Tetapi Ramai yang Tak Jumpa.


Baiklah pada hari ini saya ingin mencuba membuat satu posting di dalam blog dengan menggunakan aplikasi smartphone.

Saya tidak menggunakan keyboard, tetapi saya menggunakan Google Voice untuk menulis apa yang ingin dikatakan pada posting ini.

Pada saat ini saya hanya perlu bercakap, kemudian secara automatik perkataan yang saya katakan tersebut akan muncul.

Mengapa perlu menaip panjang-panjang kalau kita boleh sekadar bercakap, kemudian Google akan uruskan semuanya.

Alhamdulillah terlalu banyak rekaan dan inovasi yang bermanfaat yang dapat kita gunakan untuk memudahkan urusan seharian kita.

Baiklah, saya sekarang sedang menggunakan aplikasi Blogger yang boleh dimuat turun dari Playstore secara percuma.

Aplikasi ini kelihatan outdated, kerana tarikh terakhir kemaskini adalah pada tahun 2016. Manakala saya membuat posting ini adalah pada tahun 2019.

Mungkin kerana ramai yang cenderung untuk menggunakan aplikasi yang lebih ringkas dan mudah seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan sebagainya.

Saya juga secara jujurnya begitu. Dulu rajin menaip dan membuat karangan panjang-panjang untuk dimasukkan ke dalam blog. Sekarang sudah semakin malas dan merasakan cukup sekadar kemaskini ruangan Facebook atau Instagram.

Namun semenjak dua menjak ni, saya dah makin kurang berkongsi di Facebook, sebab rasa macam terlalu public. Ramai yang boleh baca apa yang saya tulis.

Bukanlah maksud saya tidak mahu orang baca tulisan saya, tetapi saya rasakan perlu sedikit privasi dan tidak terlalu menonjol di pandangan umum.

Kerana di sana ramai manusia yang bersifat negatif. Suka kecam mengecam dan keji mengeji. Tak percaya lihatlah saja di ruangan komentar di ruangan sana. Kejian dan cacian sudah menjadi zikir dalam kehidupan mereka.

Sehingga sampai satu masa, kita perlu mencari masa untuk beruzlah. Tenangkan diri daripada kesesakan dunia.

Duduk di gua bukan bermaksud hina. Sedangkan ashabul kahfi pun dimuliakan Allah SWT di dalam al-Quran kerana ditidurkan di dalam gua.


Rasulullah SAW juga beruzlah di dalam gua mencari pedoman dan kekuatan untuk berhadapan dengan umat Baginda.


Mereka yang terkenal di luar sana, hakikatnya jiwa mereka kosong. Kebahagiaan mereka bergantung kepada kemasyhuran dan pandangan orang ramai terhadap mereka.

Hakikat kebahagiaan sebenar adalah terletak di dalam jiwa, tetapi ramai yang tidak menjumpainya.

*selepas posting ini saya terus uninstall aplikasi blogger tersebut kerana ternyata ianya sudah tidak berfungsi dengan baik.

Ulasan