Kecuali Mereka yang IKHLAS.....

   
....إلا عبادك منهم المخلصين

*Terdetik untuk menulis artikel ini setelah terbaca satu ayat al-Quran yang sangat membuatkan saya terfikir. insya Allah, marilah mengambil manfaatnya bersama. 

Hampir semua manusia yang berada di atas muka bumi, malah yang berada di sekeliling anda merupakan seorang yang penuh dengan agenda dan kepentingan sendiri. Sama ada sahabat, keluarga, saudara mara, pemimpin, orang bawahan dan sebagainya. Kehidupan manusia yang berangkaian dan penuh kompleks pada hari ini adalah disebabkan kerana kepentingan-kepentingan yang dipendam oleh seseorang manusia tersebut. Setiap perkara yang dilakukan atau dicurahkan, mesti ada sesuatu yang diharapkan.

Usah berkata kepada orang lain. Apakata telunjukkan jemari pada batang hidung sendiri. Apa sebenarnya yang kita inginkan dari seorang sahabat? Mengapa kita rapat kepada seseorang dan selalu menolong mereka dalam kesulitan? Mengapa kita berbuat baik kepada keluarga, saudara mara dan lain-lain? Sudah tentu kerana kita inginkan sesuatu daripada mereka, sama ada berbentuk abstrak ataupun konkrit. Kedua-duanya kita anggap sebagai kepentingan atau kemahuan.

Kita sama-sama punya kepentingan. Kadang-kadang ada yang sama kepentingannya antara satu sama lain. Dan begitu juga sebaliknya. Ada juga yang berkepentingan baik, tak kurang juga yang berkepentingan tidak baik. semuanya bergantung kepada apa matlamat dan motif seseorang menjalinkan hubungan bersama anda.

Sama ada sedar ataupun tidak, rupa-rupanya kita saling bertembung antara setiap kepentingan. Pertembungan ini kadang-kadang tidak kita duga, adakalanya kita tidak sedar dan tidak terambil tahu pun. Pertembungan demi pertembungan yang melibatkan kepentingan demi kepentingan. Dan akhirnya pertembungan pada setiap kepentingan ini mewujudkan kecelaruan dalam komunikasi dan sosial. Kita mula bertelagah dan berlakunya permusuhan, persengketaan, saling mendengki, dan bermulalah silent protest. Saling mengukir persepsi.

Agenda syaitan ke Muka Bumi

Bukan manusia sahaja yang punya kepentingan, syaitan juga sama. Mereka berada di sekelilling kita. Mereka suka hidup bersama kita. Hari-hari syaitan mengikuti kita kemana sahaja kita pergi. Malah bukan sekadar mengikut, mereka juga menumpang di dalam tubuh manusia, dan bersarang dalam hati manusia yang penuh dengan kekotoran. Kerana mereka sukakan tempat yang kotor.

Namun syaitan mempunyai kepentingan yang jelas. Mereka ingin menyesatkan manusia. Kita semua sedia maklum. Walaupun tidak bisa untuk dilihat, tetapi bisa kita faham dan rasa. Berdasarkan pengetahuan yang ditanam dalam diri. Tinggal cara perlaksanaan mereka sahaja yang masih belum jelas dalam kalangan kita. Kita masih terperangkap dalam mainan syaitan walaupun kita tidak dapat melihat mereka pun. Kadang-kadang macam bodoh, tapi itu memang hakikat manusia.

Lantas kita bertanya pada diri, apa yang mendorong setiap kepentingan tersebut dalam diri seorang manusia mahupun jin? Mengapa harus wujudnya kepentingan-kepentingan tersebut dalam diri? Sejauh mana kepentingan tersebut mempengaruhi diri seseorang pemiliknya dalam kebaikan atau keburukan?

Selagi mana kita punya nafsu dan akal, selagi itulah kita sentiasa ingin sesuatu. Kita berkehendakkan kepada sesuatu yang mengenyangkan nafsu atau akal. Kita ada nafsu, yang menginginkan setiap kesenangan. Kita ada akal, yang memikirkan kenapa tidak pandai untuk mengambil kesempatan. Akal dan nafsu saling bertemu. Bertarung siapa yang akan berada di atas, siapa yang akan memacu siapa.

Dalam masa yang sama, ada syaitan pula yang menyokong nafsu dari belakang. Maka tinggalkan akal berseorangan melawan nafsu dan syaitan. Dua lawan satu. Keteguhan akal benar-benar teruji. Dan seringnya akal kalah apabila melawan mereka berdua berseorangan. Persoalan yang timbul, dimanakah pembantu bagi akal? Apakah selamanya akal akan berseorang menemani jasad dalam kebaikan? Adakah hanya dengan akal mampu untuk menangkis serangan daripada nafsu dan syaitan?

Ya. Akal bersendirian. Dan masih bertahan demi sebuah kebaikan. Dan satu yang sering dilupakan sang pemilik jasad……

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّہُمۡ أَجۡمَعِينَ  (٣٩) إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡہُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ
Maksudnya: Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39) Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka. (40) al-Hijr

Inilah peneman kepada akal, Iaitu hati. Dialah yang akan memberi kekuatan yang luar biasa kepada akal untuk mendepani kedua-dua musuh tersebut. Namun ianya bersyarat, iaitu IKHLAS.

Dalam ayat di atas, iblis (syaitan) sendiri berkata kepada Allah swt bahawa mereka akan menyesatkan manusia dengan hiasan-hiasan dunia. Semua manusia akan disesatkan, kecuali mereka yang tertanam keikhlasan dalam hati mereka. Ikhlas beribadah kerana Allah, ikhlas bekerja kerana Allah, dan ikhlas dalam melakukan setiap pekerjaan hanya kerana Allah swt. Tiada keinginan selain daripadaNya, sebuah penyerahan diri yang tertinggi dalam diari seorang ‘abid. Itulah dia IKHLAS.

Itulah sebabnya untuk mengelakkan daripada berlaku persengketaan atau permasalahan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, sama ada yang melibatkan urusan gerak kerja dakwah dan sebagainya, terutamanya yang berkaitan dengan manusia, hendaklah kita tanamkan keikhlasan dalam diri supaya syaitan tidak mudah menyusup masuk ke dalam hati kita dan membisikkan kata-kata kejahatan yang berbaur hasad, dengki dan dendam sesama manusia.

Apabila kita sudah menguasai skill IKHLAS tersebut, secara tidak langsung ianya merupakan sebuah penyerahan diri yang tertinggi ke hadrat Allah swt. Tiada sebarang keinginan dan kepentingan lain yang bersarang dalam hati kecuali untuk Allah swt dan agamaNya. Kita akan sentiasa berlapang dada dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tiada lagi rungutan-rungutan yang berbisik di belakang manusia. Setiap tingkah laku adalah didasari oleh pekerti muslim yang tinggi dengan qudwah hasanah.

Maka secara tidak langsung, kita telah berjaya mengesampingkan tipu daya syaitan daripada menjerat diri kita. Ingatlah, sebuah lagi janji Allah yang menyambung ayat di atas tadi:

 إِنَّ عِبَادِى لَيۡسَ لَكَ عَلَيۡہِمۡ سُلۡطَـٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu (wahai iblis) sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (42)

Lihatlah, Allah telah menjanjikan bahawa syaitan dan iblis langsung tiada kuasa untuk menyesatkan manusia. Tidak pernah ada kekuatan bagi iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia, kecuali apabila manusia itu sendiri yang pergi mendengar dan mengikut apa yang diperkatakan oleh syaitan itu, dan ianya atas pilihan manusia itu sendiri. Kerana sesungguhnya syaitan itu penuh dengan muslihat dan tipu daya. 

Kita tersesat hanya kerana kita tertipu dengan permainan licik syaitan durjana. Naudzubillahi min zalik.


Refleksi

Ayuh sahabat. Cek semula diri kita. Cek semula hati kita, perasaan, dendam dan hasad. Renung-renungkan setiap yang berlaku dalam hidup kita. Adakah kita benar-benar ikhlas dalam meniti hari-hari sebagai seorang hamba dan ‘abid. Sebagai seorang yang punya taklifan yang besar. Sudahkan kita ikhlaskan hati, memacu niat kepada Allah semata-mata. Apakah kita masih bermain dengan dendam semalam yang hanya merupakan bisikan syaitan. Kita bukan pacuan syaitan, melainkan kita sendiri yang menuju ke arah itu.

Ayuh, mula untuk IKHLAS sekarang. Kita cari manisnya keimanan. Hidup dalam dendam ibarat sang ikan berenang di lumpuran sedangkan lautan masih luas terbentang. Sengaja mencari kesusahan sedangkan penawar sudah tersedia di hadapan.

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ۬ وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۙ
Maksudnya: Dan Kami turunkan dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya

Ulasan