Allah Mengajar Kita Dengan 'MAKAN'

  

Saya menganggap manusia tidak suka kepada ujian. Tanyalah pada siapa-siapa sekalipun, dari ceruk mana sekalipun, tiada manusia yang menyukainya. Bermula dari zaman kanak-kanak lagi, mereka lebih gemar hidup selesa dan tiada sebarang ujian atau cabaran dalam hidup mereka.

Ujian itu sesuatu yang menyukarkan. Ianya menggunakan proses pemikiran atau praktikal dari seseorang. Malah kadang-kadang ianya mempunyai tahapan pula. Secara hakikatnya manusia tidak gemar diuji tetapi mereka gemar untuk menguji orang lain. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan umum.

Ujian itu kebiasaannya menguji tahap kemampuan seseorang, menguji kelemahan dan kekuatan. Pelbagai jenis ujian yang dijalankan di dunia ini. dengan keberjayaan seseorang melepasi sesebuah ujian, ianya menunjukkan tahap kemampuan yang berjaya dikuasai pada sesuatu tempoh masa. Ianya merupakan sebuah ukuran yang diterima oleh masyarakat umum.

Ramadhan sebagai ujian

Kita berasa hairan dengan fenomena ini. tatkala menjelang bulan Ramadhan, ramai yang gemar mengucapkan “Salam Ramadhan” kepada sahabat-sahabat dan rakan taulan. Ianya sesuatu yang menghairankan kerana hakikatnya bulan Ramadhan itu sebagai ujian, tetapi manusia seolah-olah gemar dan suka akan bulan Ramadhan. Benarkah?

Tepuk dada, tanya hati. Tanya iman. Apakah perasaan kita apabila menjelangnya bulan Ramadhan. Benarkah kita merindui Ramadhan, benarkah kita merindui beramal ibadah di bulan Ramadhan, benarkah kita berasa seronok dengan suasana Ramadhan. Adakah ucapan di mulut itu sesuatu yang benar, atau sekadar sesuatu yang ‘terpaksa’ diungkapkan. Mulut mengucapkan rela sedangkan dalam hati tidak mengiyakan.

Sepatutnya kita merasa tidak suka dengan Ramadhan. Kenapa? Sebab Ramadhan ialah sebuah madrasah tarbiyyah dan ujian bagi manusia. Ramadhan adalah sebuah ukuran dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan hamba-hambaNya. Bulan Ramadhan hanya menjanjikan kelaparan dan keletihan kerana kita disuruh berpuasa di siang hari manakala pada malam kita disuruh beramal ibadah pula.

Bukankah sepatutnya kita merasa tidak seronok dengan kehadiran Ramadhan?

Perspektif yang terbatas dan terhad

Demikianlah pandangan manusia terhadap Ramadhan apabila mereka mengenali Ramadhan sebagai bulan puasa. Dalam fikiran mereka hanyalah terpampang perkataan ‘tidak boleh makan’ dan tiada benda lain selain makan makan makan. Sebelum Ramadhan pun makan, semasa Ramadhan pun makan, selepas Ramadhan pula balun makan cukup-cukup sebagai membalas dendam.

Hakikatnya manusia seperti ini masih lagi cetek dalam memikirkan tentang kehadiran sebenar Ramadhan. Pemikiran mereka terhadap agama tidak lain hanyalah sebagai bebanan yang terpaksa ditanggung oleh diri mereka. Ada sahaja kehendak agama yang harus dituruti. Tidak boleh nak enjoy langsung. Agama tiada langsung peranan dalam diri mereka melainkan sebuah bebanan!
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” (riwayat Ibnu Majah) 
Ayuh sama-sama beristighfar kuat-kuat dalam hati kalau kita punya pemikiran seperti ini.

Belajarlah dari‘makan’

Makan merupakan perkara sinonim yang tidak dapat dipisahkan dari diri setiap manusia. Setiap hari kita perlu makan untuk mendapatkan tenaga dalam diri. Malah makan menjadi satu tabiat utama kepada manusia dan mempengaruhi sebahagian besar dari kehidupan kita. Ianya mempengaruhi emosi, minda dan tabiat hidup manusia secara langsung.

Bulan Ramadhan yang hadir secara tiba-tiba mengganggu rutin harian kita yang telah kita lakukan sepanjang 11 bulan. Kalau 11 bulan sebelum itu kita makan hari-hari, maka dengan hadirnya Ramadhan kita tidak lagi makan di siang hari. Kita terpaksa menahan lapar sehingga ke petang. Setelah masuk waktu maghrib, baharulah kita dibenarkan untuk makan.

Rutin tersebut berlaku sepanjang bulan Ramadhan. Dan selama 30 hari itu tiba-tiba kita mampu untuk menahan lapar sehari suntuk. Seolah-olah sebuah keajaiban. Bagaimana gamaknya kita mampu menahan makan dalam tempoh sehari suntuk sedangkan pada hari sebelum Ramadhan cepat benar kita merasa lapar?

Demikianlah, rutin yang telah kita amalkan setiap hari menjadi racun dalam pemikiran kita. Setiap perkara yang menjadi rutin kebiasaannya akan melekat kuat dalam diri kita. Tidak kiralah sama ada ianya berkaitan makanan atau perkara lain. Allah mengajar kepada kita bahawa setiap rutin dan adat itu sebenarnya boleh diubah. Tidak semestinya apabila manusia tidak makan di siang hari, mereka tidak boleh hidup. Semuanya boleh diubah termasuklah tabiat manusia terutamanya tabiat yang buruk. Tiada alasan untuk berubah!

Mindset itu penting.

‘Hidden mission’ in Ramadhan

Pernahkah ketika kita berjalan-jalan di bazar Ramadhan, kita sangat-sangat teringin membeli makanan itu makanan ini. pelbagai jenis makanan yang kita beli dengan tujuan untuk dijamah ketika berbuka puasa. Tangan penuh dengan bungkusan makanan yang dibeli dari bazar Ramadhan. Dalam hati membara dan melompat-lompat gembira kerana tidak sabar menunggu masuknya waktu berbuka puasa.

Namun ketika azan berkumandang, kita hanya makan satu jenis lauk sahaja, terus terasa kenyang. Hairan! Makan sedikit sahaja sudah terasa kenyang. Sedangkan ketika berjalan di bazar petang tadi bukan main lapar lagi. Perut berkeroncong kasih irama bagai biola padang pasir. Tapi bila makan satu jenis lauk sahaja, sudah tidak mampu untuk menghabiskan yang lain.

Satu lagi situasi adalah apabila kita mendengar azan Zuhur atau Asar, terasa berat sangat untuk bangun menuju masjid. Alasannya ialah penat kerana letih berpuasa. Namun ketika menjelang jam 6, tiba-tiba bertenaga pula untuk bangun dan menuju ke bazar Ramadhan untuk membeli makanan. Hairan, sepatutnya makin petang makin tidak bertenaga, tapi terbalik pula hal yang terjadi. Makin petang makin bertenaga pula!

Lihat, itulah sebenarnya perkara yang harus kita detect sepanjang Ramadhan berlangsung. Segala aturan Allah itu bijak dan berperancangan. Allah mencipta suasana Ramadhan dengan tujuan untuk mendidik kita. Dia mengatur masa selama sebulan tanpa makan di siang hari itu semata-mata hanya kerana ingin menunjukkan tabiat sebenar manusia yang tidak kita sedari. Dan Allah hanya mengajar semua itu dengan ‘makan’.

Dan akhirnya kita sedari, Allah mengatur masa selama sebulan itu semata-mata kerana ingin menunjukkan kepada kita WAJAH SEBENAR NAFSU DALAM DIRI KITA.

Kenali nafsu anda

Cukuplah tempoh sebulan itu untuk kita mengenali nafsu kita. Persoalannya, kenapa kita perlu kenal dengan nafsu kita?

Jawapannya kerana nafsu itu adalah teman yang paling rapat dengan kita, tetapi kita tidak pernah sedar tentang bisikan tipu daya yang dibisikkan kepada kita saban hari. Kita tak pernah merasai kewujudannya. Dan akhirnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ianya tersingkap!

Maka bermulalah misi seorang hamba dalam mencari keredhaan TuhanNya. Apabila seorang manusia sudah mampu mengenali dan mengawal kehendak nafsu dalam diri, ketika itulah kemuncak kesejahteraan bagi seorang hamba di dunia. Namun harus diingat, cabaran yang sebenar bukanlah di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan hanyalah tempat untuk melatih diri. Hanya tempat untuk menyingkap rahsia wajah sebenar nafsu kita sahaja.

Cabaran yang sebenar sudah tentu ketika kita berada pada bulan selepasnya. Jika bulan Ramadhan kita mampu mengendalikan diri dengan baik, maka proses pada bulan-bulan seterusnya akan bertambah semakin baik. manakala jika di Ramadhan ini prestasi kita tidak baik, maka pada bulan-bulan selepasnya akan semakin parah dan teruk. Kerana dunia sebenar kita adalah pada hari-hari yang mendatang.

Maka bersedialah menjadi graduan Ramadhan yang berkualiti. Kerana hari-hari yang mendatang menjanjikan cabaran yang lebih besar!

Salam Ramadhan buat semua pembaca yang setia bersama. Terima kasih kerana sudi membaca….. ^,^
   

Ulasan