Satu hari, saya berbual-bual kosong bersama beberapa
orang sahabat sambil pekena nasi lemak mapley bersama jus tembikai. Tiba-tiba
terjadi sebuah perbualan.
“Aku sekarang dah tak percaya kat budak-budak yang hafal
quran,” ujar seorang sahabat
Saya tersedak, tapi sekadar dalam hati.
Seorang sahabat saya yang lain meningkah, “kenapa pulak
ko rasa macam tu?” dia seakan mempertikai.
“Aku tengok ramai budak yang hafiz kat api tu, tapi perangai
tak melambangkan dia seorang penghafal al-quran,” ujarnya. Ada kebenaran di
sebalik tuturnya.
“Oo yeke.. a’ah betul jugak kan. Nama je hafiz, tapi
kadang-kadang banyak masalahnya. Kadang-kadang duk bergayut calling dengan
perempuan sampai tengah malam, keluar dating, makan dengan perempuan, tepuk
tampar dengan perempuan…. Ahh banyak lagi lah..” tiba-tiba sahabat saya yang
seorang lagi tu mengiyakan sekali.
Saya terus diam, mengunyah perlahan-perlahan setiap butir
nasi yang berlaukkan otak-otak kempas itu. Mata tertumpu ke bawah. Secara jujurnya
saya juga mengiyakan kata-katanya itu.
“Aku pun hairan, sepatutnya bila dah ada al-quran dalam
diri tu, makin bertambah baik, jaga akhlak, jaga hubungan antara lelaki dan
perempuan yang bukan mahram. Tapi yang berlaku ialah sebaliknya. Malah lebih
teruk dari orang yang tak hafal quran,” tambahnya.
Perbualan yang tercetus itu membuatkan fikiran saya
menerawang jauh, mengimbas semula kenangan-kenangan ketika di sekolah lama. Saya
terbayangkan apa yang dibicarakan oleh sahabat-sahabat saya itu. Teringat kisah-kisah
lama saat jahiliyyah masih bersarang di dalam diri. Seorang insan yang baru
cuba berkenalan dengan hakikat diri. Baru mencuba berjinak dengan al-quran. Tiba-tiba
segarit senyuman terbentuk tanpa disedari.
“Eh eh, ni apasal yang kau tiba-tiba tersenyum ni, tak
kena dengan tajuk perbualan betullah,” tiba-tiba saya ditegur kerana perbuatan
yang agak tidak kena pada tempatnya itu. Hampir tergelak kecil saya ketika itu.
“Sebenarnya, aku tak pelik dengan sikap-sikap penghafal
quran yang sedemikian rupa, sepertimana yang kalian ceritakan,” ujar saya. Mereka
sedikit terperanjat.
“Kenapa pulak kau rasa macam tu, Kau rasa ianya perkara
main-main ke?” tanya salah seorang sahabat saya itu.
“Emmm.. tak… bukan main-main, tapi serius,” ujar saya
tanpa riak senyuman. “malah kadang-kadang aku kasihan terhadap golongan
penghafal quran.” Tambah saya lagi.
“Kenapa kasihannya? Ataupun kau termakan cili?”
“Mungkin aku tergigit sedikit cili tersebut, kerana aku
faham bagaimana situasinya seorang penghafal quran.”
“Ok, kalau camtu ceritalah sedikit pada kami.”
Saya menarik nafas dalam-dalam. Tidak tahu ingin bermula
dari mana. “emmm.. hakikatnya orang yang hafal quran tanggungjawabnya tak sama
macam orang biasa. Dia ada tanggungjawab yang terbeban dalam dada mereka. Tanggungjawab
menanggung sebuah kitab firman dari Tuhan yang Maha Esa dan Kuasa.”
“Lantas? Sepatutnya mereka lebih bersikap baik kerana
mereka mengetahui hukum hakam dan memahami setiap perkara yang terkandung dalam
al-quran itu sendiri, sama ada perkara yang halal mahupun yang haram.”
“Ya benar. Tapi harus diingat, syaitan yang mengekori
mereka juga bukan dari kalangan yang biasa, pangkatnya tinggi-tinggi. Sarjan,
jeneral… Mungkin.”
“Tapi adakah ianya menjadi alasan untuk seorang penghafal
quran membela diri mereka dan menafikan dosa yang mereka lakukan?”
“Tidak, hakikatnya, yang salah tetap salah. Dosa tetap
dosa, pahala tetap pahala. Mereka mengetahui akan hal itu… ”
“Maka?”
“Cuma mungkin mereka memerlukan sedikit masa untuk
mencari hakikat diri. Mengenali hakikat kehidupan. Naluri keseronokan yang
setiap manusia dambakan. Mereka baru sahaja terdedah dengan realiti dunia yang
sebenar, sebab sebelum ini mereka terpenjara di sekolah, menerima tarbiyah
terus menerus daripada sang ustaz, tanpa diperlihatkan kepada realiti sebenar
masyarakat di luar. Mereka terkejut dengan budaya baru yang sedang mereka
lalui. Itulah dinamakan culture shock.”
“Ok… kemudian?”
“Emmm…” sebuah keluhan terhempas. “Sebagai seorang
manusia biasa, yang serba lemah.. adakalanya mereka juga terpedaya dan tewas
dalam genggaman nafsu syaitan durjana… sama seperti manusia biasa, tiada
bezanya…”
Hanya itu yang mampu saya lontarkan. Memang itulah
kelemahan setiap manusia. Kadang-kadang lalai, walaupun telah menggunung ilmu
di dada. Apakan daya, sifat manusia itu
sendiri sering melakukan kesilapan dan dosa. Seperti yang disabdakan oleh
baginda Rasulullah SAW:
«كل ابن آدم خطاء، وخير الخطَّائين التوّابون » .
أخرجه ابن أبي شيبة وأحمد والترمذي وابن ماجه والحاكم وقال : صحيح الإسناد ولم يخرجاه , والبيهقي في شعب الإيمان, والدارمي وأبو يعلى. وعبد بن حميد
Maksudnya: setiap anak adam itu melakukan kesalahan (dosa), dan
sebaik-baik pelaku dosa adalah mereka yang bertaubat.
Dalam diam, saya beristighfar dalam hati. Tiba-tiba terkenangkan
banyaknya dosa saya terhadap al-quran. Zalimnya saya terhadap al-quran yang
telah saya genggam ini (walau hakikatnya semakin terurai genggaman itu semenjak
meninggalkan bangku persekolahan).
“Emm.. nampaknya bukan golongan hafiz sahaja yang melakukan dosa,
sebenarnya semua manusia pun sama sahaja, tiada bezanya. Aku sendiri pun
bukannya baik sangat. Dulu masa sekolah dulu macam-macam benda yang aku buat,
setakat bertepuk tampar dengan perempuan tu perkara basic je tu..” akhirnya dia
mengakui kesilapan lampau ketika dia di zaman sekolah.
“Nah, untunglah kalian dah merasa suasana itu ketika di zaman
sekolah lagi. Kami yang sekolah tahfiz ni, masuk ke alam universiti rambang
mata tengok perempuan. Terkejut, macam tak percaya sebab masa sekolah dulu
semua pelajarnya lelaki, takde perempuan. Masuk universiti ni, baru nak merasa
bagaimana hebatnya fitnah seorang perempuan. Kami agak rugi kerana terlambat
merasakan fitnah tersebut,” ujar saya.
“Tidak… kalian tidak rugi… malah sebenarnya kami yang rugi”
tiba-tiba sahabat saya itu meningkah.
“Kenapa pula macam tu?” tanya saya.
“Hakikatnya, kamilah yang rugi.. sebab masa muda kami terisi
dengan perkara-perkara tersebut.. kalian untung sangat-sangat, kerana masa muda
kalian terisi dengan hafalan al-quran.. kami ni dah masuk umur macam ni, susah
dah nak hafal quran.. nak menyelesaikan juzuk 29 ni pun sampai extend berapa sem
dah..” ujar sahabat saya dalam tawa kecil yang tidak terhambur. Mungkin mentertawakan
dirinya sendiri.
“Hmmmm….” Keluhan terhempas lagi. Meluahkan gumpalan rahsia hati. Ingin
membuang segala dosa dan alpa dengan gumpalan keluhan tadi. Tidak mahu lagi
ianya memberat di hati, menyerabutkan sangkar hati.
“Kesimpulannya, bila kita sama-sama renung semula diri, rasa macam
tak layak nak mengata kepada orang lain… bahawa dia ini sekian lah, sekian lah….
Sedangkan diri sendiri pun masih di persimpangan dosa.. astaghfirullah al-adzim…”
“Ya, itulah hakikatnya manusia. Selagi mana kita muhasabah diri,
insya Allah kita tak nampak dosa orang lain melainkan dosa kita sendiri. Hakikatnya,
tidak adil kita menyalahkan manusia lain tanpa mengetahui latar belakang dan
asal-usul mereka dahulu. Kita juga akan marah andai diperlakukan sedemikian
rupa.. lebih baik kita serahkan segalanya kepada Allah kerana Dialah pemilik
segala hati. Hanya Dia yang mengetahui rahsia hati.”
Sahabat saya mengangguk, mengiyakan barangkali. Air teh ais yang
semakin mencair itu dihirup kembali. Nasi lemak yang tadinya panas sudah
semakin sejuk. Sudah hampir dua bakul otak-otak kempas dihabisi malam itu.
“Hakikatnya, insya Allah, satu hari nanti mereka tahu kemana jalan
untuk mereka ‘kembali’.. kerana al-quran itu sudah ada dalam hati mereka,
tinggal masa yang menentukannya.. semoga dipercepatkan tempoh penemuan mereka
itu. Kita sama-sama doakanlah….” Ujar saya mengakhiri perbualan.
‘Sahabat lama’ (anne) pun menjalankan tugasnya, “kira semua?”
Setuju dengan pendapat saudara yang menulis...Kita selaku manusia tidak lepas daripada salah laku dan dosa...Hanya pandangan Allah sahaja yang maha layak memperbatasi pandangan manusia dan alam seluruhnya...Sebagaimana manusia yang mempunyai pangkat dan kedudukan...begitu jua golongan jin dan syaitan....Semoga kita sama-sama mengambil ibrah dan pengajaran daripada hakikat kehidupan ini...
BalasPadam