Krisis Mesir : Krisis SIAPA?


...بسم الله الرحمن الرحيم...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah untuk merasakan kenikmatanNya yang tidak terhingga di atas muka bumi ini. Ternyata segala limpahan nikmat ini bukan percuma, tetapi ianya harus digantikan dengan kehambaan dan pengabdian mutlak kepada Allah swt. Syukur Alhamdulillah.

Sudah lama tidak mengarang entri dalam blog. Kesekian kalinya sengaja mengambil peluang yang ada untuk berceloteh tentang hal-hal semasa yang dirasakan perlu, tanda keprihatinan kita terhadap isu-isu yang melanda ummah masa kini. Walaupun kalau nak diikutkan apalah sangat usaha menulis dalam blog ini jika ingin dibandingkan dengan usaha-usaha mereka yang berada dalam lapangan sebenar di luar sana. Namun atas dasar rahmat dan kasih sayang Allah yang maha luas, tidak mustahil usaha yang sedikit kadangkala pahalanya lebih besar berbanding kerja-kerja yang terzahir di luar sana. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Segala-galanya dalam pemerhatianNya jua.

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengulas isu-isu yang sedang berlaku di mesir. Walaupun sering mengambil tahu perkembangan semasa yang berlaku di sana, namun tidak punya kesempatan untuk dikongsikan bersama kalian sahabat blog yang dikasihi sekalian. Selalunya ianya sekadar menjadi bahan bualan ketika makan dan minum bersama teman sekopi di warung-warung atau kedai-kedai makan. Sekurang-kurangnya tidaklah membincangkan perkara yang tidak berfaedah kan. huhu


Baru sebentar tadi terbaca berita di laman web Berita Harian Online bahawa keadaan di mesir sudah kembali aman walaupun masih belum pulih sepenuhnya. Demikian juga dengan ketibaan kelompok pertama pelajar-pelajar malaysia di airport yang dikhabarkan mendarat pada pagi tadi. Seramai 778 pelajar yang telah selamat kembali ke sini. Bukan main lagi dengan sepanduk-sepanduk yang tertulis ‘TERIMA KASIH PM’ dan ‘TERIMA KASIH MALAYSIA’. Sempat pula mereka menyiapkan sepanduk dalam keadaan-keadaan genting seperti itu ya. Huhu (atau siapa sebenarnya yang membuatkannya??)

Namun apa pun jua yang berlaku, alhamdulillah kerana kelihatannya keadaan sudah beransur pulih. Kedai-kedai runcit sudah mula beroperasi seperti biasa. Bank-bank juga sudah mula dipenuhi dengan manusia-manusia yang berantur panjang menunggu giliran untuk mengeluarkan duit. Talian internet sudah disambung seperti sediakala. Talian telefon juga telah dapat digunakan untuk menelefon keluarga dan rakan. Pendek kata rakyat sudah kembali menjalankan kegiatan hariannya seperti sediakala.

Konspirasi dalaman

Rasanya rata-rata sudah sedia maklum bahawa pergolakan yang berlaku di Mesir adalah diakibatkan oleh pemerintahan kuku besi yang dijalankan oleh presidennya Hosni Mubarak merangkap tali barut pusat Amerika. Dalam tempoh masa yang agak lama iaitu selama 30 tahun, rakyat-rakyat Mesir telah dizalimi haknya, ditindas dan ditipu oleh seorang munafik yang sering menaburkan janji-janji kosong kepada rakyat, malah penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan seakan-akan tidak dapat dibendung lagi kecuali dengan revolusi rakyat yang dilihat merupakan satu-satunya kuasa yang ditakuti oleh pemerintah. Walaupun hakikatnya selama ini mereka hidup dalam serba serbi ketakutan. Siang dan malamnya sentiasa diawasi oleh polis dan SB yang menyamar sebagai peminta sedekah dan lain-lain lagi. Semata-mata untuk memastikan tiada gerakan pemberontakan underground yang dilancarkan oleh rakyat untuk menjatuhkan kepimpinannya itu.

Namun perkiraan Mubarak ternyata salah. Dia tidak menyedari bahawa dalam diam, rakyat sedang menaruh dendam dan benci terhadapnya. Saban tahun, saban dekad, dendam tersebut semakin menggunung. Ternyata rakyat tertunggu-tunggu masanya yang sesuai untuk melepaskan rasa yang terbuku itu. Dia menyangka bangsa arab yang berada di bawah pemerintahannya merupakan lembu yang dicucuk hidung, rupa-rupanya seladang yang menderam-deram umpama terlihat kain merah dibentangkan di hadapan matanya.

Dan akhirnya, ternyata kuasa demokrasi telah mencaturkan takdirnya sendiri. Dengan naluri kemanusiaan yang menginginkan keamanan berpanjangan, mereka telah melaungkan suara kemerdekaan hakiki yang didamba selama ini. Tidak peduli risiko yang harus ditanggung kerana mereka mengetahui bahawa keamanan dan keadilan merupakan hak-hak yang harus mereka perolehi, sedangkan selama ini segala hak-hak berikut telah dicantas daripada diri mereka. Dan akhirnya mereka terpaksa hidup dalam suasana kemiskinan dan tekanan, sedangkan Mubarak pula semakin kaya dengan aset-aset rakyat yang ditelannya. Apakan tidak, dalam laporan Kosmo! pagi tadi dikatakan bahawa aset yang disimpan oleh Mubarak merupakan antara yang terkaya di planet ini! Bukan taraf negara atau benua, tapi planet! Entah berapa banyak harta rakyat yang telah menjadi darah daging beliau agaknya.

Kebangkitan rakyat

Dalam petikan wawancara yang diadakan bersama pihak pembangkang terbesar di Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin, mereka mengatakan bahawa revolusi yang berlaku di dunia Mesir pada hari ini bukanlah kebangkitan islam, tetapi sebenarnya merupakan kebangkitan rakyat. Kerana rakyat yang menyertai perarakan menjatuhkan kepimpinan Mubarak datang dari pelbagai latar agama termasuk kristian. Hal ini telah menunjukkan bahawa betapa kesepakatan rakyat dalam menggulingkan pemerintahan Mubarak bukan main-main atau sekadar melepaskan batuk di tangga, tetapi ianya merupakan desakan yang bersungguh-sungguh dengan harapan agar pemimpin jelek itu terus terlucut dari takhtanya sebagai seorang presiden. Tiada siapa lagi yang menginginkannya daripada memagang jawatan itu. Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kredibilitinya yang sememangnya kotor sejak 30 tahun yang lalu.

Pihak Ikhwan memandang ini merupakan masa terbaik untuk mereka berperanan dalam menyusun pentadbiran di Mesir yang sedang gawat. Walaupun sebelum ini kewujudan mereka telah diharamkan oleh rejim Mubarak, namun ternyata rakyat akan mengharapkan usaha daripada mereka untuk memulihkan seterusnya menggantikan pemerintahan yang sedang kucar kacir saat ini lantaran mereka merupakan parti pembangkang terbesar yang sedang bergerak di sana. Dijangkakan pihak Ikhwan akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi presiden pada pilihanraya akan datang.

Amerika takkan menikus

Ternyata Amerika tidak akan mendiamkan diri apabila anjing tambatannya diprovok sedemikian rupa. Sedangkan selama ini kejayaannya memandulkan dunia islam Mesir bersandarkan kepada pemimpin cetakannya itu. Lebih-lebih lagi apabila situasi yang tidak dijangkakan ini berlaku, pemberontakan rakyat secara besar-besaran untuk menggulingkan rejim Mubarak. Ditambah pula dengan pengaruh ikhwanul muslimin yang semakin mendapat tempat di hati rakyat mesir. Gelombang ini sedikit sebanyak telah menjejaskan status amerika di pandangan dunia, kerana antara sebab rakyat membangkang kerajaan mubarak adalah kerana keterlibatan Mubarak sebagai anjing suruhan amerika, dan ternyata sekalian rakyat membencinya.

Mungkin kalian pun dapat lihat sendiri dalam berita-berita yang disiarkan di kaca televisyen bagaimana Amerika Syarikat melibatkan diri dalam pergolakan yang berlaku di Mesir. Mereka mengeluarkan kenyataan itu ini begitu begini seolah-olah ingin menunjukkan bahawa mereka ialah perunding kedamaian. Kononya Obama mendesak Mubarak supaya beliau menyediakan pelan pengunduran secepat mungkin supaya Obama dilihat berpihak kepada rakyat jelata. Sedangkan sepertimana yang kita tahu mereka merupakan tali barut zionis israel. Rasanya sekalian manusia di dunia ini sudah masak dengan sandiwara yang dimainkan oleh orang-orang seperti ini. Bukan sahaja zaman ini, malah sejak zaman perjanjian pangkor lagi mereka sudah menunjukkan perlakuan jahat mereka.

Mungkin di hadapan media mereka bersikap seperti itu, sedangkan di belakang tabir, ternyata perancangan jahat mereka tidak akan pernah luput. Manakan tidak, isu wartawan asing dipukul pun seakan-akan sengaja diperbesarkan supaya manusia melihat bahawa rakyat-rakyat yang menuntut keadilan di jalanan itu sebagai pengganas. Padahal entah siapa sebenarnya yang memukulnya, entah-entah orang-orang yang diupah oleh mubarak sendiri untuk mengacau-bilaukan keadaan. Siapa yang membakar penjara? Siapa yang pecah masuk rumah? Siapa dan siapa? Semua tidak mengetahuinya. Malahan para pendemonstrasi-pendemonstrasi pun tidak mengetahuinya. Dalam keadaan ramai yang penuh sesak itu, siapa yang kisah? terlalu mudah untuk memalsukan berita dalam keadaan seperti itu.

Sikap pemimpin islam

Lanjutan dari pergolakan yang berlaku, timbul pula isu antara ahli-ahli agama. Ada yang menghukum itu ini begitu begini kepada para penuntut hak diri mereka ini. Memberontak kepada pemimpin islam diharamkan, kerana terdapat nas-nas tertentu dari hadis dan sirah nabi. Sehinggakan rakyat mula keliru dengan dua pilihan yang sedang tergantung-gantung di hadapan mereka. Mereka mula sangsi, wajarkah aku menentang pemerintah ini? Sedangkan pemerintah secara terang-terangan melakukan penindasan terhadap orang islam sediri. Rakyat terbiar miskin papa kedana, amanah tidak dijalankan dengan baik, harta-harta rakyat diselewengkan dan dimasukkan ke dalam aset persendirian, bersekongkol dengan musuh Allah yang nyata, dan lain-lain lagi kejahatan.

Kekeliruan-kekeliruan ini bukan sahaja menimpa rakyat di Mesir, malah kita yang berada di Malaysia pun digembar-gemburkan dengan hal yang demikian. Lantas jiwa kembali merasakan takut kerana menentang pemimpin zalim, sedangkan pemimpin itu tidak merasa takut pula menentang hukum-hukum Allah dan menzalimi amanahnya. Kedua-dua pihak saling melakukan dosa. Pemimpin yang munafik itu terus menjadi raja dan mencengkam jiwa rakyat jelata. Pemimpin tidak boleh dipanggil firaun kerana menindas rakyat yang tidak berdosa, tetapi rakyat boleh dipanggil khawarij kerana melawan pemimpin zalim. Kalau zaman para tabi’in dan salafussoleh tu memang la para tabi’in tidak melawan pemimpin yang zalim kerana sezalim-zalim mana pun pemerintah tu, mereka tetap bersistemkan dengan sistem khilafah, sepertimana kata salah seorang salafussoleh, “kecintaan aku kepada sistem khilafah ini melebihi kebencianku terhadap pemimpin ini, dan aku khuatir andai aku menentangnya, maka terhapuslah khilafah ini.”

Manakala situasi kita pada hari ini pula berlainan. Sistem khilafah telah dihapuskan. Tiada lagi perundangan islam dalam mentadbir negara melainkan semuanya datang dari telunjuk sekular. Pemimpin yang lahir dari sistem tersebut juga tidak menjadikan al-quran dan as-sunnah sebagai rujukan utama dalam membangun tadbir sebuah negara. Undang-undang Allah telah diketepikan dan tidak diiktiraf malah dikatakan zalim dan menganiaya manusia. Undang-undang syaitan menjadi telapak sujud mereka. Ideologi-ideologi sesat diperkenalkan kepada manusia sebagai racun untuk memisahkan agama dari kehidupan. Keseronokan dihidangkan, islam bukan lagi sebagai Ad-Deen, tetapi sekadar terukir di atas tembok peringatan dan muzium. Penghayatan islam dicantas. Islam sekadar sembahyang di masjid dan beraya di aidilfitri. Akhirnya islam sekadar terukir di atas bendera. Istilah jihad dinafikan. Tiada lagi jihad menentang musuh-musuh Allah... Lantas bagaimana? Harus dipertahankan lagi kah pemimpin-pemimpin seperti itu sedangkan dalam masa yang sama ada pemimpin yang lebih baik dari mereka?

Selaku rakyat malaysia

Pemberontakan yang berlaku di Mesir sebenarnya membuka mata banyak pihak terhadap senario politik yang berlaku di dunia. Mungkin agak terlambat untuk rakyat Malaysia merasakan bahangnya sekalipun sebenarnya gelombang yang diwujudkan oleh Tunisia jauh lebih awal daripada Mesir. Hal ini berikutan pandangan masyarakat dunia terhadap Mesir selaku ‘Ammud Dunya’ lebih terjurus dan fokus berbanding Tunisia. Tambahan pula dengan keadaan Mesir yang ramai dengan pelajar-pelajar dari Malaysia iaitu anggaran 11,000 pelajar yang melanjutkan pengajian di sana, maka lebih ramai ibu bapa yang berada di malaysia merisaukan keadaan anaknya. Malah sampai sekarang saya tertanya-tanya, sebenarnya kita ni risaukan anak-anak yang berada di sana, atau bimbangkan keadaan di sana? Yang mana lebih kita risaukan? Mungkin ada yang risaukan keadaan di sana sebab anak mereka belajar disana. Atau mungkin kerana ‘buah hati’nya menuntut di sana. Agak-agak kalau mereka yang tidak menghantar anak atau buah hati ke sana, mereka akan risaukan keadaan Mesir tak?

Apa yang penting, demokrasi yang dicipta oleh barat akan memakan diri mereka sendiri suatu hari nanti. Kalau pada asalnya mereka menciptakan sistem ini untuk memecahbelahkan manusia, percayalah pada suatu hari nanti, manusia akan bersatu dalam sistem ini untuk menghukum siapa sebenarnya syaitan di sebalik setiap konspirasi yang berlaku di dunia ini. Janji allah itu pasti, kemenangan setia menanti. Janganlah kita menjadi salah seorang yang menghalang kebangkitan islam itu di persada dunia nanti.
   

Ulasan