Ibadah sunat sebagai BEBAN terhadap manusia?

      
Tumpahkan pengharapan dalam sujud kepada Tuhanmu...

Mungkin ada sesetengah dalam kalangan kita yang pernah mengeluh, “mengapa terlalu banyak ibadah sunat yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap kita, mana sempat kita nak buat semuanya. Kita pun ada banyak urusan lain yang harus diselesaikan sepanjang hari.”

Malah tak mustahil kalau ada yang hilang semangat ibadahnya lantas menganggap ibadah sebagai suatu bebanan. Akhirnya ibadah sunatnya entah ke mana, malah yang wajib pun sudah tidak sempurna diamalkan dan dihayati. Semoga Allah menghindarkan kita daripada kejelekan amalan seperti itu.

Ibadah bukannya beban.

Pertama sekali, harus kita tanamkan dalam pemikiran kita bahawa ibadah sunat yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah satu beban yang sengaja ditinggalkan oleh Baginda s.a.w. untuk menzalimi umatnya. Hakikatnya, kita yang hidup di akhir zaman ini sebenarnya yang sangat-sangat memerlukan ibadah sunat kerana zaman ini kita tiada lagi rasul yang diutus Allah s.w.t. kepada umat manusia. Oleh itu kita sangat-sangat memerlukan ibadah-ibadah tambahan ini supaya kita sentiasa kuat dalam mengharungi permainan dunia akhir zaman yang sering dihiasi dengan pelbagai fitnah dan tipu daya kejahatan.

Orang yang kuat beribadah akan dihidupkan hatinya seterusnya akan diberikan keupayaan oleh Allah s.w.t. untuk melihat sesuatu fenomena kehidupan dengan mata hati. Setiap kejadian yang berlaku di sekelilingnya akan mampu diterjemahkan dengan pelbagai hikmah dan kebesaran Allah s.w.t. Hujahnya mampu mematikan pemikiran manusia, kalamnya mampu membangkitkan ruh-ruh keislaman. Nafasnya adalah zikir, pandangannya adalah ihsan, langkahnya adalah jihad, marahnya adalah izzah.

Sememangnya kita bukanlah hamba yang sempurna, dan selayaknya kelemahan itu sering berdampingan dengan kita. Kita bukannya malaikat yang tidak pernah berasa letih berzikir kepada Allah, tidak pernah bosan melakukan ketaatan, tidak pernah merasa ngantuk dan lapar. Selayaknya kita mengukur keupayaan diri sendiri supaya ianya sentiasa tepat dengan kondisi kita, hambaNya.

Melakukan ibadah sunat itu tidak semestinya harus dijalankan semuanya sekaligus. Terkadang saat kita merasa diri dihanyut ketenangan bersama Tuhan, maka pergunakanlah kesempatan itu sebaiknya untuk menjalankan amalan-amalan / ibadah-ibadah sunat. Ketika kita merasakan agak kesempitan waktu dan keterbatasan tenaga, lakukanlah apa yang termampu dan jangan sampai memberatkan (supaya tidak bosan dan semakin kemalasan). Hakikatnya Rasulullah s.a.w juga bukanlah setiap hari melakukan kesemua amalan-amalan sunat sekaligus dalam hari-hari Baginda.

Kita tanamkan dalam diri bahawa amalan-amalan sunat merupakan sebuah rahmat daripada Allah s.w.t. kepada manusia. Kerana ianya boleh diamalkan pada setiap ketika walau dalam apa jua kondisi. Sama ada ketika memandu, bersukan, makan dan minum, hatta dalam keadaan tidur sekalipun. Kesemuanya boleh mendatangkan pahala kepada manusia jika kena pada niat dan caranya.


Dan yang terbaik, kita cuba istiqamah dengan beberapa amalan sunat tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. semasa hayat Baginda. Kadang-kadang amalan kecil yang dilakukan secara istiqamah adalah lebih baik daripada amalan besar yang hanya dijalankan sekali sekala. Dan jadikan amalan tersebut rahsia antara kita dan Allah sahaja yang mengetahuinya.

Semoga keikhlasan yang terbit dalam hati kita dalam beribadah mampu membuka luas pintu kerahmatan dan keredhaan Tuhan kepada kita. Kerana apa yang kita harapkan dalam hidup hanyalah keredhaan Allah semata-mata. Tiada apa yang lebih besar melainkan keredhaan Allah terhadap kita.

Allahu Akbar! Hanya Allah yang Paling Besar. Tiada apa yang lebih besar selain DIA. Dan DIA lah keutamaan terbesar kita!

        

0 Bisikan:

Catat Ulasan

 

Like Our Page

TQ to all my followers =)

Recent Visitors