaimana mampu untuk aku merasakan kehangatan cinta tersebut.. sedangkan mengeluh lebih banyak daripada memohon..

Ternyata seorang yang bernama Muhammad telah menjuarai the hall of fame bagi senarai tersebut. Siapalah kita andai dibandingkan dengan Muhammad itu, kerdil yang teramat. Dia telah terpilih sebagai kekasih bagi Allah. Siapa Allah tu? Siapa? Sedarkah kita?

Dia lah tuhan sekalian alam. Tiada bahagian lain dalam alam ini yang tercipta dengan kudrat selain dari-Nya. Subhanallah, tidak malukah kita. Hidup di dalam sebuah tempat yang bertuankan kuasa teragung, tapi dalam masa yang sama kita tidak pernah berebut-rebut untuk menjadi kekasihNya. Malah melakukan fasad pula. Tanpa segan silu. Bagaikan segala perilaku kita tidak diperhatikan.

Tamrin kepada kekasih

Kita semua sedia maklum Nabi Muhammad SAW merupakan utusan Allah yang termulia malah diikitiraf oleh Allah swt sebagai kekasihNya. Pengiktirafan ini diberi semenjak sebelum baginda lahir lagi. Allah SWT memang telah menetapkan bahawa seorang bayi lelaki yang lahir pada tanggal 12 rabi’ul awal ini merupakan kekasihNya dan akan memikul satu amanah yang tersangat berat, yaitu memandu manusia ke arah kebenaran dan melenyapkan segala kejahilan. Insan ini juga yang telah dinukilkan perihalnya dalam kitab seorang rahib nasrani, bahawa akan ada seorang yang terpuji yang akan diutuskan sebagai rasul dan utusan terakhir dalam penyebaran risalah samawi kepada umat manusia. Insan inilah yang dinobatkan sebagai kekasih Allah SWT. Bagindalah model yang dihantar oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia.

Mari kita cuba susuri perjalanan hidup seorang kekasih Allah. Seawal kelahiran lagi, baginda telah mengalami beberapa siri ‘kecintaan’ dalam susur galur sirah baginda. Bagaimana kekasih Allah ini dilahirkan dalam keadaan yatim, kematian ayahandanya saat lidah masih pelat dari berbicara, telinga masih samar dari segala pendengaran, retina masih kabur daripada pandangan. Tiada curahan kasih sayang daripada seorang ayah sedari awal kelahiran lagi. Takdir Allah SWT telah menetapkan bahawa kekasihNya yang teragung lahir dalam keadaan yang serba kekurangan. Bukannya dalam golongan bangsawan atau hartawan. Demikian juga dengan perihal ibu susu baginda, sekadar seorang wanita yang menetap di kawasan pedalaman. Hampir 5 tahun menumpang kasih wanita tersebut.

Setelah habis tempoh menyusu bersama Halimah, baginda telah dibawa pulang oleh ibunya, Aminah ke pangkuan datuknya Abdul Mutallib di Makkah. Beberapa minggu selepas itu, baginda diajak oleh ibunya untuk berjumpa dengan saudara maranya yang menetap di Madinah. Aminah tidak melepaskan peluang menunjukkan kubur arwah suaminya yang tercinta semasa perjalanan pulang semula ke Makkah selepas sebulan menetap di Madinah. Dan mungkin ‘pertemuan’ itu terlalu ‘dekat’, ditakdirkan Allah, ibunya meninggal di sebuah tempat bernama Abwa dalam perjalanan pulang tersebut.

Hilanglah sudah kedua-dua tempat pergantungan baginda. Kemudian, Abdul Mutallib pula mengambil tanggungjawab menjaga baginda. Namun kegembiraan tersebut tidak lama. Saat umur baginda melonjak kepada lapan tahun, datuk kesayangannya pula menghembuskan nafas terakhir bersama rintihan para pengikut Bani Hashim. Kemudian bapa saudaranya pula mengambil alih tanggungjawab tersebut sekalipun status kehidupannya sekadar ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

Huraian di atas tadi merupakan sedikit cedokan sahaja daripada sirah keseluruhan Rasulullah SAW. Malah andai dihuraikan ternyata banyak lagi siri-siri penyeksaan, kesengsaraan, kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dalam menghadapi mehnah dalam perjuangan baginda. Belum dikira lagi saat peperangan yang disertai oleh baginda SAW.

Ayuh mari kita berfikir sejenak, apakah sebenarnya yang direncanakan oleh Allah SWT terhadap baginda? Mengapa seorang yang diakui sebagai kekasihNya yang teragung ditakdirkan hidup dalam keadaan sedemikian rupa, padahal jika Dia berkehendak Dia mampu memberikan segala jenis kemewahan dan kesenangan kepada baginda? Mendapat kasih sayang daripada kedua ibu bapa baginda, sambil bermanja-manja dengannya?

Tahap tertinggi sebuah cinta

Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan, seseorang yang digalaskan tanggungjawab dalam menegakkan syiar islam tidak akan pernah sesekali dihamparkan karpet merah, tidak akan sesekali direnjis dengan air wangian, tidak akan pernah ditabur bunga rampai di sepanjang perjalanannya. Usah bermimpi berkehendakkan kesenangan, rehat yang berpanjangan, ataupun disambut dengan perempuan-perempuan cantik dan menggoda. Sedarlah, perjalanan dakwah ini merupakan jalan yang penuh dengan onak duri. Malah lebih berbahaya kerana berhadapan dengan persekitaran yang penuh munafiq. Depan kamu dia akan menggayutkan senyuman, namun di belakang dia mula menunjukkan taring. Gunting dalam sekam inilah yang menjadi permasalahan terbesar pada zaman mutakhir ini.

Kembali kepada persoalan asal, bagaimana kecintaan Allah SWT terhadap kekasihNya iaitu Rasulullah SAW dizahirkan. Ternyata sekali berbeza dengan kelaziman yang dilakukan oleh orang ramai. Allah SWT tidak memanjakan baginda sejak dari kecil lagi. Malah baginda sendiri pun lahir dalam suasana yang penuh gawat iaitu ketika abrahah menyerang kaabah bersama bala tenteranya yang menunggang gajah (menurut sebahagian riwayat).

Andai diteliti, andai diselami, terdapat maksud tersirat yang dapat kita cedok daripada kecintaan Allah terhadap kekasihNya ini. Allah SWT mendidik atau mentarbiyyah Nabi Muhammad SAW bermula daripada nafsu baginda. Nafsu yang dididik daripada kecil untuk tidak bersenang-senangan telah membuatkan baginda mempunyai jiwa yang kental dalam menghadapi pelbagai masalah. Semasa berusia 12 tahun baginda telah mula berdikari mencari pendapatan sendiri bersama ayah saudaranya, berdagang ke Syam. Malah terdapat ancaman daripada yahudi pula yang sentiasa mengintai pedagang-pedagang yang bermusafir untuk dirompak dan diserang.

Tidak cukup dengan itu, baginda mencari inisiatif lain untuk menambah pendapat keluarga ayah saudaranya itu. Baginda berjalan dari rumah ke rumah dan menawarkan diri untuk menjaga kambing-kambing di seluruh Makkah, mengambil upah mengembala kambing-kambing tersebut. Alangkah tabahnya baginda menghadapi situasi seperti itu sedangkan umur baginda ketika itu baharu 12 tahun. Cubalah bayangkan sendiri, bagaimana perihal kita ketika masih berumur 12 tahun itu? Mungkin saya rasakan ada dalam kalangan kita yang ketika itu masih berlidah pelat lagi, tidak dapat bertutur dengan baik. Subhanallah, jauh benar taraf kita dengan rasulullah saw.

Demikianlah, Allah SWT mendidik kekasihnya dengan tarbiyyah. Dan akhirnya disaat baginda dilantik menjadi rasul, baginda mampu menjadi seorang yang hebat dalam pelbagai segi. Baginda tidak pernah makan berkenyangan selama 2 hari berturut-turut. Malah mampu mengawal segala perasaan amarahnya dalam menangkis segala tohmahan, cacian dan kesakitan yang dilemparkan kepada baginda. Begitu juga ketika salah satu daripada gigi baginda patah saat berhadapan dengan kaum musyrikin dalam perang uhud. Ya, inilah tanda kasih dan cinta Allah SWT kepada seorang kekasihNya yang teragung. Begitu abstrak. Tidak mungkin akan terdetik dalam pemikiran manusia biasa. TARBIYYAH yang sangat hebat…inilah yang dinamakan TARBIYYAH CINTA…tahap tertinggi sebuah cinta..

Sikap kita

Demikianlah. Suatu perumpamaan telah jelas ditunjukkan oleh Allah SWT. Suatu method dalam mentarbiyyah jiwa. Ianya bukan berbentuk kesenangan, malah bercanggahan terus daripada hawa nafsu kita. Hanya akal dan jiwa yang benar-benar merindukan tarbiyyah sahaja yang akan dapat menerima hakikat ini. Dan ternyata telah ada beberapa kelompok jemaah yang mengaturkan pendekatan seperti ini. Alhamdulillah, jiwa-jiwa besar telah berjaya diraih. Walaupun pada asalnya mengeluh, namun atas kesedaran yang tinggi dalam mentarbiyyah diri maka penerimaan terhadap pendekatan dakwah jenis ini mampu diterima oleh mereka.

Harus diingat, terlampau banyak halangan yang akan dilalui dalam proses pentarbiyahan ini. Bermula dari hasutan hati yang selalu menginginkan kesenangan, sehinggalah hasutan luar yang berbentuk doktrinisasi. Hanya hati yang kental akan mampu menahan segala hasutan ini dan akhirnya mampu berdiri bersama-sama pejuang-pejuang yang berwibawa. Mentarbiyyah diri dengan segenap kerelaan. Menegakkan segala yang ma’ruf dan menghancurkan segala kemungkaran.

Maka, sudah bersediakah anda untuk tamrin seterusnya?

Ulasan