Noda Sang HUFFAZ

   
Satu hari, saya berbual-bual kosong bersama beberapa orang sahabat sambil pekena nasi lemak mapley bersama jus tembikai. Tiba-tiba terjadi sebuah perbualan.

“Aku sekarang dah tak percaya kat budak-budak yang hafal quran,” ujar seorang sahabat

Saya tersedak, tapi sekadar dalam hati.

Seorang sahabat saya yang lain meningkah, “kenapa pulak ko rasa macam tu?” dia seakan mempertikai.

“Aku tengok ramai budak yang hafiz kat api tu, tapi perangai tak melambangkan dia seorang penghafal al-quran,” ujarnya. Ada kebenaran di sebalik tuturnya.

“Oo yeke.. a’ah betul jugak kan. Nama je hafiz, tapi kadang-kadang banyak masalahnya. Kadang-kadang duk bergayut calling dengan perempuan sampai tengah malam, keluar dating, makan dengan perempuan, tepuk tampar dengan perempuan…. Ahh banyak lagi lah..” tiba-tiba sahabat saya yang seorang lagi tu mengiyakan sekali.

Saya terus diam, mengunyah perlahan-perlahan setiap butir nasi yang berlaukkan otak-otak kempas itu. Mata tertumpu ke bawah. Secara jujurnya saya juga mengiyakan kata-katanya itu.

“Aku pun hairan, sepatutnya bila dah ada al-quran dalam diri tu, makin bertambah baik, jaga akhlak, jaga hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Tapi yang berlaku ialah sebaliknya. Malah lebih teruk dari orang yang tak hafal quran,” tambahnya.

Perbualan yang tercetus itu membuatkan fikiran saya menerawang jauh, mengimbas semula kenangan-kenangan ketika di sekolah lama. Saya terbayangkan apa yang dibicarakan oleh sahabat-sahabat saya itu. Teringat kisah-kisah lama saat jahiliyyah masih bersarang di dalam diri. Seorang insan yang baru cuba berkenalan dengan hakikat diri. Baru mencuba berjinak dengan al-quran. Tiba-tiba segarit senyuman terbentuk tanpa disedari.

“Eh eh, ni apasal yang kau tiba-tiba tersenyum ni, tak kena dengan tajuk perbualan betullah,” tiba-tiba saya ditegur kerana perbuatan yang agak tidak kena pada tempatnya itu. Hampir tergelak kecil saya ketika itu.

“Sebenarnya, aku tak pelik dengan sikap-sikap penghafal quran yang sedemikian rupa, sepertimana yang kalian ceritakan,” ujar saya. Mereka sedikit terperanjat.

“Kenapa pulak kau rasa macam tu, Kau rasa ianya perkara main-main ke?” tanya salah seorang sahabat saya itu.

“Emmm.. tak… bukan main-main, tapi serius,” ujar saya tanpa riak senyuman. “malah kadang-kadang aku kasihan terhadap golongan penghafal quran.” Tambah saya lagi.

“Kenapa kasihannya? Ataupun kau termakan cili?”

“Mungkin aku tergigit sedikit cili tersebut, kerana aku faham bagaimana situasinya seorang penghafal quran.”

“Ok, kalau camtu ceritalah sedikit pada kami.”

Saya menarik nafas dalam-dalam. Tidak tahu ingin bermula dari mana. “emmm.. hakikatnya orang yang hafal quran tanggungjawabnya tak sama macam orang biasa. Dia ada tanggungjawab yang terbeban dalam dada mereka. Tanggungjawab menanggung sebuah kitab firman dari Tuhan yang Maha Esa dan Kuasa.”

“Lantas? Sepatutnya mereka lebih bersikap baik kerana mereka mengetahui hukum hakam dan memahami setiap perkara yang terkandung dalam al-quran itu sendiri, sama ada perkara yang halal mahupun yang haram.”

“Ya benar. Tapi harus diingat, syaitan yang mengekori mereka juga bukan dari kalangan yang biasa, pangkatnya tinggi-tinggi. Sarjan, jeneral… Mungkin.”

“Tapi adakah ianya menjadi alasan untuk seorang penghafal quran membela diri mereka dan menafikan dosa yang mereka lakukan?”

“Tidak, hakikatnya, yang salah tetap salah. Dosa tetap dosa, pahala tetap pahala. Mereka mengetahui akan hal itu… ”

“Maka?”

“Cuma mungkin mereka memerlukan sedikit masa untuk mencari hakikat diri. Mengenali hakikat kehidupan. Naluri keseronokan yang setiap manusia dambakan. Mereka baru sahaja terdedah dengan realiti dunia yang sebenar, sebab sebelum ini mereka terpenjara di sekolah, menerima tarbiyah terus menerus daripada sang ustaz, tanpa diperlihatkan kepada realiti sebenar masyarakat di luar. Mereka terkejut dengan budaya baru yang sedang mereka lalui. Itulah dinamakan culture shock.”

“Ok… kemudian?”

“Emmm…” sebuah keluhan terhempas. “Sebagai seorang manusia biasa, yang serba lemah.. adakalanya mereka juga terpedaya dan tewas dalam genggaman nafsu syaitan durjana… sama seperti manusia biasa, tiada bezanya…”

Hanya itu yang mampu saya lontarkan. Memang itulah kelemahan setiap manusia. Kadang-kadang lalai, walaupun telah menggunung ilmu di dada.  Apakan daya, sifat manusia itu sendiri sering melakukan kesilapan dan dosa. Seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW:

«كل ابن آدم خطاء، وخير الخطَّائين التوّابون »  .
أخرجه ابن أبي شيبة وأحمد والترمذي وابن ماجه والحاكم وقال : صحيح الإسناد ولم يخرجاه , والبيهقي في شعب الإيمان, والدارمي وأبو يعلى. وعبد بن حميد

Maksudnya: setiap anak adam itu melakukan kesalahan (dosa), dan sebaik-baik pelaku dosa adalah mereka yang bertaubat.

Dalam diam, saya beristighfar dalam hati. Tiba-tiba terkenangkan banyaknya dosa saya terhadap al-quran. Zalimnya saya terhadap al-quran yang telah saya genggam ini (walau hakikatnya semakin terurai genggaman itu semenjak meninggalkan bangku persekolahan).

“Emm.. nampaknya bukan golongan hafiz sahaja yang melakukan dosa, sebenarnya semua manusia pun sama sahaja, tiada bezanya. Aku sendiri pun bukannya baik sangat. Dulu masa sekolah dulu macam-macam benda yang aku buat, setakat bertepuk tampar dengan perempuan tu perkara basic je tu..” akhirnya dia mengakui kesilapan lampau ketika dia di zaman sekolah.

“Nah, untunglah kalian dah merasa suasana itu ketika di zaman sekolah lagi. Kami yang sekolah tahfiz ni, masuk ke alam universiti rambang mata tengok perempuan. Terkejut, macam tak percaya sebab masa sekolah dulu semua pelajarnya lelaki, takde perempuan. Masuk universiti ni, baru nak merasa bagaimana hebatnya fitnah seorang perempuan. Kami agak rugi kerana terlambat merasakan fitnah tersebut,” ujar saya.

“Tidak… kalian tidak rugi… malah sebenarnya kami yang rugi” tiba-tiba sahabat saya itu meningkah.

“Kenapa pula macam tu?” tanya saya.

“Hakikatnya, kamilah yang rugi.. sebab masa muda kami terisi dengan perkara-perkara tersebut.. kalian untung sangat-sangat, kerana masa muda kalian terisi dengan hafalan al-quran.. kami ni dah masuk umur macam ni, susah dah nak hafal quran.. nak menyelesaikan juzuk 29 ni pun sampai extend berapa sem dah..” ujar sahabat saya dalam tawa kecil yang tidak terhambur. Mungkin mentertawakan dirinya sendiri.

“Hmmmm….” Keluhan terhempas lagi. Meluahkan gumpalan rahsia hati. Ingin membuang segala dosa dan alpa dengan gumpalan keluhan tadi. Tidak mahu lagi ianya memberat di hati, menyerabutkan sangkar hati.

“Kesimpulannya, bila kita sama-sama renung semula diri, rasa macam tak layak nak mengata kepada orang lain… bahawa dia ini sekian lah, sekian lah…. Sedangkan diri sendiri pun masih di persimpangan dosa.. astaghfirullah al-adzim…”

“Ya, itulah hakikatnya manusia. Selagi mana kita muhasabah diri, insya Allah kita tak nampak dosa orang lain melainkan dosa kita sendiri. Hakikatnya, tidak adil kita menyalahkan manusia lain tanpa mengetahui latar belakang dan asal-usul mereka dahulu. Kita juga akan marah andai diperlakukan sedemikian rupa.. lebih baik kita serahkan segalanya kepada Allah kerana Dialah pemilik segala hati. Hanya Dia yang mengetahui rahsia hati.”

Sahabat saya mengangguk, mengiyakan barangkali. Air teh ais yang semakin mencair itu dihirup kembali. Nasi lemak yang tadinya panas sudah semakin sejuk. Sudah hampir dua bakul otak-otak kempas dihabisi malam itu.

“Hakikatnya, insya Allah, satu hari nanti mereka tahu kemana jalan untuk mereka ‘kembali’.. kerana al-quran itu sudah ada dalam hati mereka, tinggal masa yang menentukannya.. semoga dipercepatkan tempoh penemuan mereka itu. Kita sama-sama doakanlah….” Ujar saya mengakhiri perbualan.

‘Sahabat lama’ (anne) pun menjalankan tugasnya, “kira semua?”
   

1 Bisikan:

  1. Setuju dengan pendapat saudara yang menulis...Kita selaku manusia tidak lepas daripada salah laku dan dosa...Hanya pandangan Allah sahaja yang maha layak memperbatasi pandangan manusia dan alam seluruhnya...Sebagaimana manusia yang mempunyai pangkat dan kedudukan...begitu jua golongan jin dan syaitan....Semoga kita sama-sama mengambil ibrah dan pengajaran daripada hakikat kehidupan ini...

    BalasPadam

 

Like Our Page

TQ to all my followers =)

Recent Visitors